Oleh Noorilham Ismail
15 Oktober 2024, 17:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 27 September lalu telah menyaksikan satu terbitan tulisan dalam portal JendelaDBP yang berkaitan dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Pengisian yang berhubung dengan penggunaan teknologi dalam NATO telah dihuraikan melalui artikel tersebut yang memaparkan kelebihan saintifik dalam blok ketenteraan di bawah pimpinan Amerika Syarikat.

Untuk itu, tulisan ini bakal mengetengahkan satu lagi organisasi kerjasama ketenteraan yang merupakan pesaing NATO dalam Perang Dingin, iaitu Pakatan Warsaw. Inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada tulisan terdahulu, namun penulisan kali ini akan menggarisbawahi pakatan yang diterajui oleh Kesatuan Soviet dan bukannya Amerika Syarikat.

Segalanya bertitik tolak daripada kefungsian Pakatan Warsaw itu sendiri yang melampaui soal kerjasama persahabatan ketenteraan apabila turut menyediakan manfaat saintifik. Tidak terhad kepada negara anggota semata-mata, tetapi Pakatan Warsaw kemudiannya menyediakan bekalan bantuan saintifik kepada negara dunia ketiga, sama ada bekalan senjata, maklumat perisikan mahupun bantuan perubatan.

Pada 14 Mei 1955, Pakatan Warsaw dibentuk dengan melibatkan Kesatuan Soviet bersama-sama tujuh buah negara sekutunya, iaitu Albania, Bulgaria, Czechoslovakia, Jerman Timur, Hungary, Poland dan Romania. Kesepakatan itu terhasil atas nama perjanjian persahabatan, kerjasama ketenteraan dan pertahanan bersama yang melewati garis geografi dari Eropah Timur ke Eropah Tengah.

Secara implisit, pakatan ini memberikan isyarat peluasan sfera Soviet yang mencakupi negara satelit di bawah pengaruhnya, bahkan Warsaw itu sendiri merupakan ibu negara Poland. Di atas kertas, kelahiran Pakatan Warsaw ini berlaku seiring dengan peristiwa lain di pentas politik global selepas pembentukan Pertubuhan Perjanjian Asia Tenggara (SEATO) pada 1 September 1954 dan Persidangan Afro–Asia di Bandung pada April 1955.

Segalanya semakin memperjelas tahap persaingan antara blok demokrasi dengan blok komunis tatkala dunia menyaksikan berlakunya pusingan pertama Perang Dingin. Jika bertukar kepada konflik bersenjata, sudah pasti keadaan tersebut berupaya untuk menjadi situasi yang dahsyat seperti kalah jadi abu, menang jadi arang. Lebih signifikan dan tampak menarik apabila pertembungan itu kemudiannya diiringi oleh penyaluran hasil saintifik sebagai satu daripada instrumen peluasan pengaruh selain penyebaran ideologi.

Pada pihak Kesatuan Soviet, negara berkenaan ibarat “abang besar” dalam Pakatan Warsaw kerana berperanan sebagai penyedia teknologi untuk keperluan negara anggotanya. Tidak terhad di bumi, aset saintifik miliknya turut diperluas ke ruang angkasa lepas untuk tujuan keselamatan, perisikan serta pertahanan geopolitik.

Program uranium dan projek peluru berpandu balistik turut diperluas sambil penghasilan satelit Sputnik 1 yang dilancarkan pada 4 Oktober 1957. Sputnik 1 merupakan satelit pertama yang dihantar ke angkasa lepas yang kemudiannya berperanan dalam hal ehwal berkaitan meteorologi, sistem telekomunikasi di samping pencerapan imej di bumi untuk tujuan perisikan. Keadaan sedemikian menjadikan Kesatuan Soviet sebagai tempat bergantung negara Pakatan Warsaw sebelum penyaluran material saintifik dihalakan kepada negara bukan ahli, sama ada di Asia, Amerika Latin mahupun Afrika.

Kedudukan Kesatuan Soviet sebagai kuasa pembangunan nuklear turut diterima manfaatnya oleh negara seperti Argentina apabila wujudnya kerjasama pembangunan nuklear dalam bentuk bilateral. Walau bagaimanapun, keunggulan Kesatuan Soviet sebagai kuasa nuklear semasa Perang Dingin tercalar apabila berlakunya tragedi Chernobyl pada 26 April 1986 yang mengorbankan jutaan nyawa berserta kesan radiasi hingga hari ini.

Poland sebagai sekutu yang penting dalam Pakatan Warsaw telah memainkan peranan sebagai ejen yang meluaskan penyaluran bantuan teknologi kepada negara di Dunia Ketiga. Di bawah pimpinan Józef Cyrankiewicz (1954–1970), perkara tersebut telah disampaikan dengan cara lawatan diplomatik ke Tanah Besar China, Vietnam Utara, Thailand dan India.

Inisiatif ini penting bagi mempromosikan imej Pakatan Warsaw yang pada waktu itu masih lagi baharu berbanding dengan NATO yang semakin kukuh kedudukannya. Ibarat tidak bertepuk sebelah tangan, negara yang disebutkan tadi menerima baik tawaran bantuan daripada Pakatan Warsaw, terutamanya penyediaan kemudahan kesihatan di Vietnam Utara bagi membendung penyakit malaria dan penyediaan pakar di hospital. Negara dalam Pakatan Warsaw turut menawarkan institut latihan ketenteraan, terutamanya dalam operasi gerila bagi negara membangun yang sedang memperjuangkan kemerdekaan sekitar tahun 1960-an hingga tahun 1970-an seperti Angola, Nigeria dan Ghana.

Dalam tempoh Perang Dingin, keupayaan dari segi kegiatan perisikan merupakan antara perkara yang mengisi pelan tindakan dalam sesebuah pakatan ketenteraan. Jika NATO mempunyai NATO Information Service (NATIS) dan Signal Intelligence (SIGINT), Pakatan Warsaw turut memiliki keupayaan seumpama itu. Sasaran pada operasi perisikan tersebut tidak terhad semata-mata dalam kalangan negara ahli, malah membabitkan kepentingan kawasan Kesatuan Soviet di luar Eropah Timur.

Dalam isu ini, Kesatuan Soviet melalui Komitet Gosudarstvennoy Bezopasnosti (KGB) dan Czechoslovakia menerusi Státní Bezpečnost (StB) telah memainkan peranan terutama ketika kedua-dua negara berkenaan menyokong pentadbiran di Congo yang dimerdekakan oleh Belgium pada tahun 1960. Sokongan terbabit diberikan kepada pentadbiran Patrice Lumumba (tahun 1960) sehingga berlakunya Pemberontakan Simba pada tahun 1964.

Sebanyak 50 orang ejen perisikan telah ditempatkan di Congo pada waktu itu bagi menyalurkan data dan maklumat perisikan ke Moscow serta Prague. Perkara ini mendapat perhatian dalam wacana ilmiah, terutamanya dalam tulisan Dr. Natalia Telepneva (ahli sejarah di Universiti Strathclyde di Glasgow).

Untuk kelengkapan ketenteraan, Bulgaria telah memainkan peranan aktif dalam menyalurkansenjata ke kawasan yang berkonflik, khususnya di Timur Tengah. Gamal Abdel Nasser yang merupakan Presiden Republik Arab Bersatu (kini terpecah menjadi Syria dan Mesir) turut menerima manfaat ini dari segi pembekalan senjata. Masyarakat Arab turut diterima untuk memasuki sekolah tentera di Bulgaria. Sebanyak BGN 1 juta (mata wang Bulgaria) dalam bentuk bantuan makanan, pakaian dan perubatan juga diberikan untuk orang awam yang terkesan oleh Perang Enam Hari Arab Israel pada tahun 1967.

Perkara ini mendapat restu dan persetujuan Kesatuan Soviet bagi mengimbangi kedudukan pihak Barat di Timur Tengah tatkala Perang Dingin semakin runcing pada ketika itu. Kelengkapan ketenteraan ini termasuklah penyediaan helikopter dan peralatan pertempuran meskipun pihak tentera di bawah pimpinan Nasir akhirnya tewas dalam perang tersebut. Secara tersirat, perkara ini memberikan gambaran betapa anggota Pakatan Warsaw terlibat di sebalik tabir dalam konflik geopolitik di Timur Tengah pada ketika itu.

