Diterbitkan pada 16 Oktober 2024, 21:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan komited dalam mendukung penerapan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), rantaian blok, pengkomputeran awan dan teknologi kuantum dalam kalangan rakyat melalui Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang merupakan panduan utama strategi hala tuju bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan memastikan negara ini kekal berdaya saing pada peringkat global.

Demikian menurut Timbalan Menteri Digital, Yang Berhormat (YB) Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong dalam sesi pagi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan juga akan menggariskan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 dalam tempoh 12 bulan akan datang yang merupakan kesinambungan daripada Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2021-2025 sebelum ini.

Ekoran daripada itu, Kementerian Digital telah menilai keperluan pembangunan satu rang undang undang khusus tentang AI seperti yang telah dilaksanakan oleh negara-negara Kesatuan Eropah (EU) menerusi penguatkuasaan The European Union Artificial Intelligence Act.

Bagi teknologi pengkomputeran awan, YB Datuk Wilson Ugak berkata, kerajaan sedang menggubal Dasar Pengkomputeran Awan Negara yang bakal dilancarkan pada akhir tahun ini.

“Fokus utama dasar ini adalah untuk memperkasakan rakyat melalui keterangkuman digital yang berpusatkan rakyat,” jelasnya lagi. 

Mengulas isu teknologi kuantum pula, beliau berkata, Kementerian Digital sedang merangka strategi untuk menilai potensi manfaat dalam sektor ekonomi dan pelaburan, selain mengenal pasti risiko, ancaman serta memperkukuh data peribadi berkaitan dengan teknologi kuantum.

Satu daripada kerisauan yang dibangkitkan oleh teknologi baharu adalah kemampuannya untuk menggantikan pekerjaan manusia pada masa hadapan. 

Walaupun terdapat kegusaran tentang penggunaan AI dalam sektor pekerjaan, tidak dinafikan bahawa sebahagian besar (sektor pekerjaan) mengguna pakai teknologi AI.

“Dalam bidang teknologi baharu yang penerokaannya masih sedikit seperti AI, kerajaan perlu sentiasa memastikan bahawa setiap kemajuan teknologi ini memberikan manfaat kepada rakyat dan negara,” kata beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sri Aman, YB Dato’ Sri Doris Sophia Anak Brodi.

Latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan pemahiran semula (reskilling) perlu dilaksanakan bagi membantu para pekerja yang tergugat oleh keberadaan AI untuk menyesuaikan diri dengan teknologi-teknologi yang baru ini.

Program kemahiran seperti Program Latihan Digital serta TVET Madani bersama-sama Yayasan Telekom Malaysia dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) merupakan antara usaha kerajaan untuk meningkatkan keupayaan rakyat Malaysia.

Penglibatan wanita dalam bidang teknologi baharu tidak diabaikan. Menurut YB Datuk Wilson Ugak, pelbagai inisiatif telah diambil oleh Kementerian Komunikasi dan Digital untuk memperkasakan golongan wanita dalam bidang ini.

“Wanita diperkasa melalui program Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) seperti Women in Tech Malaysia yang bertujuan meningkatkan penyertaan wanita dalam pendidikan teknologi. Program mentor-mentee Girls4Girls juga berjaya memperkasakan lebih daripada 1000 wanita sepanjang tahun ini,” katanya ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin.

Kredit Foto: Media Parlimen Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi