Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSaujana Utama – Program pendidikan kesihatan bersama-sama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam mengenai kemahiran asas dalam pertolongan cemas telah memberikan peluang kepada murid Sekolah Rendah Islam Integrasi Huffaz terlibat secara aktif dalam program ini melalui pembelajaran praktikal.

Menurut Puan Ashnurill Shamiem Ahmad Shahrulnizam selaku pengajar utama bagi program berkenaan, pengetahuan asas tentang pertolongan cemas dalam kalangan murid adalah penting.
“Kemahiran ini bukan sahaja berguna untuk melindungi diri sendiri, malah membantu orang lain ketika berada dalam situasi kecemasan, sekali gus mengajar murid untuk menjadi seseorang yang lebih bertanggungjawab dan peka terhadap persekitaran mereka,” jelasnya lagi.
Program tersebut merangkumi tiga modul utama, iaitu Balutan dan Anduh, Pengsan dan Pitam dan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) yang dijalankan secara interaktif.
Dalam modul Balutan dan Anduh, murid diperkenalkan kepada cara ikatan dan balutan yang betul bagi kecederaan seperti tangan patah.
Setiap murid dibekalkan dengan anduh berbentuk segi tiga dan diberikan peluang untuk mempraktikkan teknik balutan tersebut secara berpasangan dengan bimbingan fasilitator yang berpengalaman.

Modul Pengsan dan Pitam pula memberikan peluang kepada murid untuk mempelajari cara menguruskan mangsa yang pengsan atau pitam serta diajar mengenal pasti mangsa masih bernafas ataupun tidak.
Dalam sesi ini, wakil murid telah dipanggil untuk melakukan demonstrasi sebagai mangsa pengsan dengan pengasingan antara murid lelaki dengan murid perempuan bagi memastikan adab kekal terjaga dan program dapat dilaksanakan dengan penuh tertib.
Seterusnya, murid diperkenalkan kepada teknik CPR menggunakan patung dewasa dan setiap murid diberikan peluang untuk mencuba postur dan posisi yang betul ketika melakukan CPR di bawah bimbingan tenaga pengajar dengan tujuan memupuk keyakinan diri murid dalam menangani situasi kecemasan yang mungkin berlaku.

Guru Kokurikulum Sekolah Rendah Islam Integrasi Huffaz, Ustaz Mohammad Ridzwan Samsuri menyatakan bahawa aktiviti seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan agar murid berupaya memperoleh kemahiran yang bermanfaat dalam kehidupan mereka.
Ujar beliau,
Dengan adanya program sebegini, pelajar bukan sahaja belajar secara teori, malah mempraktikkan kemahiran yang dimiliki dalam situasi sebenar.
Sementara itu, pembimbing Persatuan Bulan Sabit Merah, UiTM Puncak Alam, Puan Fatimah Sham merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Sekolah Rendah Islam Integrasi Huffaz atas komitmen yang diberikan sepanjang program berlangsung dan jalinan kerjasama ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya memberikan ilmu yang bermakna kepada murid Sekolah Rendah Islam Integrasi Huffaz, sekali gus meningkatkan kesedaran mereka terhadap pentingnya kemahiran pertolongan cemas dalam kehidupan seharian.