Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Malaysia komited untuk memacu masa depan tenaga yang mampan, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di seluruh komuniti ASEAN yang lebih luas.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Yang Berhormat (YB) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, “Komitmen Malaysia terhadap peralihan tenaga dipandu oleh dasar-dasar utama seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR); Dasar Tenaga Negara (NEP); Peta Hala Tuju Ekonomi Hidrogen dan Teknologi (HETR); Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) serta Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara (NEEAP), yang menggariskan strategi untuk mempelbagaikan campuran tenaga, meningkatkan kecekapan tenaga serta memanfaatkan teknologi baharu seperti hidrogen dan pemodenan grid untuk mencapai peralihan tenaga.”
Beliau turut menjelaskan bahawa dalam NETR, Malaysia menyasarkan untuk mencapai penjimatan tenaga sebanyak 21 peratus menjelang tahun 2040 dan 70 peratus bahagian tenaga boleh baharu dalam kapasiti terpasang (installed capacity) menjelang tahun 2050. Ini adalah satu lonjakan besar daripada tahap semasa dan memerlukan perubahan besar dari segi pelaburan hijau serta kaedah pembiayaan mampan.

“Menyentuh tentang penggunaan tenaga yang mampan, sehingga Jun 2024, kita telah mencapai penjimatan elektrik sebanyak 5.82 peratus, bersamaan dengan 8,769 Gigawatt jam (GWj) yang bernilai RM2.21 bilion,” ujar beliau ketika menyampaikan ucaptama di Enlit Asia 2024 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) semalam.
“Ini adalah kemajuan yang sangat baik kerana kita menyasarkan pengurangan permintaan elektrik sebanyak lapan peratus dengan pengurangan keseluruhan sebanyak 38 juta tan karbon dioksida serta penjimatan yang dijangka sebanyak 52,000 GWj elektrik menjelang tahun 2025.”
Menurut YB Akmal Nasrullah, program seperti Standard Prestasi Tenaga Minimum (MEPS), pengauditan tenaga dalam sektor komersial dan perindustrian serta program pelabelan Indeks Tenaga Bangunan (BEI) telah memainkan peranan penting dalam penjimatan tenaga yang ketara dan mengurangkan pelepasan karbon.
Beliau turut menyebut bahawa Parlimen baru-baru ini telah meluluskan Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga yang akan mengawal selia amalan kecekapan dan pemuliharaan tenaga secara berkesan. Akta baharu ini akan merangkumi langkah-langkah menyeluruh bagi menggalakkan penggunaan tenaga yang cekap di sektor perindustrian, komersial serta perumahan.
Menyentuh tentang tenaga boleh baharu, Malaysia telah membenarkan eksport tenaga boleh baharu dan perdagangan tenaga rentas sempadan serta akan memperluaskan kapasiti tenaga boleh baharu. Pada awal tahun ini, Kerajaan telah bersetuju untuk menubuhkan Bursa Tenaga Malaysia (ENEGEM) untuk penjualan elektrik hijau rentas sempadan ke negara jiran.
“Platform ENEGEM akan membolehkan Malaysia mengukuhkan lagi rangka kerja integrasi elektrik rentas sempadan sambil membuka jalan untuk pembangunan tenaga boleh baharu yang lebih besar dan kerjasama serantau dalam perdagangan tenaga rentas sempadan antara negara-negara ASEAN,” jelas beliau.
Pembangunan tenaga boleh baharu Malaysia akan terus berkembang dengan menggalakkan pelaburan di seluruh rantaian tenaga boleh baharu serta mempelbagaikan program tenaga boleh baharu melalui prinsip “pembeli sedia-penjual sedia” (willing buyer-willing seller).
Skim Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) juga diperkenalkan untuk meningkatkan akses korporat kepada bekalan elektrik hijau. Di bawah program CRESS, penjana tenaga boleh baharu dan syarikat korporat yang layak boleh mengatur bekalan elektrik hijau dengan terma yang dipersetujui melalui sistem bekalan sedia ada.
“Pencapaian ini mencerminkan dedikasi kita untuk memacu peralihan tenaga bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh rantau ASEAN. Kita mesti mengakui bahawa tiada satu entiti atau negara yang boleh mencapai tugas besar ini secara bersendirian. Justeru, perkongsian dan kerjasama yang kukuh merentas sempadan, industri dan sektor amat diperlukan untuk mencapai peralihan tenaga,” tegas beliau.
Pemacu utama dalam usaha ini adalah Grid Tenaga ASEAN (APG), yang akan menjadi salah satu tumpuan utama Malaysia ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) pada tahun 2025. APG menawarkan platform penting untuk mempercepat penggunaan tenaga boleh baharu di rantau ASEAN sambil memastikan keselamatan tenaga tetap terjamin.
Dengan membolehkan integrasi sumber tenaga boleh baharu yang lebih luas di seluruh grid yang saling terhubung, APG memperkukuh ketahanan dan kebolehpercayaan bekalan kuasa bagi negara-negara anggota ASEAN.