Diterbitkan pada 27 Oktober 2024, 21:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memacu kesihatan rakyat Malaysia, Persatuan Terapi Cara Kerja Malaysia bersama-sama Program Terapi Cara Kerja, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan acara OT RUN 4.0 bersempena dengan sambutan Hari Terapi Cara Kerja Sedunia bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan terapi cara kerja dalam memperkasakan kehidupan individu yang mengalami cabaran kesihatan fizikal, mental dan sosial.

Program yang dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS), Tuan Danial Al Rashid itu juga bertujuan untuk meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan terapi cara kerja dengan menekankan konsep ”occupation” bagi setiap individu dalam komuniti demi kualiti hidup yang lebih baik.

Program OT RUN 4.0 turut disertai oleh golongan OKU dan ahli persatuan pelari anak luar biasa.

Program OT RUN 4.0 merupakan inisiatif yang mencerminkan komitmen Persatuan Terapi Cara Kerja Malaysia dan Program Terapi Cara Kerja, FSK, UKM untuk terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui aktiviti yang menyokong kesejahteraan fizikal dan mental.

Gimik perasmian program OT RUN 4.0 dan sesi pemotongan kek oleh Tuan Danial Al Rashid.

Program ini berjaya menarik penyertaan lebih daripada 350 orang peserta dari pelbagai lapisan masyarakat, termasuklah ahli terapi cara kerja, pelajar, pengamal kesihatan, orang awam dan orang kurang upaya (OKU).

Bertemakan “OT untuk Semua” atau “OT for All”, program ini menjadi platform bagi masyarakat untuk memahami dengan lebih mendalam terapi cara kerja dalam membantu individu mencapai kualiti hidup yang lebih baik melalui aktiviti yang bermakna.

Peserta OT RUN 4.0 bergambar di Dataran DBKL.

Larian ini bukan sahaja bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat, malah mengeratkan hubungan antara komuniti terapi cara kerja dengan masyarakat umum, sekali gus memberikan peluang kepada para peserta untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti pameran dan senam tari bersama-sama geomatrik yang disediakan di lokasi program berkenaan.

Mantan Presiden Persatuan Terapi Cara Kerja Malaysia dan ahli jawatankuasa bersama-sama peserta OT RUN 4.0.

Setiap peserta juga menerima kit larian yang merangkumi kemeja-T OT RUN 4.0 edisi terhad, medal eksklusif, bahan informasi mengenai terapi cara kerja dan cenderamata oleh barisan penaja seperti Seri Aji, roti, air minuman Jantzen, bola senaman, pen, snek ringan dan sebagainya.

Dengan kejayaan program ini, pihak penganjur berhasrat untuk terus memperkasakan usaha dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan terapi cara kerja bagi mewujudkan komuniti yang inklusif dan berdaya tahan.

Antara penaja program OT RUN 4.0 termasuklah Profile Technology Sdn. Bhd.; Rise N Shine Enrichment Center Sdn. Bhd.; BTL Industries Malaysia Sdn. Bhd.; GNT MediXcel Sdn. Bhd.; Malaysian Healthcare Sdn. Bhd.; DCM Tooling Sdn. Bhd,; Techcare Innovation Sdn. Bhd.; Jant Marketing Sdn. Bhd.; Ajinomoto (Malaysia) Berhad; Rehab Supplies Sdn. Bhd. dan ⁠Medi Lifesports (M) Sdn. Bhd.

Tuan Danial Al Rashid melawat reruai pameran Program Terapi Cara Kerja UKM dan Persatuan Terapi Cara Kerja Malaysia.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah YBrs. Dr. Noor Hazfalinda Hamzah yang mewakili Dekan Fakulti Sains Kesihatan, UKM; Presiden Persatuan Terapi Cara Kerja Malaysia, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Zamir Che Daud; mantan Presiden Persatuan Terapi Cara Kerja Malaysia, YBrs. Dr. Mohd Suleiman Murad; Puan Ruzina Baharuddin; Encik Soh Say Beng dan Encik Hanafiah Mohamad.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi