19 Oktober 2024, 15:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seiring dengan kemajuan teknologi, media sosial bukan hanya menjadi alat komunikasi utama bagi generasi muda, malah semakin ramai warga emas turut menggunakan platform seperti Facebook, WhatsApp dan Instagram. Walaupun pada mulanya warga emas mungkin agak keberatan untuk melibatkan diri dalam dunia digital ini, semakin banyak yang mendapati platform ini memberikan manfaat besar, terutamanya dalam menjaga hubungan sosial dan mengatasi kesunyian.

 

Kelebihan Media Sosial untuk Warga Emas

Mengurangkan kesunyian dan meningkatkan hubungan sosial

Media sosial telah terbukti berkesan dalam menghubungkan warga emas dengan ahli keluarga dan rakan-rakan yang mungkin tinggal jauh daripada mereka. Melalui platform seperti Facebook dan WhatsApp, warga emas boleh berhubung secara lebih kerap dengan anak, cucu serta rakan lama.

Kajian menunjukkan bahawa penggunaan media sosial membantu mengurangkan rasa kesunyian dalam kalangan warga emas, terutamanya bagi mereka yang tinggal bersendirian atau jauh daripada keluarga. Video panggilan menerusi aplikasi seperti Skype atau Zoom juga memudahkan warga emas untuk melihat wajah orang yang mereka sayangi yang sering memberikan kesan emosi yang positif.

Waga emas melayari media sosial untuk berhubung dengan keluarga dan rakan.

Memperbaik kesihatan mental

Media sosial juga boleh memberikan rangsangan mental kepada warga emas. Melalui perkongsian cerita, foto atau menyertai kumpulan minat yang sama, mereka dapat merasakan bahawa mereka masih aktif dalam komuniti dan memiliki kehidupan sosial yang bermakna. Mereka juga dapat belajar perkara baharu, membaca berita terkini dan boleh turut serta dalam perbincangan dalam talian melalui akses kepada pelbagai maklumat yang membantu menjaga kesihatan mental mereka.

 

 

Platform sokongan kesihatan

Media sosial juga boleh menjadi alat untuk mendapatkan sokongan kesihatan. Warga emas boleh menyertai kumpulan kesihatan dalam talian yang menyediakan nasihat, sokongan emosi dan panduan tentang penjagaan kesihatan. Hal ini membantu mereka untuk menjadi lebih berpengetahuan tentang isu kesihatan yang mereka hadapi serta menguruskan penyakit kronik seperti diabetes atau hipertensi.

Menerusi satu kajian pemerhatian yang telah dijalankan dalam kalangan warga emas yang dipilih secara rawak, didapati bahawa setiap telefon pintar mereka mempunyai aplikasi media sosial yang berperanan dalam membantu meningkatkan ingatan warga emas dengan memberikan platform untuk kekal aktif secara mental dan sosial. Penggunaan media membolehkan warga emas berhubung dengan keluarga, rakan dan komuniti secara kerap yang dapat merangsang minda mereka melalui interaksi sosial yang berterusan.

Selain itu, melalui media sosial, warga emas dapat berkongsi kenangan, gambar dan cerita lama yang bukan sahaja membantu mereka mengimbas kembali masa lalu, malah memperkuat memori melalui proses kognitif yang melibatkan pengingatan dan pengulangan maklumat. Tambahan pula, melalui akses kepada maklumat dan pembelajaran dalam talian, warga emas dapat terus mempelajari perkara baharu seperti hobi atau kemahiran yang terbukti membantu dalam mengekalkan ketajaman mental.

Aktiviti ini merangsang otak untuk terus aktif yang dapat memperlambatkan penurunan kognitif yang sering dikaitkan dengan penuaan. Penggunaan media sosial secara berterusan untuk interaksi dan pembelajaran juga membolehkan warga emas dapat menjaga ingatan mereka lebih baik sambil menikmati sokongan sosial dan emosi yang diperlukan.

Mengimbau kenangan lalu bersama-sama rakan mampu memberi motivasi kepada warga emas.

Media sosial memainkan peranan yang penting dalam memperbaik kualiti hidup golongan warga emas. Antara manfaat utama yang diperoleh termasuklah mengurangkan perasaan kesunyian apabila warga emas dapat berhubung dengan komuniti yang lebih luas. Hal ini seterusnya mengukuhkan jaringan sosial mereka, meningkatkan kesejahteraan psikologi dan emosional serta memberikan sokongan emosi.

Mengikut kajian yang telah dijalankan, media sosial juga berperanan sebagai medium untuk pembelajaran sepanjang hayat apabila warga emas dapat mencapai maklumat dan mengikuti perkembangan terkini dalam pelbagai bidang. Penggunaan media sosial juga membolehkan mereka kekal aktif dari segi mental dan intelektual yang turut memberikan kesan positif terhadap kesihatan ingatan mereka.

Penggunaan media sosial juga membolehkan warga emas mengembangkan rasa keberdayaan melalui kemahiran teknologi yang dipelajari, lalu memberikan mereka keyakinan untuk menggunakan peralatan digital dalam kehidupan harian. Kesemua ini menunjukkan bahawa media sosial bukan sahaja berperanan sebagai alat komunikasi, malah menjadi medium yang berpotensi untuk memperkasa dan memperbaiki kualiti hidup warga emas dalam pelbagai aspek.

Secara keseluruhannya, penggunaan media sosial oleh warga emas harus terus digalakkan melalui sokongan komuniti dan pendidikan teknologi agar manfaat ini dapat dinikmati sepenuhnya dan selari dengan perkembangan teknologi semasa. Walaupun ramai yang beranggapan platform ini sebagai wadah untuk berkongsi bahan seperti gambar dan video, namun bagi warga berusia, hal ini membawa makna yang lebih menyentuh emosi dan jiwa mereka.

Media sosial menyediakan saluran untuk warga emas saling berhubung, meneroka perkara baharu dan mendapatkan sokongan emosi yang diperlukan yang penting untuk menjaga kesejahteraan kendiri warga emas. Penggunaan media sosial secara positif juga mampu meningkatkan kualiti hidup warga emas dan mengurangkan rasa kesunyian melalui seni kehidupan digital.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.