4 November 2024, 15:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menerusi kerjasama Persatuan Perikatan Air Malaysia (MyWP) dan Stesen Penyelidikan Marin (MARES) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Sumber Air Bersepadu di Bilik Inovasi, Bangunan Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Cawangan Perlis.

“Saya berharap agar tumpuan yang berterusan diberikan kepada usaha untuk meningkatkan kesedaran dan komitmen masyarakat bagi mencapai hasrat kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berteraskan pembangunan lestari, lebih-lebih lagi dalam konteks pengurusan air secara mapan,” kata Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi ketika merasmikan kursus berkenaan.

Beliau berkata, UiTM Cawangan Perlis amat menyokong penganjuran kursus ini dalam memastikan masalah kekurangan air, ketidaksamaan, pencemaran dan masalah lain dapat dibincangkan menerusi sesi perkongsian yang diadakan.

YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi ketika berucap di Bilik Inovasi, Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Cawangan Perlis.

Sementara itu, Ketua Stesen Penyelidikan Marin, YBrs. Profesor Ts. Dr Mohd Azlan Mohd berkata, kursus tersebut bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan signifikasi kaedah pengurusan sumber air bersepadu dalam perancangan dan pengurusan sumber air pada peringkat lembangan sungai.

Ujar beliau,

Kursus ini juga diharapkan dapat membina keyakinan terhadap pemegang taruh dalam usaha mempromosikan pendekatan pengurusan sumber air bersepadu sebagai penyelesaian praktikal dan strategik untuk menangani isu berkaitan dengan air pada peringkat nasional.

MyWP diwakili oleh beberapa orang pegawai, iaitu YBrs. Dr. Kalithasan Kailasam; Ir. Liam We Lin; Ir. Lim Sin Poh; YBrs. Dr. Ir Ts. Haji Mohmad Asari Daud dan Puan Athirah Lim Abdullah selaku penceramah dan fasilitator kursus berkenaan.

Pengerusi Persatuan Perikatan Air Malaysia, YBhg. Dato’ Ir. Hanapi Mohamad Noor ketika menyampaikan ucapannya dalam kursus Pengurusan Sumber Air Bersepadu.
Sesi perkongsian oleh Ir. Bibi Zarina Che Omar dalam kursus Pengurusan Sumber Air Bersepadu.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah para pensyarah Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis dan wakil dari agensi kerajaan dan swasta seperti Universiti Putra Malaysia; Hach Malaysia Sdn. Bhd.; Lembaga Urus Air Selangor; Syarikat Air Perlis Sdn. Bhd.; Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia; Grass Malaysia dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.