Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTangkak – Dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjalani pemeriksaan awal kanser payudara, Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis (IPD) Tangkak telah menganjurkan program mengenai kesihatan payudara di Dewan Terbuka IPD Tangkak.
Program tersebut diadakan bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara dan melibatkan sebanyak 40 orang ahli PERKEP IPD Tangkak.
Ceramah yang bertajuk “Metod dan Mitos Pemeriksaan Kanser Payudara” yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Pengimejan Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti KPJ Healthcare (KPJU), YBrs. Profesor Dr. Norhayati Mohd Zain menjadi acara permulaan bagi program berkenaan.
“Kebanyakan wanita di Malaysia mempunyai pandangan yang negatif terhadap pemeriksaan awal kanser payudara, terutamanya pemeriksaan mamogram, jadi penerangan yang jelas adalah sangat penting untuk mengubah pandangan ini,” kata YBrs. Profesor Dr. Norhayati Mohd Zain ketika menyampaikan ceramahnya.
Antara pengisian ceramah termasuklah penerangan mengenai statistik terkini kejadian kanser payudara di Malaysia berdasarkan Ringkasan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2017-2021.
Selain itu, penerangan mengenai faktor risiko serta cara untuk mengurangkan faktor risiko kejadian kanser payudara turut dikongsikan bersama-sama peserta.

Sesi yang berikutnya diteruskan dengan tayangan video pembelajaran prosedur pemeriksaan mamogram dan sesi soal jawab bersama-sama para peserta yang memberikan peluang kepada para peserta untuk memahami tentang kanser ini dengan lebih jelas.
Sepanjang program itu berlangsung, para peserta juga diberikan peluang untuk mempelajari cara melakukan pemeriksaan sendiri payudara (PSP) yang betul menerusi sesi demonstrasi dengan menggunakan fantom yang menyerupai tisu payudara manusia.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Pengerusi PERKEP Daerah Tangkak, Puan Rahmah Ismail serta ahli jawatankuasa PERKEP IPD Tangkak, Insp. Nursyazwanie Rosmen dan Puan Fazida Miftahuddin.
