Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNilai – Fakulti Sains Kesihatan, Universiti KPJ Healthcare (KPJU) menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi agar semua pihak menggalas tanggungjawab untuk mewujudkan minat pelajar sekolah dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam bidang sains kesihatan melalui penganjuran program HealthTech STEM CAMP di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks KLIA yang melibatkan sekitar 100 pelajar.
Program ini mendapat penajaan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Malaysia (MOSTI) di bawah inisiatif Program Kesedaran dan Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) atau dikenali sebagai program SciTech4U – STEM CAMP MOSTI 2024.
Perasmian program ini disempurnakan oleh Pengetua SMK KKLIA Tuan Ajemeek Hj. Samut yang menyatakan,
Pihak sekolah amat berterima kasih kepada pihak penganjur kerana program ini bukan sahaja memupuk minat pelajar terhadap STEM, malah memberikan pendedahan kepada mereka tentang pelbagai peluang kerjaya dalam bidang sains kesihatan.
Menurut Dekan Fakulti Sains Kesihatan KPJU pula, program seperti ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada pelajar sekolah, namun secara tidak langsung memberikan pengalaman kepada mahasiswa KPJU yang terlibat sebagai fasilitator program.
“Penglibatan mahasiswa dalam penganjuran program seperti ini dapat mengasah kemahiran insaniah, terutamanya dalam kemahiran komunikasi dan membentuk amalan kerjasama”, ujar beliau.

Dalam program ini, dua sesi pengisian program telah dijalankan yang merangkumi ceramah pendidikan serta aktiviti berkumpulan, selain lawatan ke makmal pengajaran dan pembelajaran berkaitan program sains kesihatan seperti makmal pengimejan diagnostik, makmal farmasi, fisioterapi serta wad simulasi jururawat di KPJU.

Majlis perasmian turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Sains Kesihatan KPJU, Profesor Madya Dr. Khairiah Abdul Hamid.