Diterbitkan pada 29 Oktober 2024, 16:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha memastikan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) dipatuhi, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah mengadakan Seminar Kesedaran Keselamatan Sinaran bagi Orang Bertanggungjawab terhadap Lesen (OBTL) yang memfokuskan peranan OBTL dalam mengawal keselamatan sinaran di tempat kerja.

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan berkata,  tanggungjawab yang dipikul oleh OBTL adalah besar, iaitu memastikan setiap amalan berkaitan dengan sinaran dalam organisasi dijalankan mengikut piawaian keselamatan yang ketat dan mematuhi Akta 304 yang bukan sekadar garis panduan, malah menjadi asas utama yang mengawal selia penggunaan tenaga atom dan bahan radioaktif di Malaysia.

YBrs. Dr. Rosli Darmawan ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Seminar Kesedaran Keselamatan Sinaran bagi Orang Bertanggungjawab terhadap Lesen di Hotel Cititel Mid Valley, Kuala Lumpur.

Jelas beliau,

Kepatuhan kepada akta ini bukan sahaja wajib, malah tidak boleh dikompromi kerana dengan kepatuhan yang tinggi, risiko sinaran dapat dikurangkan, melindungi kesihatan awam serta memelihara alam sekitar daripada ancaman sinaran yang tidak terkawal.

Beliau berkata, seminar ini mengetengahkan peranan penting teknologi dan aplikasi sinaran mengion dalam pelbagai sektor, misalnya pertanian, perubatan, agrikultur, industri, pembuatan, penyelidikan dan alam sekitar, namun walaupun teknologi ini memberikan kelebihan kompetitif kepada negara, aspek keselamatan tidak boleh diabaikan.

Ujar beliau,

Seminar ini menjadi wadah ilmu untuk berkongsikan pengetahuan dan pengalaman dalam pengurusan dan kepimpinan nuklear terhadap perlindungan sinaran keselamatan, amalan keselamatan sinaran terbaik di tempat kerja dan budaya kerja yang selamat dalam kalangan OBTL, pekerja sinaran dan orang awam di sekitarnya.

Menurut beliau, kepimpinan dalam bidang ini bukan sahaja menekankan aspek pengetahuan teknikal, malah memerlukan pengurusan strategi yang betul dalam perlindungan keselamatan sinaran.

Tegasnya,

Semua pihak yang terlibat perlu memainkan peranan yang proaktif dalam memastikan keselamatan sinaran yang mampan serta kerjasama dan komitmen yang berterusan oleh semua pihak boleh menjadi asas kepada kepimpinan nuklear yang mantap dan berwibawa.

Beliau juga menyatakan bahawa penerapan budaya keselamatan yang kuat secara menyeluruh merupakan kunci kepada kejayaan pengurusan sinaran di Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi