Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2021 telah melaporkan tentang risiko perubahan iklim dunia mengikut negara dalam Global Climate Risk Index 2021. Laporan tersebut menyatakan bahawa perubahan iklim berkait rapat dengan pemanasan global, iaitu peningkatan suhu sejagat yang sedang berlaku dan seterusnya memberikan kesan terhadap iklim bumi.
Peningkatan suhu bumi dengan begitu cepat dan ketara berlaku kerana pengaruh aktiviti manusia, contohnya pembakaran bahan api dan penebangan hutan secara besar-besaran. Aktiviti tersebut telah meningkatkan kandungan gas karbon oksida, iaitu sejenis gas rumah hijau.
Gas rumah hijau memerangkap haba dalam atmosfera, lalu pemanasan global berlaku di udara, lautan dan daratan. Ahli sains sependapat bahawa kenaikan suhu sekitar 1.07 darjah Celsius dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini telah mengakibatkan pemanasan global. Akibatnya, kini berlakulah cuaca luar biasa, termasuklah suhu yang panas melampau, kemarau berpanjangan, hujan yang sangat lebat, ribut taufan yang lebih kerap dan banjir besar yang tidak terduga.
Penyu
Penyu ialah haiwan dalam kumpulan reptilia yang bercangkerang dan hidup di dalam laut di kawasan tropika dan subtropika di seluruh dunia. Penyu berlainan daripada labi-labi kerana sifat penyu yang tidak boleh menarik masuk kepala, kaki dan ekor ke dalam cangkerangnya.
Cengkerang penyu berfungsi sebagai perisai dan bentuknya yang aerodinamik membantu penyu berenang lancar di dalam lautan. Mengikut sejarah evolusi hidupan dunia, penyu telah wujud lebih daripada 100 juta tahun lalu. Oleh sebab itu, penyu dikenali sebagai “fosil hidup”.
Terdapat tujuh spesis penyu di dunia, tetapi lima spesies sahaja yang pernah dilaporkan mendarat dan bertelur di pantai berpasir di seluruh Malaysia. Penyu yang paling biasa ditemukan di Malaysia ialah penyu hijau atau penyu agar (Chelonia mydas), diikuti oleh penyu sisik (Eretmochelys imbricata).
Habitat Penyu
Sejak kebelakangan ini, penyu telah mengalami penurunan populasi yang dramatik. Pembangunan kawasan pesisiran pantai yang berlebihan telah mengurangkan habitat penyu untuk bertelur. Bahkan, masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang sanggup untuk menangkap penyu demi kepentingan sendiri bagi tujuan menjual telur, daging, kulit serta cangkerang pada harga yang sangat tinggi.
Sifat semula jadi penyu yang bermigrasi dalam jarak jauh menyebabkan haiwan ini terdedah kepada kemalangan yang boleh membawa maut seperti berlanggar denagn dengan kipas enjin bot dan kapal, tersangkut di jaring nelayan, terperangkap di dalam timbunan sampah atau melalui kawasan air laut yang sangat tercemar. Kadangkala, penyu keliru dengan plastik yang dilihat sebagai obor-obor lalu memakannya. Keadaan ini pastinya memudaratkan haiwan tersebut.
Kesan Perubahan Iklim
Kini, ancaman baharu kepada penyu ialah perubahan iklim dunia. Oleh sebab suhu dunia menjadi tinggi, kadar pencairan glasier meningkat sebanyak dua kali ganda berbanding dengan dua dekad lepas. Akibatnya paras air laut dikatakan meningkat sebanyak 21 peratus. Keadaan ini menyebabkan lebih banyak hakisan pantai berlaku, lalu berkuranglah pantai berpasir yang sesuai untuk penyu bertelur dan seterusnya mengganggu tingkah laku pembiakan penyu.
Peningkatan suhu alam sekitar juga menyebabkan suhu pasir menjadi lebih tinggi dan memberikan impak negatif kepada penyu. Jantina penyu bergantung pada suhu semasa eraman telur. Apabila suhu tinggi, maka lebih banyak anak penyu betina ditetaskan berbanding dengan jantan.
Pada tahun 2010, Fuentes et. al telah melaporkan bahawa lebih banyak penyu hijau betina terhasil di Australia. Hal ini dikaitkan dengan suhu pasir eraman yang lebih tinggi pada masa ini berbanding dengan tahun 1990-an. Ketidakseimbangan nisbah jantan dan betina dalam populasi boleh meningkatkan risiko kepupusan penyu pada masa akan datang.
Pencairan glasier berlebihan juga telah menyebabkan lebih banyak air tawar memasuki sistem lautan, maka kemasinan air laut berubah kepada nilai yang lebih rendah. Akibatnya, kepelbagaian hidupan laut berubah dan menjejaskan kuantiti haiwan kecil seperti zooplankton dan anak ikan yang menjadi sumber makanan penyu hijau ketika kecil.
Penyu hijau dewasa pula gemar makan rumput laut di samping sumber makanan lain di kawasan terumbu karang. Perubahan kemasinan air laut sudah semestinya memberikan kesan negatif kepada sumber makanan penyu kerana setiap spesies hidupan mempunyai toleransi kepada perubahan parameter air yang tertentu sahaja.
Selain itu, pertambahan jumlah air tawar yang tinggi dalam sistem lautan boleh menyebabkan perubahan arus yang menggangu corak migrasi penyu di samping mendedahkannya kepada pemangsa yang lain dari biasa. Keadaan ini juga akan meningkatkan risiko kepupusan penyu.
Pada tahun 2024, para penyelidik Universiti Malaysia Sarawak telah mendapati bahawa penyu hijau di Taman Negara Similajau, Bintulu, Sarawak lebih gemar bersarang pada bahagian pantai berpasir yang redup dan dilindungi oleh pokok bagi mengelakkan suhu tinggi di kawasan yang terdedah secara terus kepada cahaya matahari. Perubahan iklim biasanya akan menyebabkan kekerapan ribut taufan melampau yang boleh menyebabkan pokok tumbang lalu memusnahkan sarang penyu selain berpotensi mengakibatkan kecederaan atau kematian penyu yang sedang bertelur.
Secara keseluruhannya, manusia ialah hidupan yang paling bijak di dunia ini kerana dikurniakan akal fikiran yang sempurna. Manusia perlu menyedari bahawa kemusnahan alam sekitar secara berterusan boleh menyebabkan perubahan iklim. Perlu diingatkan juga bahawa perubahan iklim memberikan impak negatif bukan hanya kepada populasi penyu, malah kepada populasi manusia serta makhluk lain dalam alam semester ini.
Profesor Dr. Ruhana Hassan,
Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Sumber,
Universiti Malaysia Sarawak.
Puan Nor Emel Farnida Jaddil,
Taman Negara Similajau.