Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyifatkan pengumuman Belanjawan 2025 bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera” yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu sebagai bajet berwawasan yang memperkukuh lagi asas ekonomi digital negara.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, belanjawan ini memberikan sokongan besar untuk mempercepatkan lagi digitalisasi Malaysia, menggalakkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan memacu pertumbuhan inklusif, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai peneraju hab digital di rantau ASEAN.
“Belanjawan MADANI 2025 ini diumumkan pada waktu yang tepat dan selaras dengan persiapan Malaysia untuk mempengerusikan ASEAN 2025,” ujar Anuar Fariz.
“Dengan inisiatif strategik yang telah dirangka, Malaysia kini bersedia untuk memacu kerjasama serantau dalam bidang utama seperti AI, ekonomi digital dan inovasi serta mengukuhkan peranan kita di ASEAN dan peringkat global. Belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan ini juga menyediakan insentif kepada pelabur tempatan dan asing untuk terus melabur di Malaysia, khususnya dalam aktiviti bernilai tinggi, termasuklah perkhidmatan digital,” tambahnya lagi.
Komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara juga bakal menerima manfaat daripada inisiatif untuk mengadaptasi peralatan digital bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi, sekali gus membolehkan PKS bertahan dan berkembang dalam ekonomi global yang semakin kompetitif.
“Seperti yang disampaikan oleh Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo, belanjawan ini dibina atas asas kukuh ekonomi digital Malaysia, dengan pertumbuhan yang dijangka melebihi sumbangan 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang akhir tahun 2025,” tambah Anuar Fariz.
Beliau menambah bahawa kerajaan MADANI memanfaatkan secara strategik kekuatan Malaysia untuk terus memacu transformasi digital dan pertumbuhan ekonomi negara.
Kekuatan utama Malaysia termasuklah lokasi yang strategik, tenaga kerja berbilang budaya yang fasih berbahasa Inggeris, persekitaran mesra pelabur dan kerajaan yang stabil.
Satu daripada tarikan utama dalam Belanjawan 2025 ialah kejayaan Malaysia yang meraih pelaburan berjumlah USD16.9 bilion daripada syarikat gergasi teknologi dunia, termasuklah AWS, Microsoft, Google dan Oracle.
Pencapaian ini mencerminkan potensi Malaysia sebagai gerbang masuk bagi prasarana awan serantau dan peneraju utama dalam ekonomi digital global.
“Pelaburan ini akan menjadi pemangkin kepada peluang pekerjaan untuk rakyat, sementara inisiatif peningkatan kemahiran dan penubuhan pusat kecemerlangan akan mempertingkatkan lagi kedudukan Malaysia dalam landskap digital di Asia Tenggara,” kata Anuar Fariz.
Dari segi AI, beliau menyatakan bahawa peruntukan kerajaan sebanyak RM10 juta kepada Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) dan RM50 juta untuk pendidikan AI menunjukkan komitmen yang kukuh untuk memajukan AI dan membina bakat mahir dalam bidang ini.
“Usaha ini akan mempercepatkan penggunaan AI dan memastikan Malaysia memimpin inovasi AI dan pembangunan beretika di rantau ini,” ujar Anuar Fariz.
Kepimpinan kita dalam menubuhkan Rangkaian Keselamatan Kecerdasan Buatan (ASEAN AI Safe Network) juga mencerminkan pendekatan proaktif kita terhadap pembangunan AI yang beretika.
MDEC komited untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan teknologi AI digunakan secara beretika dan berprinsip, demi memastikan masa depan digital Malaysia melalui kerjasama antara akademia, industri, institusi awam, dan rakyat,” tambahnya.
Anuar Fariz turut menyatakan bahawa inisiatif ID Digital memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan keyakinan dan keselamatan digital, menyediakan rakyat dan perniagaan dengan kaedah pengesahan identiti dalam talian yang selamat dan dipercayai.
“Pengenalan ID Digital memudahkan akses kepada perkhidmatan digital dan meningkatkan keyakinan terhadap transaksi dalam talian, mengurangkan penipuan dan meningkatkan ekonomi digital secara keseluruhan,” ujar beliau.
Inisiatif ini penting dalam menyokong usaha transformasi digital Malaysia dan menjadikan negara sebagai peneraju perkhidmatan digital yang selamat di rantau ini.
Dana RM1 bilion National Fund-of-Funds dan RM1 bilion Pioneer Fund oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) merupakan inisiatif utama bagi menyokong ekosistem syarikat pemula di Malaysia.
“MDEC menyambut baik tambahan RM65 juta untuk Cradle Fund bagi memperluaskan potensi serantau dan global bagi syarikat pemula tempatan, serta geran padanan RM15 juta untuk menggalakkan kerjasama antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pemula melalui dana teroka korporat,” kata Anuar Fariz.
Komitmen kerajaan untuk memupuk budaya inovasi dalam kalangan rakyat dan perniagaan sejajar dengan misi MDEC untuk menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi syarikat pemula di rantau ASEAN.
Program Founders Centre of Excellence (FOX) oleh MDEC terbukti berjaya dalam memperkasakan syarikat pemula tempatan dengan menyediakan sumber penting, bimbingan dan sokongan infrastruktur.
Perdana Menteri turut menyebut Vitrox Berhad yang diasaskan oleh dua jurutera dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan dibimbing melalui program The Global Acceleration and Innovation Network (GAIN) MDEC telah berkembang menjadi pemain global dalam industri elektronik, memberikan perkhidmatan kepada pasaran di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.
“MDEC komited untuk menyokong inisiatif transformasi ini, bekerjasama secara rapat dengan usahawan, perniagaan dan komuniti bagi memastikan ekonomi digital Malaysia terus berkembang dan menyediakan peluang bermanfaat kepada seluruh rakyat,” ujar Anuar Fariz.