Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Buat julung-julung kalinya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Promosi dan Pengiktirafan dengan kerjasama World of Robotics Sdn. Bhd. telah mengadakan Pertandingan Robotik “Bahasa Jiwa Bangsa” yang menampilkan kelainan dalam usaha pemartabatan bahasa Melayu berorientasikan teknologi.
Perasmian majlis penutupan dan penyampaian hadiah bagi pertandingan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Puan Rodziah Md Yunus di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP semalam.

Beliau ketika menyampaikan ucapan perasmiannya berkata,
Program ini adalah pertama kalinya DBP bekerjasama dengan World of Robotics Sdn. Bhd. untuk memasyarakatkan bahasa dalam bidang yang lain.
DBP membawa suatu pendekatan yang berbeza pada kali ini, iaitu pendekatan yang berteraskan teknologi dan dikaitkan dengan elemen bahasa untuk melahirkan manusia yang mempunyai nilai kemanusiaan.
Ujar beliau lagi,
Kita berharap bahawa usaha yang pertama ini tidak akan terhenti di sini dan kita akan teruskan dalam skala yang lebih besar pada tahun yang mendatang.
Selain itu, Pertandingan Robotik “Bahasa Jiwa Bangsa” telah berlangsung selama dua hari, iaitu bermula 2 hingga 3 November dengan dua kategori yang dipertandingkan, iaitu “Cabaran Litar” bagi pelajar sekolah rendah dan “Projek Bertema” untuk pelajar sekolah menengah.


Pertandingan tersebut melibatkan sebanyak 141 orang peserta yang terdiri daripada para pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan kolej vokasional yang mempunyai bakat dan kreativiti dalam dunia robotik.

Pertandingan bagi kategori “Cabaran Litar” telah menyaksikan pasukan dari Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara muncul juara dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000.00 serta sijil penghargaan, diikuti oleh pasukan dari Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong yang berjaya meraih naib juara dan menerima wang tunai sebanyak RM700.00 serta sijil penghargaan manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan dari Sekolah Kebangsaan Bukit Rahman Putra dengan memperoleh wang tunai sebanyak RM500.00 dan sijil penghargaan.



Sementara itu, juara bagi kategori “Projek Bertema” pula telah disandang oleh pasukan dari Kolej Vokasional Dato’ Lela Maharaja dengan hadiah wang tunai sebanyak RM1,500.00 dan sijil penghargaan, disusuli pemenang naib juara, iaitu pasukan dari Kolej Vokasional Setapak dengan hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.00 dan sijil penghargaan serta pasukan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian di tempat ketiga dengan hadiah wang tunai sebanyak RM700.00 dan sijil penghargaan.



Pertandingan tersebut merupakan sebuah inisiatif yang bertujuan untuk memupuk minat dalam kalangan generasi muda terhadap bidang robotik dan teknologi, di samping memelihara warisan bahasa dan sastera.
Malah, penganjuran pertandingan tersebut sebagai satu daripada usaha menyemarakkan bidang sains, teknologi, literasi, kejuruteraan, seni dan matematik (STREAM) dan bidang bahasa dalam kalangan generasi muda untuk mengadaptasikan dan menyatukan inovasi moden dengan nilai budaya yang kaya.
Turut hadir dalam majlis penyampaian hadiah tersebut ialah Pengasas World of Robotics Sdn. Bhd., Encik Lee Yew Kein; Pengasas Bersama merangkap Pengarah World of Robotics Sdn. Bhd., Puan Choo Mun Ling, barisan juri, ibu bapa dan para peserta.

