Diterbitkan pada 1 November 2024, 19:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Ketua Perangkawan Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata pneumonia merupakan sebab kematian utama di Malaysia pada tahun 2023 dengan 18 181 kematian atau 15.2 peratus daripada kematian yang disahkan perubatan.

Pneumonia mengatasi penyakit jantung iskemik buat kali pertama dalam tempoh dua dekad, kecuali pada tahun 2021 apabila jangkitan COVID-19 menjadi punca kematian utama.

“Sebanyak 12 648 (17.6 peratus) kematian disebabkan oleh penyakit jantung iskemik adalah dalam kalangan lelaki, manakala punca kematian utama bagi perempuan adalah pneumonia dengan 7815 kematian (16.4 peratus),” tambah beliau lagi.

Pneumonia menjadi punca kematian utama bagi etnik Cina dan bumiputera lain, masing-masing dengan 4887 kematian (16.4 peratus) dan 1255 kematian (12.2 peratus) pada tahun 2023. Etnik Melayu dan India pula mencatatkan penyakit jantung iskemik sebagai punca kematian utama, iaitu masing-masing sebanyak 16.0 peratus dan 20.6 peratus.

Dalam laporan Perangkaan Sebab Kematian 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Selasa lalu, selain pneumonia, penyakit jantung iskemik, penyakit serebrovaskular dan kemalangan jalan raya, terdapat keunikan sebab kematian mengikut etnik dalam kedudukan 10 punca kematian utama seperti diabetes mellitus yang lebih sinonim dengan etnik Melayu dan India, manakala kanser lebih sering berlaku dalam kalangan etnik Cina.

Peningkatan kematian akibat pneumonia dikaitkan dengan kesan pasca pandemik apabila jangkitan paru-paru dalam komuniti mencetuskan pneumonia, terutamanya dalam kalangan individu yang mempunyai sistem imun lemah dan masalah kesihatan sedia ada.

Sementara itu, penyakit jantung iskemik menjadi punca kematian kedua tertinggi pada tahun 2023 yang dikaitkan dengan amalan gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat seperti yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Faktor risiko utama penyakit ini termasuklah merokok, paras kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, diabetes dan usia lanjut, selain faktor lain yang mempengaruhi seperti obesiti, kurang menjalankan aktiviti fizikal dan sejarah keluarga,” jelas beliau.

Selain penyakit jantung iskemik, penyakit tidak berjangkit lain seperti penyakit serebrovaskular, penyakit darah tinggi dan diabetes mellitus juga berpunca daripada gaya hidup dan pemakanan yang kurang sihat.

Bagi penduduk berusia 60 tahun ke atas, pneumonia menjadi punca kematian utama dengan 14 377 kematian (19.3 peratus), manakala bagi yang berusia 41 tahun hingga 59 tahun, penyakit jantung iskemik merekodkan sebanyak 5673 kematian (19.8 peratus).

Selain itu, kemalangan jalan raya adalah punca kematian utama bagi golongan berusia sifar tahun hingga 14 tahun dan 15 tahun hingga 40 tahun.

Enam negeri di Malaysia iaitu Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan pneumonia sebagai punca kematian utama, sementara 10 negeri lain mencatatkan penyakit jantung iskemik.

Pada peringkat daerah, pneumonia menjadi punca utama di 78 daerah dengan peratusan tertinggi di Kubang Pasu, Kedah (26.3 peratus), manakala penyakit jantung iskemik mendominasi 65 daerah dengan peratusan tertinggi di Langkawi, Kedah (31.3 peratus).

Buat pertama kali, laporan ini turut memaparkan analisis mengenai kematian akibat bunuh diri (intentional self-harm) berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia.

Pada 2023, bilangan kes bunuh diri meningkat kepada 1068 kematian berbanding dengan 641 pada tahun 2020 yang melaporkan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Sebagai rekod, Jabatan Perangkaan Malaysia mengeluarkan laporan Perangkaan Sebab Kematian, Malaysia 2024 yang memaparkan statistik sebab kematian di Malaysia bagi tahun 2023 yang dipecahkan mengikut demografi peringkat nasional, negeri dan daerah pentadbiran.

Statistik ini amat penting bagi pembentukan polisi serta perancangan program kesihatan dan menjadi rujukan untuk penyelidik serta ahli akademik.

Memahami punca kematian rakyat Malaysia adalah langkah utama untuk memperbaik gaya hidup masyarakat pada masa hadapan, menilai keberkesanan sistem kesihatan negara dan membolehkan peruntukan sumber ke kawasan dan kumpulan sasaran secara lebih tepat.

Sebanyak 196 965 kematian direkodkan pada tahun 2023 dengan 119 652 (60.7 peratus) kematian disahkan secara perubatan dan 77 313 (39.3 peratus) adalah kematian yang tidak disahkan secara perubatan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi