Diterbitkan pada 12 Oktober 2024, 16:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Sambutan Hari Warga Emas bertemakan “Kesejahteraan Warga Emas Bersama-sama Komuniti” yang diadakan di Masjid An-Naim menggalakkan pelibatan warga emas dalam aktiviti kemasyarakatan kerana program ini dipercayai dapat memberikan kesan positif kepada kehidupan warga emas yang lebih sihat, sejahtera dan bermakna.

Program yang dianjurkan oleh Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Majlis Bandaraya Shah Alam dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), UKM dengan kerjasama Bait Al-Mawaddah Lembaga Zakat Selangor, Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Jalan Kebun, Masjid An-Naim dan Masjid Al-Falah itu telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Shah Alam, YBhg. Dato’ Haji Mohd Fauzi Haji Mohd Yatim.

Dekan Fakulti Sains Kesihatan, UKM, Profesor Dr. Suzana Shahar dalam ucapannya berkata, data Banci Penduduk dan Perumahan 2020 menunjukkan peratusan penduduk di Malaysia yang berumur 60 tahun dan ke atas meningkat daripada dua juta pada tahun 2010 kepada 3.4 juta pada tahun 2020.

Ujar beliau,

Malaysia juga mencatatkan peningkatan jangka hayat kepada 75.6 tahun pada tahun 2020 berbanding dengan 63.6 pada tahun 1970, sekali gus menunjukkan bahawa statistik ini merupakan seruan kepada semua pihak untuk memberikan lebih perhatian terhadap aspek penuaan.

Program yang disertai oleh 500 orang warga emas berserta ahli keluarga dan penjaga masing-masing itu menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik seperti senaman Chairobic, sukaneka antara warga emas, demonstrasi masakan dan ceramah kesihatan.

Aktiviti senaman Chairobic diketuai oleh ahli PAWE, UKM.
Pelbagai aktiviti sukaneka diadakan dalam program bersempena dengan Sambutan Hari Warga Emas di Masjid An-Naim.

Selain itu, terdapat juga aktiviti saringan kesihatan seperti saringan gula dalam darah, saringan audiologi, saringan pergigian dan saringan kognitif secara percuma yang dilaksanakan oleh ahli profesional dari UKM dan klinik kesihatan yang berdekatan.

Pada masa yang sama, produk dan program baharu turut dilancarkan dalam program berkenaan, iaitu ABC Ageless, Mighty Mind Kit WE-RISE, TempeCal Chip dan SEHATI yang mencerminkan komitmen H-CARE, UKM untuk terus memberikan sumbangan kepada komuniti dalam bidang penuaan sihat dan kesejahteraan.

Program dan produk baharu H-CARE yang memberikan manfaat kepada penuaan sihat dilancarkan.

H-CARE, UKM yang ditubuhkan pada tahun 2012 telah memainkan peranan yang penting dalam pendekatan multidisiplin dengan merangka penyelidikan, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang berterusan sebagai persediaan ke arah penuaan sihat dan kesejahteraan.

Bidang penyelidikan penuaan sihat dan kesejahteraan adalah sangat relevan dan merupakan satu daripada keperluan penting untuk negara pada masa ini.

Kekuatan penyelidik H-CARE adalah melakukan pencegahan penyakit dalam kalangan warga emas dalam pelbagai bidang disiplin sains kesihatan.

Di samping itu, H-CARE juga giat menjalankan aktiviti yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan perkongsian ilmu berkaitan dengan penuaan sihat, pemulihan dan komuniti dengan sasarannya kepada warga emas.

Warga emas yang mengalami penuaan secara sihat merupakan aset negara yang penting kerana golongan ini mampu memberikan sumbangan yang besar kepada negara, jadi masyarakat seharusnya menggembleng tenaga bagi memastikan kesejahteraan warga emas terus dipelihara dengan sebaik-baiknya.

Aktiviti sukaneka yang diadakan mengeratkan silaturahim antara para peserta.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi