Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, dalam usaha mengukuhkan perkhidmatan berhenti merokok dalam kalangan rakyat negara ini, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teleperundingan akan diperkenalkan.
Beliau berkata, teknologi AI sedang disusun dan perancangan yang rapi untuk melaksanakan inisiatif selain aktiviti pendidikan serta advokasi pencegahan merokok yang berterusan kepada masyarakat.
Sebelum itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan Cik Era Chatbot yang berupaya memberikan khidmat nasihat kepada perokok dan perokok elektronik yang ingin berhenti merokok pada setiap hari selama 24 jam sebelum disalurkan kepada pengendali perkhidmatan berhenti merokok yang terlatih.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Cik Era ChatBot Melalui Laman Sesawang JomQuit di Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur semalam.

Majlis pelancaran ini merupakan hasil kerjasama antara badan profesional, badan bukan kerajaan dengan sektor swasta dalam memastikan masalah merokok dapat dibendung, selaras dengan kuatkuasanya Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bersama-sama peraturan dan perintah di bawahnya pada 1 Oktober 2024 lalu.
Sehubungan dengan itu, KKM telah melaksanakan jalinan kerjasama awam dan swasta yang melibatkan fasiliti kesihatan di bawah KKM dan fasiliti swasta bagi memperluas capaian perkhidmatan berhenti merokok sejak tahun 2015.
Bermula tahun 2020, melalui Memorandum Persefahaman Perkhidmatan Rawatan Berhenti Merokok “mQuit Services” Fasa ke-3, perkhidmatan ini diperbaharui dengan pembangunan laman sesawang jomquit.com dan inisiatif sukarelawan oleh Rakan Nasihat Komuniti PEMADAM yang memberikan khidmat nasihat secara dalam talian.
Justeru, KKM menyeru agar semua pihak dapat memberikan sokongan terhadap semua usaha kerajaan bagi memastikan kesihatan rakyat terpelihara, selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas tanpa sebarang bentuk amalan merokok menjelang tahun 2040.
Turut hadir dalam program itu Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), YBhg. Datuk Dr. Norhayati Rusli; Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah (Tengah), Puan Erica Lam dan Timbalan Presiden Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), YBhg. Datuk Haji Omar Haji Osman.
Sementara itu, antara wakil daripada pakar perubatan yang turut hadir termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Prince Court Medical Centre, YBrs. Dr. Shuba Srinivasan; Pengarah Perubatan Prince Court Medical Centre, YBrs. Dr. Kuljit Singh; Pengarah Urusan National Cancer Society Malaysia, YBrs. Profesor Dr. Muralitharan Munisamy dan Pengurus Besar Kenvue Malaysia, Encik Stephen Tiu.