Diterbitkan pada 18 Oktober 2024, 16:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dengan kerjasama Kedah Industrial Skills and Management Development Centre (KISMEC) berkongsikan panduan untuk memenuhi daya tarikan tenaga kerja industri gergasi dalam bidang sains dan teknologi di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis.

Sesi perkongsian itu disampaikan oleh Penolong Pengurus Besar merangkap Ketua Operasi KISMEC, Encik Rudy Musnadar Mohammad Said di hadapan 200 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa tahun akhir dari Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, Fakulti Sains Gunaan dan Kolej Alam Bina, UiTM Cawangan Perlis.

Encik Rudy Musnadar Mohammad Said berkata, Malaysia sedang mengalami pertumbuhan yang pesat dalam sektor teknologi, transformasi digital dan pembuatan, terutamanya di wilayah seperti Kedah dan Koridor Utara.

Ujar beliau,

Memahami arah aliran ini akan memberikan kelebihan kepada para peserta untuk berdaya saing dan membantu menyelaraskan laluan kerjaya dengan peluang masa hadapan yang lebih cerah.

Encik Rudy Musnadar Mohammad Said ketika berucap di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis.

Menurut beliau, graduan perlu mempunyai variasi kemahiran insaniah yang merangkumi kebolehan menyelesaikan masalah dengan kreatif, keupayaan toleransi dan bertolak ansur, prinsip ketabahan untuk menghadapi cabaran dan kemahiran bekerja dalam satu pasukan.

Pada masa yang sama, beliau juga memohon agar siswazah yang ingin mempunyai kerjaya dengan pemain industri gergasi perlu melengkapkan diri dengan kemahiran teknikal seperti kebolehan memimpin dalam menguruskan projek berimpak; menganalisis data secara kualitatif dan kuantitatif; kebolehan menulis secara teknikal untuk menerangkan maklumat yang kompleks dan kemahiran pengaturcaraan aplikasi perisian dan teknologi pembelajaran mesin.

Sementara itu, Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi berkata, perkongsian daripada KISMEC amat bertepatan dengan saranan Kerajaan Madani untuk memperkasakan graduan dengan keperluan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan memenuhi permintaan pasaran kerja pemain industri gergasi.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi ketika menyampaikan ucapan di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis.

Kata beliau,

KISMEC terus komited dalam menyediakan latihan kemahiran kepada pekerja industri, sektor kerajaan, sektor swasta dan perkhidmatan bagi membantu meningkatkan produktivi dan kecekapan pengeluaran.

Beliau juga menyatakan bahawa peluang bersama-sama KISMEC pada hari ini membuka peluang kepada mahasiswa dan siswazah lepasan diploma dan ijazah sarjana muda untuk mengetahui kursus TVET yang boleh meningkatkan kemahiran insaniah dan teknikal dengan lebih efektif.

Antara peserta yang menyertai sesi perkongsian mengenai panduan untuk memenuhi daya tarikan tenaga kerja industri gergasi dalam bidang sains dan teknologi.
Ketua Perolehan KISMEC, Encik Noriman Pazin ketika berinteraksi dengan para peserta dalam sesi soal jawab.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail; Pengarah Festival Jubli Emas merangkap Mantan Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Ts. Dr. Zuliahani Ahmad dan pengarah program merangkap pensyarah Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Cawangan Perlis, Encik Mohd Ashraf Zainol Abidin serta tetamu undangan lain.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi