Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dalam usaha memastikan kesejahteraan hidup, Pusat Kajian Kesihatan Komuniti, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Majlis Syarahan Profesor Emeritus di Dewan Kuliah 3, UKM.
Program yang dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti (wakil senat), UKM, YBrs. Profesor Dr. Bariah Mohd Ali itu bertujuan menyuntik semangat dalam kalangan warga akademik institut pengajian tinggi (IPT), khususnya di FSK, UKM untuk terus melaksanakan tugas hakiki dengan baik dan menjalankan penyelidikan yang berimpak tinggi demi kepentingan masyarakat dan negara.
Dalam program tersebut, Pengerusi Majlis Syarahan Profesor Emeritus, YBrs. Profesor Emeritus Dr. Norimah A. Karim telah menyampaikan syarahan yang bertajuk “Membuka Kunci Kesejahteraan Hayat: Peranan Utama Pengetahuan, Sikap dan Amalan Pemakanan”.

Menurut beliau, kesejahteraan hidup bukan sekadar bebas daripada penyakit, tetapi melibatkan ketenangan dan keseimbangan hidup yang merupakan proses berterusan sepanjang hayat yang membantu dalam membuat keputusan untuk menyokong kehidupan yang seimbang dan menyeluruh serta memaksimumkan potensi diri.
Ujar beliau,
Antara langkah penting yang perlu diambil untuk mencapai kesejahteraan hidup termasuklah menjaga berat badan ideal, melakukan aktiviti fizikal secara konsisten, menguruskan stres dengan baik, mendapatkan tidur yang mencukupi dan menjaga kesihatan usus badan.
Pada masa yang sama, para peserta dalam program berkenaan turut didedahkan dengan kajian yang telah dijalankan oleh beliau sepanjang perkhidmatannya di UKM seperti “Nutristudy”, “MyBreakfast Study”, “South East Asian Nutrition Survey (SEANUTS)”, “Malaysian Adults Nutrition Survey (MANS)” dan “Socio-Cultural Research in Protein Transition (SCRiPT)”.
Hasil daripada penyelidikan tersebut, pelbagai penerbitan telah berjaya diterbitkan dan dapat dijadikan sebagai rujukan kepada penyelidik muda serta membantu dalam pembangunan program pemakanan di Malaysia.
Untuk rekod, YBrs, Profesor Emeritus Dr. Norimah A. Karim memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di UKM pada tahun 1984 dan berkhidmat hingga persaraan wajib pada Februari 2020.
Beliau pernah menerima Anugerah Penyelidikan dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dari tahun 2014 hingga tahun 2020 atas sumbangan besar yang telah diberikan oleh beliau dalam bidang pemakanan.
Sepanjang perkhidmatan beliau di UKM, beliau sangat aktif dalam menyumbang kepakaran bukan sahaja di UKM, malah di IPT lain, Kementerian Kesihatan Malaysia, industri makanan, komuniti serta pelbagai persatuan badan profesional.
Turut hadir dalam program berkenaan ialah YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Mohamed Salleh Mohd Yasin; Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar; YBrs. Profesor Emeritus Dr. Mohd. Ismail Mohd. Noor; YBrs. Profesor Emeritus Dr. Baharudin Omar dan YBrs. Profesor Emeritus Dr. Norhani Mohidin.