Selain itu, Jerman Timur turut mengambil tempat untuk memperluaskan pengaruhnya dalam kalangan negara selatan yang berpendapatan rendah melalui penyediaan bantuan perubatan. Dari tahun 1965 hingga tahun 1979, sebanyak 47.84 juta dolar telah dibelanjakan bagi tujuan bantuan tersebut yang merangkumi pembekalan produk farmaseutikal, pencegahan penyakit tuberkulosis, rawatan penyakit schistosomiasis, penyediaan antibiotik serta penghantaran untuk melatih masyarakat dalam aspek perubatan.

Mesir dan Brazil pada tahun 1950-an hingga tahun 1960-an menjadi lokasi pembekalan peralatan serta bahan perubatan bagi merawat penyakit tuberkulosis, manakala Burma dibekalkan dengan pakar bedah serta Republik Rakyat China menerima projek penyelidikan mikrobiologi dari Jerman Timur. Di Brazil, Jerman Timur telah membantu untuk membina makmal penyelidikan dan memberikan mesin sinar-X bagi memenuhi keperluan di hospital, khususnya di kawasan seperti Rio De Janeiro, São Paulo dan Brasília.

Penyediaan keperluan ini sekali gus telah mengangkat imej Pakatan Warsaw dalam kalangan negara membangun yang dinyatakan tadi. Bagaikan serampang dua mata, diplomasi dengan instrumen perubatan berkenaan sedikit sebanyak telah memperluas pengaruh blok komunis dari Eropah Timur di bawah pimpinan Kesatuan Soviet pada ketika itu.

Disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari. Begitulah perumpamaan untuk pengakhiran Pakatan Warsaw yang telah ditamatkan pada 1 Julai 1991 seiring dengan keruntuhan Kesatuan Soviet tatkala berakhirnya Perang Dingin.

Pakatan ketenteraan yang hanya bertahan selama 36 tahun itu hanya tinggal dalam wacana akademik, sama ada di Timur mahupun di Barat kini. Perbincangannya masih malar segar dan tetap relevan dalam konteks hari ini yang telah mengundang penulisan akademik dalam kalangan sarjana seperti Philip Muehlenbeck, Marek Rutkowski, Iris Borowy dan Matej Bíly. Kesemuanya terhasil daripada kajian ilmiah yang menggunakan dokumen primer dari arkib yang berkaitan dengan Pakatan Warsaw, khususnya di arkib di Prague, Sofia, Budapest, Warsaw dan Moscow.

Kesempatan ini turut boleh dimanfaatkan oleh mana-mana penerbit di negara ini untuk menghasilkan bahan ilmiah dengan berkaitan Pakatan Warsaw kerana perbincangan mengenainya masih berkurangan. Setidak-tidaknya, ilmu ini mampu memberikan pengetahuan kepada masyarakat awam dan ahli akademik di institusi pengajian tinggi melalui bahan penulisan yang bersifat neutral, objektif dan akademik.

Sebagai rumus bicara, Pakatan Warsaw sememangnya telah tercatat dalam sejarah sebagai satu daripada blok ketenteraan yang berpengaruh semasa Perang Dingin selain daripada NATO. Walaupun hanya tinggal nama, tetapi perkara berkenaan boleh memberikan kita maklumat betapa dua blok tersebut sentiasa bersaing untuk mendapatkan sokongan dan meluaskan pengaruh biarpun dengan menggunakan keupayaan teknologi dan kemajuan saintifik masing-masing.

Tidak terhad kepada teknologi persenjataan, jaringan komunikasi dan kemajuan dalam lapangan perubatan turut dipertaruhkan untuk memastikan Pakatan Warsaw diterima dan mendapat tempat dalam kalangan negara membangun. Apabila berlaku pembubaran, anggota Pakatan Warsaw selain Kesatuan Soviet telah menyertai NATO bermula pada tahun 1999; Poland, Czechoslovakia dan Hungary, Romania pada tahun 2004; dan Albania pada tahun 2009.

Dalam konteks hari ini, Rusia sedang cuba untuk mengembalikan pengaruhnya melalui program kerjasama yang menggembleng kesepakatan dalam kalangan negara di dunia, khususnya melalui pengenalan BRICS pada tahun 2010. Meskipun bukan bersifat ketenteraan, tetapi sedikit sebanyak kumpulan kerjasama itu berupaya untuk mencerminkan pembentukan pengaruh baharu pada peringkat global biarpun pada ketika ini Perang Dingin sudah tiada.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.