23 Oktober 2024, 11:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kemurungan boleh dikatakan sebagai satu daripada masalah kesihatan mental yang semakin meluas. Menurut statistik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), masalah kemurungan menjejaskan kira-kira 280 juta orang di seluruh dunia.

Individu yang pernah mengalami sejarah penderaan, kehilangan sesuatu yang penting dalam hidup, atau peristiwa yang menyebabkan trauma lebih berisiko tinggi untuk mengalami masalah ini. Selain itu, wanita lebih cenderung mengalami kemurungan daripada lelaki. Walau bagaimanapun, kemurungan sebenarnya boleh memberikan kesan kepada sesiapa sahaja.

Bilangan kes kemurungan di Malaysia juga dilaporkan semakin meningkat. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 melaporkan bahawa 4.6 peratus golongan dewasa didapati mengalami gejala kemurungan, meningkat daripada 2.3 peratus yang pernah dilaporkan dalam NHMS 2019. Prevalens kemurungan dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun hingga 15 tahun juga menunjukkan peningkatan yang membimbangkan – peratusan meningkat daripada 7.9 peratus pada tahun 2019 kepada 16.5 peratus pada tahun 2023.

Peningkatan bilangan kes kemurungan di Malaysia menunjukkan terdapatnya keperluan mendesak untuk intervensi awal, termasuklah saringan dan rawatan pada peringkat lebih awal. Menangani isu kesihatan mental dengan efektif bukan sahaja untuk kawalan penyakit yang lebih baik, malah meningkatkan kualiti hidup pesakit.

Faktor Risiko dan Gejala bagi Kemurungan

Pelbagai faktor risiko boleh menyumbang kepada kemurungan. Satu daripada puncanya ialah ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak, terutamanya yang melibatkan neurotransmiter serotonin, noradrenalina dan dopamin.

Selain itu, kemurungan berpunca daripada interaksi kompleks antara faktor sosial, psikologi dengan biologi. Hal ini termasuklah sejarah kemurungan dalam keluarga, faktor persekitaran dan penyakit kronik lain yang dihidapi. Individu yang pernah mengalami sebarang peristiwa yang menyebabkan trauma seperti kehilangan pekerjaan atau kematian orang tersayang mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami kemurungan.

Kemurungan berbeza daripada perubahan emosi yang biasa. Kemurungan biasanya menyebabkan perubahan emosi secara berpanjangan yang memberikan kesan ketara kepada kehidupan harian seseorang. Antaranya termasuklah kebolehan mereka untuk mengurus aktiviti sosial atau yang melibatkan pekerjaan dan persekitaran. Gejala biasa kemurungan merangkumi:

  • gangguan emosi yang berterusan;
  • hilang minat atau keseronokan dalam aktiviti;
  • kesukaran untuk menumpukan perhatian;
  • gangguan tidur;
  • hilang selera makan;
  • keletihan dan rasa tidak bertenaga;
  • rasa bersalah yang berlebihan atau berasa rendah diri;
  • kesukaran untuk berfungsi secara normal seperti tidak dapat bekerja; dan
  • mempunyai keinginan untuk membunuh diri.

Ubat Antikemurungan untuk Merawat Masalah Kemurungan

Secara umumnya, kemurungan boleh dirawat dan pharmacotherapy merupakan pilihan bagi rawatan kemurungan pada tahap sederhana atau yang lebih serius. Doktor akan menilai keadaan pesakit untuk mengenal pasti ubat antikemurungan yang bersesuaian. Pemilihan ubat bergantung pada beberapa faktor seperti keberkesanan ubat, profil pesakit, sebarang ubat yang diambil atau penyakit lain yang dihidapi oleh pesakit, kebarangkalian untuk interaksi ubat serta kos dan ketersediaan ubat.

Terdapat beberapa jenis ubat antikemurungan yang terdapat di Malaysia. Ubat-ubatan ini bertindak terhadap neurotransmiter seperti serotonin, noradrenalina dan dopamin. Ketiga-tiga neurotransmiter ini memainkan peranan penting kepada fungsi otak yang berkaitan dengan emosi dan tingkah laku. Antara kumpulan utama ubat antikemurungan ini termasuklah tricyclic antidepressants, selective serotonin reuptake inhibitors dan serotonin and noradrenaline reuptake inhibitors.

Tricyclic antidepressants (TCA)

Contoh ubat antikemurungan daripada kumpulan TCA ialah clomipramine dan amitriptyline. Ubat-ubatan ini berfungsi dengan menghalang penyerapan semula noradrenalin dan serotonin di dalam otak, lalu menyebabkan tempoh kesannya kepada otak meningkat. Walau bagaimanapun, ubat TCA juga mempengaruhi bahan kimia lain di dalam badan hingga berisiko menyebabkan kesan sampingan yang tidak menyenangkan.

Kesan sampingan ubat TCA bergantung pada dos. Pada kebiasaannya, dos yang lebih tinggi lebih mudah mengakibatkan kesan sampingan.

Kesan sampingan yang paling biasa dikaitkan dengan TCA ialah mengantuk dan pesakit dinasihatkan agar mengambil ubat ini sebelum tidur. Mereka juga harus lebih berhati-hati semasa memandu atau melakukan aktiviti yang memerlukan tumpuan.

Kesan sampingan lain yang mungkin berlaku termasuklah penglihatan menjadi kabur, sembelit, mulut kering dan air kencing tidak lawas. TCA juga boleh menyebabkan penurunan tekanan darah secara mendadak dan berisiko menyebabkan pitam akibat pergerakan daripada posisi duduk kepada berdiri dengan tiba-tiba.

Selective serotonin-reuptake inhibitors (SSRI)

SSRI merupakan ubat antikemurungan yang lebih kerap diberikan kepada pesakit di Malaysia. Ubat SSRI berfungsi dengan menghalang penyerapan semula serotonin dan seterusnya menghasilkan kesan yang berpanjangan kepada otak dan badan.

SSRI bersifat selektif kerana hanya menyasarkan neurotransmiter serotonin. Contoh ubat SSRI termasuklah escitalopram, sertraline, fluoxetine dan fluvoxamine.

Kesan sampingan SSRI yang mungkin berlaku ialah sakit perut, muntah, cirit-birit, berpeluh, sakit kepala, mengantuk, kesukaran untuk tidur dan mulut kering. Beberapa kesan sampingan ini boleh diminimumkan dengan menyesuaikan masa pengambilan ubat.

Pengambilan SSRI dengan makanan atau sebelum tidur boleh membantu mencegah rasa loya. Pesakit yang mengalami insomnia pula disarankan untuk mengambil SSRI pada waktu pagi, manakala mereka yang berasa mengantuk selepas mengambil SSRI dinasihatkan untuk mengambilnya pada waktu malam.

Bukan itu sahaja, sesetengah SSRI boleh menyebabkan perubahan selera makan, sama ada menyebabkan penurunan berat badan atau penambahan berat badan. Pesakit digalakkan memantau pengambilan makanan dan mengekalkan aktiviti fizikal secara konsisten.

Serotonin and noradrenaline-reuptake inhibitors (SNRI)

SNRI berfungsi dengan cara yang hampir sama seperti SSRI, tetapi kesannya adalah terhadap penyerapan semula serotonin dan noradrenalin. SNRI sering digunakan untuk merawat masalah kemurungan yang lebih serius. Contoh biasa ialah duloxetine, desvenlafaxine dan venlafaxine.

Kesan sampingan SNRI secara amnya adalah ringan dan boleh sembuh dengan sendirinya. Antaranya termasuklah rasa loya, muntah, mulut kering, sembelit, keletihan, mengantuk, pening dan berpeluh dengan berlebihan.

Pesakit tidak seharusnya menghentikan pengambilan SNRI sebelum mendapatkan nasihat doktor. Sekiranya pesakit berhenti daripada mengambil SNRI secara tiba-tiba, mereka berisiko untuk mengalami gejala yang tidak menyenangkan seperti selesema, keletihan, menggigil, sakit otot, pening, sakit kepala, cirit-birit, gangguan tidur dan mudah marah.

Memastikan Keberkesanan Ubat Antikemurungan

Ubat antikemurungan perlu diambil pada setiap hari mengikut dos dan masa yang ditetapkan untuk memastikan rawatan kemurungan yang berkesan. Kepatuhan kepada ubat-ubatan adalah penting untuk mendapatkan hasil rawatan yang optimum dan membantu dalam penilaian ubat-ubatan.

Kesan sampingan merupakan perkara biasa apabila pesakit dimulakan dengan ubat antikemurungan Namun begitu, kesan sampingan kebiasaannya hanya berlaku pada peringkat awal rawatan dan secara sementara. Pesakit hendaklah berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sekiranya kesan sampingan mengganggu aktiviti seharian dan kualiti hidup pesakit.

Selain itu, pesakit dinasihatkan agar sentiasa memaklumkan kepada ahli profesional kesihatan sebarang ubat-ubatan, produk suplemen kesihatan atau sediaan tradisional yang sedang diambil. Maklumat ini penting untuk mengelakkan risiko interaksi yang boleh mengurangkan keberkesanan ubat antikemurungan.

Beberapa jenis ubat antikemurungan adalah tidak sesuai untuk digunakan oleh wanita hamil atau yang sedang menyusukan anak. Oleh sebab itu, pesakit harus memaklumkan hal tersebut kepada doktor untuk memastikan keselamatan mereka apabila mengambil ubat ini. Pesakit juga tidak seharusnya menghentikan pengambilan ubat antikemurungan tanpa berbincang terlebih dahulu dengan doktor.

Nasihat untuk Orang Awam

Masalah kemurungan sememangnya boleh dirawat tetapi rawatan yang berkesan memerlukan kepatuhan terhadap ubat antikemurungan yang telah diberikan. Pengambilan ubat dengan cara yang betul dapat membantu mengurangkan kesan sampingan. Pesakit disarankan untuk sentiasa berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sekiranya menghadapi kesukaran dalam pengambilan ubat-ubatan.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

Nur Alia Kamarol Zaman,
Pegawai Farmasi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.