Diterbitkan pada 7 Oktober 2024, 15:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Eksplorasi dan Bermalam di Zoo Negara yang dikendalikan oleh 34 orang pelajar yang mengambil jurusan Sarjana Muda Pengurusan Awam bagi modul Pembangunan Masyarakat IV (VKMB2041) dari Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah disertai oleh anak yatim dan asnaf dari Asrama Anak Yatim dan Anak Asnaf Baitul Rahmaniah.

Kumpulan pelajar yang menamakan kumpulan mereka sebagai Lengkang Wijaya (Ruang Kemenangan) ini merupakan gabungan pelajar UUM semester ketujuh yang menuntut pengajian di kampus Kuala Lumpur.

Sepanjang program yang berlangsung selama dua hari satu malam itu, pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan seperti eksplorasi malam yang mendedahkan satu sisi berbeza dunia haiwan, sekali gus memberikan peluang kepada para peserta untuk melihat kehidupan haiwan pada waktu malam.

Selain memberikan pengalaman yang unik kepada para peserta, program ini juga memberikan pendedahan kepada para peserta tentang habitat haiwan dan kepentingan menjaga flora dan fauna demi kesejahteraan dan kelangsungan hidupan.

Salah seorang peserta program berkenaan, Nurulfaizah Che Mat berkata,

Kami diberikan peluang untuk menyediakan makanan haiwan dengan membungkus beberapa jenis buah seperti pisang dan betik dengan menggunakan daun pisang dan memberikan sendiri makanan yang disediakan itu kepada haiwan yang terdapat di Zoo Negara.

Zaidatulakhma Zulkifli juga menyatakan bahawa pelibatan Timbalan Pengarah PACE, YBrs. Profesor Madya Dr. Abdul Aziz Othman dan Timbalan Presiden Zoo Negara Malaysia, YBhg. Datuk Rosly @ Rahmat Ahmat Lana dalam program tersebut telah memberikan suntikan semangat kepada para pelajar untuk menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.

Selain itu, program ini juga memberikan peluang kepada para pelajar Pengajian Jarak Jauh (PJJ), UUM untuk lebih mendekati masyarakat dan menimbulkan rasa prihatin dan kasih sayang sesama insan.

Menurut salah seorang pelajar PJJ, UUM, program seumpama ini dilihat sangat baik untuk dijadikan sebagai program tahunan kerana memberikan peluang kepada anak-anak yatim dan asnaf mendekati alam dan habitat yang sebenarnya boleh dijadikan sebagai platform kepada para pelajar untuk kembali berbakti kepada masyarakat.

Ujar beliau,

Perkara ini menjadi satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat untuk memberikan khidmat bakti kepada semua golongan tanpa mengira status, agama dan bangsa.

Para peserta program Eksplorasi dan Bermalam di Zoo Negara bergambar bersama-sama sebagai tanda kenang-kenangan.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi