Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melalui Fakulti Sains Gunaan telah menganjurkan kolokium The 2nd International Science and Technology 2024 (i-COSTECH 2024) secara dalam talian.
Kolokium yang berlangsung selama dua hari itu telah dirasmikan oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi pada 9 Oktober 2024, manakala untuk acara penutup pula disempurnakan oleh Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kasim pada 10 Oktober 2024.
Pada kali ini, i-COSTECH 2024 diadakan dengan kerjasama Universitas Airlangga, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Kelantan.
Sejumlah 128 kertas kerja penyelidikan telah dibentangkan dalam kolokium berkenaan.

Dalam ucapannya, Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi berkata,
Kolokium yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis menjadi pentas kepada para penyelidik, ahli akademik dan pelajar universiti untuk berkongsikan pelbagai ilmu pengetahuan terkini dan hasil penemuan penyelidikan yang berimpak tinggi merentas bidang seperti biologi, fizik, kimia, polimer dan marin.
Ujar YBrs. Profesor Mayda Dr. Ahmad Fikri Mohd Kasim pula,
Saya berharap kolokium ini dapat mencetuskan kolaborasi penyelidikan yang mampu mengorak langkah dalam menangani isu global seperti perubahan iklim, kesihatan awam, keadilan dan pembangunan mampan.

Sementara itu, penasihat kolokium merangkap Ketua Pusat Pengajian Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim berkata, tema kolokium i-COSTECH 2024 pada kali ini ialah “Synergizing Interdisciplinary Research in Science and Technology”, iaitu memacu perpaduan keunikan pengalaman, kemahiran dan bidang kajian para penyelidik dalam usaha menghasilkan kajian berimpak tinggi yang akan memanfaatkan sosioekonomi negara.
Katanya,
Penganjuran kali kedua i-COSTECH 2024 ini meneruskan langkah memecut ke hadapan penyelidikan saintifik terkini dalam proses merancakkan kemajuan institusi pendidikan, komuniti, industri dan negara sejajar dengan aspirasi UiTM untuk menjadi universiti terkemuka dalam pelbagai bidang.
Kolokium i-COSTECH 2024 telah menghimpunkan beberapa orang penceramah ucap utama dan pengerusi prolifik seperti Profesor Madya Dr. Ali H Jawad Al-Taie; Profesor Dr. Haji Khudzir Haji Ismail; Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail; Profesor Dr. Aishah Abd Jalil; Profesor Dr. Mochamad Zakki Fahmi; Ir. Ts. Ya Mohammad Nazir Syah Ismail; Ts. Dr. Zuliahani Ahmad dan Profesor Madya Dr. Razif Mohammed Nordin.

Turut hadir dalam kolokium tersebut ialah wakil Penerbitan, Khidmat Komuniti dan Kolaborasi, Universitas Airlangga, Profesor Dr. Fatmawati; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaysia Sabah, Profesor Ir. Dr. Willey Liew Yun Hsien dan Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan, Profesor Madya Dr. Mohd Farhan Hanif Reduan.