Diterbitkan pada 18 Oktober 2024, 16:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Selangor – Penganjuran sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Sekolah 2024 yang dianjurkan oleh Unit Kokurikulum, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Selangor bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bersukan, mewujudkan masyarakat yang sihat, memupuk semangat perpaduan antara pelbagai kaum di sekolah, meningkatkan pengetahuan sukan dalam kalangan pelajar serta memberikan peluang kepada para pelajar untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti sukan dan permainan.

Program yang diadakan bersempena dengan Hari Sukan Negara yang disambut pada setiap tahun pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober itu disertai oleh warga sekolah SMK Kuala Selangor, termasuklah guru dan pelajar.

Pengetua SMK Kuala Selangor, Encik Al-Irwan Soihiboll Rahim dalam ucapannya berkata, sambutan hari sukan negara pada peringkat sekolah ini bukan sahaja penting untuk kesihatan fizikal, malah berupaya memupuk perpaduan dan kerjasama antara warga sekolah.

Ujar beliau,

Saya berharap para pelajar akan terus aktif bersukan dan menjadikan amalan gaya hidup sihat sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka.

Program tersebut dimulakan dengan aktiviti senamrobik yang disertai oleh semua guru dan pelajar dengan tujuan untuk meningkatkan kecergasan, sekali gus memberikan semangat kepada para peserta sebelum mereka menyertai pelbagai aktiviti lain yang disediakan.

Antara aktiviti sukan dan permainan yang dianjurkan sepanjang sambutan Hari Sukan Negara Peringkat SMK Kuala Selangor berlangsung.

Aktiviti sukan lain yang turut diadakan termasuklah catur, “snake and ladder”, karom, dam haji, permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban, bola sepak, bola tampar, futsal, sepak takraw dan petong (petanque).

Permainan petong dan bola sepak mendapat sambutan yang paling meriah dalam program tersebut dengan pelibatan oleh semua pelajar, sekali gus sebagai langkah positif dalam memberikan pendedahan kepada pelajar terhadap sukan yang kurang popular.

Selain itu, permainan tradisional yang semakin dilupakan oleh generasi muda kini turut diperkenalkan semula dalam usaha pihak sekolah untuk memelihara warisan permainan tradisional agar tidak hilang ditelan zaman dan memberikan peluang kepada pelajar yang tidak pernah mencubanya sebelum ini.

Secara keseluruhannya, sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Sekolah SMK Kuala Selangor telah berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan sukan serta meningkatkan kemahiran sosial dan fizikal para pelajar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi