Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan kerjasama Kerajaan Sarawak melalui agensinya, Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) mengumumkan pelancaran De Rantau Sarawak semasa Majlis Pembukaan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024.
Pengumuman penting ini telah disampaikan oleh Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg.
De Rantau Sarawak merupakan sebahagian daripada Program Residensi Digital Sarawak (SDRP) yang diinspirasikan oleh model E-Residency Estonia bagi menarik golongan profesional digital untuk tinggal dan bekerja di Sarawak.
Fasa pertama SDRP memperkenalkan De Rantau Sarawak, iaitu Pas Lawatan Profesional (PVP) yang membenarkan pekerja bebas dan pekerja jarak jauh digital untuk tinggal di Sarawak dan Semenanjung Malaysia sehingga 12 bulan dengan pilihan untuk memperbaharui selama 12 bulan lagi.
Permohonan untuk De Rantau Sarawak akan dibuka pada suku pertama 2025.
Sambil bekerja secara jarak jauh, pas ini membolehkan bakat teknologi global menikmati keindahan Sarawak dan Semenanjung Malaysia sambil merasai kepelbagaian budaya, pemandangan yang menakjubkan serta infrastruktur moden negara ini.
De Rantau yang merupakan inisiatif Malaysia Digital berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama untuk nomad digital di Asia Tenggara sambil mempromosikan penerapan digital dan pelancongan di seluruh negara.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2022, Pas Nomad De Rantau telah diperluaskan kepada golongan profesional bukan teknikal yang membuka lebih banyak peluang untuk bakat global bekerja dari jauh di Malaysia.
Sehingga 14 Oktober 2024, De Rantau telah menerima 4059 permohonan pas nomad digital dan daripada jumlah tersebut, 1988 permohonan telah diluluskan.
Lima negara utama pemegang Pas Nomad De Rantau ialah Rusia, Pakistan, United Kingdom, Jepun dan Amerika Syarikat.
Program ini turut disokong oleh ekosistem yang kukuh dengan 2076 hab De Rantau yang menyediakan lokasi strategik, sambungan Internet berkelajuan tinggi dan kemudahan mesra kerja.
MDEC juga telah bekerjasama dengan 15 rakan ekosistem DE Rantau yang merangkumi pelbagai sektor seperti pengangkutan, pelancongan, perkhidmatan tanpa tunai, kesihatan, insurans, penyewaan kereta dan ruang kerja bersama.
Turut hadir dalam acara tersebut adalah Timbalan Setiausaha Agung (Pembangunan Digital) Kementerian Digital, Encik Ma. Sivanesan Marimuthu dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Encik Anuar Fariz Fadzil.