Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 30 Oktober 2024, 10:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selaras dengan inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang telah diperkenalkan oleh kerajaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Pengurusan Sumber Manusia menganjurkan Program Hari Kesihatan DBP 2024 untuk mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan karyawan DBP dan mewujudkan persekitaran kerja yang menyokong kesejahteraan kesihatan.

Perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari di Dewan Dato’ Abdul Rahim Abu Bakar, Menara DBP semalam.

YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan perasmiannya berkata,

Saya menyeru kepada rakan-rakan semua, dalam kesibukan kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing, utamakanlah kesihatan kerana sekiranya kesihatan kita terjejas, maka mutu perkhidmatan akan terganggu dan produktiviti pasti akan menurun.

Beliau menegaskan bahawa kesihatan merupakan tanggungjawab setiap individu pada setiap masa dan bukan hanya tertumpu pada waktu tertentu untuk melakukan senaman atau pemeriksaan kesihatan.

Justeru, setiap karyawan DBP perlu memainkan peranan untuk mengukuhkan dan memperbaik sikap masing-masing supaya keadaan kesihatan sentiasa berada pada tahap yang terbaik.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika berucap dalam Program Hari Kesihatan DBP 2024 di Dewan Dato’ Abdul Rahim Abu Bakar, Menara DBP semalam.

Tambah beliau, kesihatan bukan sahaja melibatkan kesihatan fizikal tetapi merangkumi kesihatan mental yang kebanyakan masalahnya berpunca daripada tekanan di tempat kerja, tekanan dalam keluarga atau tekanan persekitaran perlu diberikan perhatian.

“Negara kita merupakan antara negara dalam dunia yang menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat dan DBP juga tidak ketinggalan menyediakan prasarana yang lengkap untuk memastikan karyawan DBP sentiasa bekerja dalam keadaan selesa,” ulas beliau lagi,

Selain itu, beliau menjelaskan DBP turut menyediakan pelbagai kemudahan dan pembiayaan perubatan menerusi rawatan di klinik panel, rawatan jantung, dialisis buah pinggang, rawatan mata, rawatan kanser dan sebagainya yang membantu semua karyawan DBP menjadi warga kerja yang sihat.

Antara pengisian program tersebut termasuklah ceramah kesihatan yang bertajuk “Penyakit Cacar Monyet” yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan, Pejabat Kesihatan Lembah Pantai, YBrs. Dr. Muhamad Hafizan Sanuri serta “Penjagaan dan Rawatan Gigi” oleh Pegawai Pergigian, Klinik Kesihatan Bangsar, YBrs. Dr. Norain Azman.

Pegawai Perubatan, Pejabat Kesihatan Lembah Pantai, YBrs. Dr. Muhamad Hafizan Sanuri ketika menyampaikan ceramah kesihatan beliau pada sesi yang pertama.
Pegawai Pergigian, Klinik Kesihatan Bangsar, YBrs. Dr. Norain Azman semasa menyampaikan ceramah kesihatan beliau pada sesi yang kedua.

Di samping itu, pelbagai aktiviti yang menarik turut diadakan bagi memeriahkan lagi Program Hari Kesihatan DBP 2024 seperti senamrobik, saringan awal kanser paru-paru, pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan gigi, sukan dan permainan, cabutan bertuah, kuiz kesihatan serta jualan produk kesihatan.

Karyawan DBP diberikan peluang untuk menderma darah dalam Program Hari Kesihatan DBP 2024.

Turut hadir memeriahkan Hari Kesihatan DBP 2024 ialah Ketua Bahagian, Ketua Editor, Ketua Unit, petugas agensi dan organisasi yang terlibat serta karyawan DBP.

Pemeriksaan kanser paru-paru daripada pihak Institut Kanser Negara.
Permainan “Cabaran Telur Tembelang” turut diadakan bagi memeriahkan program Hari Kesihatan DBP 2024.
Satu daripada gerai jualan produk kesihatan yang menjual buah-buahan.
Klinik Pergigian Bangsar turut menyediakan khidmat nasihat tentang penjagaan dan rawatan gigi sepanjang program berlangsung.
Karyawan DBP tidak melepaskan peluang untuk menjalani pemeriksaan gigi.
Suasana karyawan DBP ketika menyertai permainan “Ada Kerusi, Ada Lagi” dalam Hari Kesihatan DBP 2024.
Kredit Foto: Khairul Azhar, Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi