Diterbitkan pada 30 Oktober 2024, 17:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah siap siaga sejumlah 66 042 orang anggota dan 10 540 aset Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang bersedia diatur gerak di seluruh negara bagi persediaan menghadapi monsun timur laut (MTL) yang dijangkakan bermula awal November 2024.

Menurut KDN dalam satu kenyataan, fenomena MTL biasanya akan membawa hujan lebat berserta angin kencang dan berisiko menyebabkan kejadian banjir serta banjir kilat di kawasan terbabit.

Ujar KDN,

Daripada jumlah tersebut, PDRM akan mengatur gerak sejumlah 17 216 orang anggota sumber manusia berserta 9936 aset pelbagai jenis, RELA pula bersedia dengan sejumlah 47 100 orang anggota berserta 457 aset, diikuti dengan APMM sebanyak 1726 orang anggota dan 147 aset bersedia untuk diatur gerak di seluruh negara.

Menurut KDN, antara peranan yang akan dilaksanakan oleh anggota ketiga-tiga agensi terbabit termasuklah pemindahan mangsa, kawalan keselamatan dan trafik di tempat bencana, rondaan dan pemantauan kawasan berisiko bencana, penugasan di Pusat Pemindahan Sementara, penugasan di Pusat Pangkalan Bekalan Hadapan, operasi mencari dan menyelamat serta penugasan pascabencana banjir.

Selain itu, PDRM juga akan bertindak sebagai Komander Operasi Bencana seperti yang ditetapkan dalam Arahan NADMA No. 1: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara.

Dalam kenyataan tersebut, KDN menasihatkan seluruh rakyat Malaysia yang berisiko terkesan akibat bencana banjir untuk sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia, berwaspada dan bertindak untuk mengambil langkah yang sewajarnya bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Tambahnya, orang ramai juga diingatkan supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamat mangsa banjir.

KDN berkata, orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi banjir dengan menghubungi Pusat Kawalan Malaysia PDRM di talian 03-2266 3333/03-2266 3444/03-2266 3451 atau menghubungi talian MERS 999 untuk bantuan kecemasan.

Untuk laporan terkini dan sahih berkaitan dengan bencana, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi