Diterbitkan pada 20 Oktober 2024, 16:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menganjurkan program Sihat 10000 Langkah yang telah menarik penyertaan warga kampus, alumni dan pengunjung luar kampus bagi menerapkan amalan hidup sihat.

Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi yang menjalankan fungsi Rektor UiTM Cawangan Perlis berkata, penganjuran program ini meningkatkan tahap kesedaran kepentingan kesihatan jasmani dan rohani melalui aktiviti sukan.

Bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah program seperti ini mengajak rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan aktiviti berjalan kaki.

“Ibarat serampang dua mata, peserta yang melakukan aktiviti riadah sukan sambil mengelilingi kampus turut berkesempatan untuk melihat sisi lain UiTM Cawangan Perlis, terutamanya bagi para peserta yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke kampus ini,“ tambah beliau lagi.

Aktiviti senamrobik telah diketuai oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Puan Azzura Kamarudin dan mahasiswa UiTM Cawangan Perlis.
Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi menyempurnakan pelepasan para peserta di UiTM Cawangan Perlis.

Dalam acara ini, para peserta telah melalui kawasan Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Tasik Elham, Ladang UiTM Cawangan Perlis, Kompleks Kolej Dahlia, Kompleks Kolej Cengal, Bulatan UiTM, Kompleks Kokurikulum dan persekitaran Kompleks STAR.

Para peserta melalui trek yang basah dan licin setelah hujan lebat di sekitar Tasik Elham,UiTM Cawangan Perlis.
Para peserta melalui trek yang mencabar di sekitar kawasan ladang dan pertanian UiTM Cawangan Perlis.

Program ini juga turut disertai oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik yang juga merupakan mantan Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim.

Profesor Madya Ahmad Fikri Mohd Kassim ketika diwawancara berkata, aktiviti seumpama ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran kesihatan mental dalam kalangan masyarakat, malah menyihatkan badan.

“Kita masih berhadapan dengan stigma masyarakat apabila aktiviti berjalan kaki dilihat tidak memberikan manfaat yang berguna seperti senaman fizikal lain, namun masyarakat perlu tahu bahawa aktiviti ini mampu mengurangkan stres, membakar kalori, mengawal kolesterol, menguatkan sistem otot dan mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit kencing manis,“ kata beliau.

“Pilihlah trek yang sesuai dan menarik mengikut tahap kesihatan diri yang optimum agar aktiviti berjalan kaki mencipta pengalaman yang amat menyeronokkan,“ tambah beliau lagi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi