Diterbitkan pada 4 November 2024, 14:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pangkalan Data Biodiversiti Malaysia menerusi Sistem Maklumat Biodiversiti Malaysia (MyBIS) menerima anugerah emas sebagai Mekanisme Pusat Maklumat Kebangsaan (CHM) terbaik dalam Persidangan Parti-parti ke-16 Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD COP16) di Cali, Colombia pada 31 Oktober lalu.

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan, anugerah tersebut merupakan pencapaian empat kali berturut-turut di COP CBD, iaitu COP13, COP14, COP15 dan kini COP16.

NRES berkata, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Yang Berhormat (YB) Nik Nazmi Nik Ahmad telah menerima anugerah tersebut daripada Setiausaha Eksekutif CBD, Astrid Schomaker dan beliau menyeru agar MyBIS dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam mengukuhkan usaha memulihara biodiversiti negara.

Ujar NRES,

Sistem MyBIS merupakan CHM yang dibangunkan sebagai pangkalan data biodiversiti kebangsaan sejak tahun 2016 dan hingga kini MyBIS mengandungi lebih daripada 1.2 juta rekod data merangkumi profil spesies, rekod spesimen, toksinologi, kawasan perlindungan, direktori pakar, bahan rujukan dan penerbitan.

Kata NRES, pembangunan CHM merupakan satu daripada keperluan di bawah CBD sebagai platform untuk meningkatkan kerjasama global dan jaringan informasi mengenai biodiversiti.

Tambahnya, anugerah CHM merupakan pengiktirafan daripada CBD kepada negara parti yang menunjukkan pencapaian yang paling signifikan dalam membangunkan CHM pada peringkat nasional.

Dalam perkembangan lain, NRES memaklumkan bahawa YB Nik Nazmi Nik Ahmad telah menyampaikan kenyataan negara dalam Sesi Plenari Mesyuarat Peringkat Menteri yang berlangsung selama dua hari dari 29 Oktober 2024 hingga 30 Oktober 2024.

Dalam ucapannya, beliau menekankan komitmen Malaysia untuk menguruskan biodiversiti secara lestari dan hal ini dibuktikan apabila Malaysia merupakan antara negara pertama yang mengintegrasikan Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework (KMGBF) ke dalam Pelan Tindakan dan Strategi Biodiversiti Kebangsaan (NBSAP), iaitu Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022–2030 melalui pendekatan senegara dan keseluruhan masyarakat.

Jelas beliau,

Malaysia menyatakan keazaman untuk melaksanakan DKBK dengan proaktif melalui kerjasama strategik dengan sektor swasta dalam mengarusperdanakan biodiversiti serta mengiktiraf sumbangan masyarakat peribumi dan tempatan (IPLCs) sebagai penjaga biodiversiti dan rakan kongsi dalam pemuliharaan biodiversiti melalui Program Rondaan dan Perlindungan Biodiversiti (BP3) serta pendokumentasian dan perlindungan pengetahuan tradisi, inovasi dan amalan IPLCs melalui kerangka akses dan perkongsian faedah.

Katanya, sungguhpun Malaysia mengiktiraf sokongan yang diterima melalui dana biodiversiti global ke arah pelaksanaan NBSAP, beliau menegaskan bahawa pendirian Malaysia mengenai kepentingan untuk mendapatkan sumber pembiayaan yang mencukupi dan mudah diakses, pemindahan kapasiti dan teknologi untuk menyokong pelaksanaan KMGBF adalah selari dengan prinsip Common but Differentiated Responsibilities (CBDR).

Dalam hubungan ini, beliau turut mempersoalkan sikap negara kaya yang boleh membelanjakan wang hingga bertrilion untuk peperangan dan konflik tetapi tidak konsisten dalam memberikan bantuan kepada negara yang menyediakan perkhidmatan ekosistem kepada planet.

Beliau berkata, komitmen Malaysia juga terbukti apabila baru-baru ini Malaysia diberikan pengiktirafan sebagai antara 13 negara rakan yang ditambah secara rasmi ke dalam BRICS dan seterusnya membuka peluang kepada negara untuk meningkatkan perdagangan dan menjalin hubungan dua hala antara negara anggota dalam usaha pemuliharaan biodiversiti dengan lebih terangkum.

Kredit Foto: Facebook NRES
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi