Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKajang – Buat julung-julung kalinya, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Jabatan Tenaga Atom dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Keselamatan dan Sekuriti Nuklear (ICNSS 2024) di Blok 11, Nuklear Malaysia.
“Ancaman terhadap keselamatan dan sekuriti nuklear boleh mendatangkan impak yang besar bukan sahaja kepada negara, malah melibatkan peringkat global, maka prinsip keselamatan, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam setiap langkah yang diambil dalam bidang ini perlulah ditekankan,” kata Pengarah Kanan Program Pengkomersilan dan Perancangan Teknologi, Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Nor Pa’iza Mohamad Hasan ketika merasmikan persidangan berkenaan.
Tambah beliau,
Kepatuhan kepada piawaian yang ditetapkan oleh agensi antarabangsa seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memainkan peranan yang penting bagi membolehkan negara mencapai kecekapan dalam operasi nuklear dan memupuk budaya keselamatan yang tinggi dalam kalangan organisasi dan pengendali nuklear di seluruh dunia.
Bertemakan “Embarking National Nuclear Technology Policy (NNTP) in Safety and Security”, para peserta dalam persidangan tersebut diberikan pendedahan tentang keselamatan dan sekuriti nuklear serta aplikasi teknologi nuklear yang terkini selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030.
Selain itu, persidangan berkenaan juga menjadi platform terbaik dan peluang kepada para peserta untuk membincangkan amalan terbaik, inovasi terkini dan strategi berkesan yang dapat dipraktikkan dalam usaha meningkatkan keselamatan dan sekuriti dalam bidang nuklear.
Di samping itu, dengan pelibatan pelbagai pakar dalam bidang pembuat polisi, pelaksana dan pemain industri mampu mewujudkan jaringan kerjasama untuk berkongsikan kemahiran dan pengalaman, terutamanya dari aspek keselamatan dan sekuriti nuklear, aplikasi teknologi nuklear, pembangunan sumber manusia, perundangan, kewangan dan sebagainya.
Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Pengkomersilan Teknologi, Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rasif Mohd. Zain dan Pengarah Bahagian Dasar dan Hubungan Luar, Jabatan Tenaga Atom, Puan Monalija Kostor.