Diterbitkan pada 7 Oktober 2024, 17:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2024 telah mencapai objektif utama dengan berlangsungnya Pertandingan Eksplorasi Bahasa peringkat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Sekolah melalui pelibatan 13 pasukan yang terdiri dalam kalangan warga kerja MOSTI yang bersaing untuk menyelesaikan pelbagai tugasan berkaitan dengan bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), MOSTI, Encik Ooli Gunalan a/l Manickam menyampaikan ucapan penutupan.

Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), MOSTI, Encik Ooli Gunalan a/l Manickam dalam ucapan majlis penutupan program yang diadakan di Dewan Auditorium, Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur menekankan bahawa bahasa merupakan khazanah yang luar biasa.

“Setiap bangsa diukur dengan bahasa itu sendiri. Segala yang dilalui oleh sesuatu bangsa itu akan dicerminkan melalui kepelbagaian pengalaman bahasa mereka.

Tambahan beliau, melalui penganjuran pertandingan eksplorasi bahasa, peserta bukan sahaja dapat meneroka keindahan bahasa, malah memperoleh pengalaman dan ilmu yang ada dalam bangsa tersebut.

Program Eksplorasi Bahasa ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha, MOSTI yang telah menyempurnakan pelepasan peserta pertandingan di lobi ibu pejabat MOSTI pada pukul 8.00 pagi.

Pertandingan ini melibatkan 11 stesen yang bermula dari Kompleks C, Putrajaya dan berakhir di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur.

Program ini turut mendapat kerjasama dari Pusat Sains Negara, MRT Corporation, RapidKL, Terminal Putrajaya Sentral dan PULSE Group.

Antara stesen yang terlibat termasuklah empat stesen di sekitar Putrajaya, dua stesen transit laju massa (MRT), iaitu di MRT Putrajaya dan MRT Semantan dan lima stesen di sekitar Pusat Sains Negara Kuala Lumpur.

Program yang berbentuk permainan bahasa ini merangkumi soalan-soalan yang berkaitan aspek kebahasaan seperti mencari perkataan tersembunyi, teka silang kata, susun suai gambar, tatabahasa, ejaan, istilah dan juga mencipta pantun.

Berdasarkan petunjuk atau kata kunci yang diberikan, setiap pasukan menyelesaikan tugasan di setiap stesen.

Para peserta juga digalakkan menggunakan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang merupakan salah satu kemudahan rujukan yang dibangunkan oleh DBP yang mengandungi pelbagai maklumat tentang ejaan yang betul, penggunaan istilah dalam pelbagai bidang dan juga makna sesuatu perkataan.

 

Antara pasukan yang telah berjaya menyelesaikan soalan teka silang kata di dalam MRT.

Antara cabaran yang dihadapi oleh setiap pasukan termasuklah mereka hanya dibenarkan menggunakan sebuah kereta dalam menghadapi cabaran di sekitar Putrajaya dan menggunakan kenderaan awam, iaitu MRT dan bas dari Putrajaya untuk tiba ke Pusat Sains Negara.

Para peserta menyelesaikan tugasan yang ke tujuh di Taman Prasejarah, Pusat Sains Negara Kuala Lumpur.

Johan pertandingan dinobatkan kepada pasukan D’ Geniuses yang menerima hadiah wang bernilai RM700.00, naib johan pula disandang oleh pasukan Inteligensia menerima hadiah wang bernilai RM500.00 dan tempat ketiga diraih oleh pasukan Mizz BM yang menerima hadiah wang bernilai RM300.00.

Sementara itu, sebanyak 10 hadiah sagu hati bernilai RM150.00 diberikan kepada 10 pasukan yang bertanding.

Turut hadir dalam majlis penutupan dan penyampaian hadiah tersebut ialah Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah (DBP), Tuan Haji Ruslan Abdull Raffar; Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (MOSTI), Encik Mohd Safrie Zakaria; Ketua Penolong Setiausaha, Seksyen Pembangunan Sumber Manusia dan Kompetensi (MOSTI), Encik Chan Tat Seng dan Pengarah Pusat Sains Negara, Encik Mohammad Fuad Rahman.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi