Diterbitkan pada 25 Oktober 2024, 22:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melalui Kolej Pengajian Pengkomputeran,Informatik & Matematik (UiTM Cawangan Perlis) telah menganjurkan The International Symposium On Computer Sciences And Mathematics 2024 (i-SCOMATICS 2024) pada 24 Oktober 2024 secara hibrid yang mengumpulkan ahli penyelidik, akademik, mahasiswa dan pelajar pascasiswazah dalam mengetengahkan hasil kajian saintifik dan inovasi serta penghasilan penerbitan berimpak dalam bidang sains komputer dan matematik.

Simposium ini juga diadakan untuk memperkasakan projek kajian ilmiah menerusi kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, industri, komuniti dan alumni menerusi aktiviti perkongsian ilmu dan idea dalam menangani isu semasa.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi dalam ucapan perasmiannya berkata, penganjuran i-SCOMATICS 2024 memupuk pembangunan penyelidikan berkualiti dan berimpak tinggi hasil usaha warga penyelidik untuk memajukan pengetahuan teori dan menangani cabaran dunia sebenar.

YBrs. Profesor Madya Dr Shukor Sanim Mohd Fauzi ketika menyampaikan ucapan perasmian di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis.

“i-SCOMATICS 2024 menyediakan ruang untuk para peserta mengkomersialkan, mempromosi dan mempamerkan buah fikiran bernas dan inovasi berbentuk saintifik dalam usaha menyumbang secara signifikan kepada landskap akademik global untuk manfaat sejagat,” kata beliau.

i-SCOMATICS 2024 juga boleh menjadi pentas untuk mengukuhkan sinergi antara ahli akademik, industri, komuniti dan alumni dalam memacu kemajuan dalam bidang pendidikan dan pembangunan masyarakat.

Sementara itu, Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI), YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail berkata, objektif i-SCOMATICS 2024 sejajar dengan aspirasi di PJI dalam menekankan kepentingan menangani cabaran semasa dalam pendidikan tinggi, industri dan komuniti.

YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail berucap di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis

“Saya amat teruja dengan peluang yang disediakan oleh simposium ini untuk para peserta menjalin sinergi dan perkongsian baharu terutamanya dalam cabang sains komputer dan matematik,” kata beliau.

“Rangkaian ini, sama ada dengan universiti, industri atau alumni adalah penting dalam memacu kemajuan kolektif dan memupuk generasi penyelidik dan inovator seterusnya,” jelasnya lagi.

Sesi awal pagi i-SCOMATICS 2024 telah diisi dengan perkongsian secara maya oleh dua ucapan dasar oleh Pembantu Profesor Dr. Didik Sudyana (Sekolah Tinggi Manajemen Informatika dan Komputer (STMIK) Amik,Riau, Indonesia) dan Profesor Dr. Sulaman Hafeez Siddiqui (The Islamia University of Bahawalpur, Pakistan).

Pembantu Professor Dr. Didik Sudyana ketika menyampaikan ucapan dasar secara dalam talian dalam program i-SCOMATICS 2024.

Program i-SCOMATICS 2024 juga turut mengadakan program Forum on Student Career Development yang dipimpin oleh Encik Abdul Hapes Mohammed yang menampilkan beberapa panel berkaliber seperti Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi; Ketua Pegawai Eksekutif Favotech System Sdn. Bhd., Encik Mohd Zuber Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Asiapac Oil and Gas Sdn. Bhd., Encik Mohd Dzahir Jamudin; dan Pegawai Psikologi, Unit Kerjaya dan Kaunseling UiTM, Puan Hajjah Rozianun Mahmod.

Menurut Pengarah Program i-SCOMATICS 2024, Dr. Ruzita Ahmad, sejumlah 35 kertas kerja telah berjaya dibentangkan oleh para peserta dari Malaysia dan antarabangsa dalam bidang sains komputer dan matematik.

Beliau juga berkata antara tarikan penyertaan para peserta menyertai i-SCOMATICS 2024 adalah dengan sokongan rakan strategik seperti Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universitas Islam Riau, Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim Riau, Politeknik Caltex Riau dan Universitas Sains dan Teknologi Indonesia.

i-SCOMATICS 2024 turut menawarkan beberapa anugerah seperti Anugerah Pembentang Terbaik dan Anugerah Kertas Terbaik kepada para peserta bertuah.

Para peserta Program i-SCOMATICS 2024.

Turut mengikuti Majlis Pembukaan Simposium i-SCOMATICS 2024 ialah Ketua Pusat Pengajian KPPIM, Dr. Nur Fatihah Fauzi; Koordinator Program KPPIM, Puan Diana Sirmayunie Mohd Nasir dan Puan Nora Yanti Che Jan; dan warga Fakulti KPPIM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi