Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKanser payudara ialah sejenis kanser yang bermula daripada sel dalam tisu payudara dan pertumbuhan sel tersebut berlaku secara tidak terkawal. Kanser payudara merupakan kanser paling digeruni dan menjadi penyebab utama kematian dalam kalangan wanita di Malaysia mahupun di seluruh dunia.
Menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCR) 2017–2021, kanser payudara dicatatkan sebagai kanser paling utama dalam senarai 10 jenis kanser yang menyerang penduduk Malaysia, diikuti dengan kanser kolorektal dan kanser paru-paru. Menurut ringkasan laporan tersebut, kadar kejadian kanser payudara dalam kalangan wanita Malaysia terus meningkat.
Kadar kejadian merujuk kejadian kanser dalam populasi tertentu dalam jangka waktu tertentu. Kadar kejadian biasanya dinyatakan sebagai jumlah kes baharu bagi kanser payudara yang didiagnosis per 100 ribu individu dalam setahun.
Dalam ringkasan laporan ini juga, kadar kejadian kanser payudara di Malaysia meningkat daripada 34.1 kes per 100 ribu wanita antara tahun 2012 hingga tahun 2016 kepada 38.9 kes per 100 ribu wanita antara tahun 2017 hingga tahun 2021. Kadar ini amat bermakna bagi memahami seberapa biasa sesuatu jenis kanser berlaku dalam populasi, khususnya kanser payudara dan membolehkan beban penyakit ini pada masyarakat dapat dinilai.
Penilaian risiko seumur hidup merupakan ukuran yang menunjukkan kemungkinan bagi seseorang wanita akan didiagnosis dengan kanser payudara pada suatu ketika dalam hidupnya. Menerusi ringkasan laporan ini, dinyatakan terdapat peningkatan daripada satu dalam 27 wanita dalam tempoh 2012 hingga tahun 2016 kepada satu dalam 23 wanita dijangka akan menghidap kanser payudara dalam tempoh 2017 hingga tahun 2021. Secara umumnya, maklumat ini menunjukkan bahawa lebih ramai wanita didiagnosis dengan penyakit ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Terdapat peningkatan kadar kejadian kanser payudara dalam kalangan wanita Malaysia yang berumur 40 tahun ke atas pada tahun 2017 hingga tahun 2021 berbanding dengan tempoh sebelumnya. Peningkatan yang ketara juga dilaporkan khususnya dalam kelompok umur 65 tahun hingga 69 tahun. Data ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa wanita dalam kategori umur ini mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser payudara.
Ringkasan MNCR juga menyatakan bahawa terdapat peningkatan risiko seumur hidup bagi tiga etnik utama di Malaysia daripada satu tempoh kepada tempoh yang lain. Contohnya, risiko bagi wanita Melayu meningkat daripada satu dalam 30 kepada satu dalam 26. Bagi wanita Cina pula, risiko daripada satu dalam 22 kepada satu dalam 19. Sementara itu, bagi wanita India, risiko kanser payudara meningkat daripada satu dalam 24 kepada satu dalam 17. Maklumat ini membuktikan bahawa lebih banyak wanita daripada ketiga-tiga etnik tersebut dijangka akan didiagnosis dengan kanser payudara dalam tempoh akan datang.
Sejumlah 50.5 peratus pesakit kanser payudara berada pada tahap tiga dan empat dikesan dalam tahun 2017 hingga tahun 2021 – peningkatan sebanyak 2.5 peratus pesakit kanser payudara tahap ini berbanding dengan tahun sebelumnya. Pesakit yang berada pada tahap ini biasanya menunjukkan kanser yang telah merebak ke nodus limfa dan organ lain dalam badan selain dianggap sebagai tahap yang serius dan memerlukan perhatian serta rawatan lanjut.
Implikasi daripada Rumusan Laporan MNCR
Peningkatan kadar kejadian kanser ini mungkin mencerminkan beberapa faktor, termasuklah peningkatan kesedaran tentang kanser payudara dalam kalangan wanita di Malaysia. Lebih ramai wanita didapati hadir menjalani pemeriksaan dan mendapat diagnosis yang lebih baik. Namun begitu, keadaan ini juga boleh menunjukkan peningkatan sebenar bilangan kes kanser payudara dalam kalangan wanita Malaysia.
Dari konteks kesihatan awam pula, peningkatan kadar kejadian kanser payudara serta peningkatan risiko seumur hidup merupakan petunjuk penting bagi pihak berkuasa kesihatan untuk merancang program pencegahan dan intervensi yang lebih berkesan. Hal ini juga menekankan keperluan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang faktor risiko dan pentingnya pemeriksaan awal.
Terdapat pelbagai pendekatan yang diambil oleh agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan untuk menggalakkan masyarakat, khususnya wanita di Malaysia menjalani pemeriksaan awal bagi kanser payudara. Antaranya termasuklah mengadakan sesi ceramah dalam komuniti untuk mendidik orang ramai tentang kanser, faktor risiko dan kepentingan pengesanan awal, di samping pelbagai promosi pemeriksaan kesihatan percuma.
Walaupon pelbagai usaha telah dilakukan, laporan menunjukkan bahawa masih terdapat peningkatan jumlah kes kanser yang dicatatkan. Hasil kajian menunjukkan bahawa kebanyakkan wanita tidak menyedari bahawa mereka tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi untuk menghidap kanser payudara serta tidak mempunyai niat untuk menjalani pemeriksaan saringan.
Terdapat beberapa faktor utama yang mempengaruhi sikap ini. Antaranya termasuklah banyak wanita tidak mahu mengambil tahu tentang risiko kanser payudara, mungkin kerana mereka merasakan bahawa keadaan itu tidak akan berlaku kepada mereka.
Selain itu, kebanyakan wanita tidak mengetahui secara terperinci kaedah pemeriksaan payudara yang boleh dilakukan bagi mengesan kanser payudara. Kaedah tersebut termasuklah pemeriksaan sendiri payudara (PSP), pemeriksaan payudara klinikal, pemeriksaan mamogram, pemeriksaan ultrabunyi dan pemeriksaan pengimejan resonans magnet (MRI). Mereka sering kali hanya mendengar mitos tanpa memahami cara pemeriksaan dilakukan.
Ketakutan terhadap keputusan pemeriksaan payudara juga menjadi halangan. Masalah ini menggambarkan isu psikologi yang sering dihadapi oleh wanita ketika berhadapan dengan proses pemeriksaan kesihatan, khususnya berkaitan dengan kanser. Wanita mungkin cemas apabila memikirkan bahawa mereka mungkin mempunyai kanser payudara dan seterusnya akan menjadi beban mental yang berat.
Penambahbaikan Program
Pada setiap tahun, bulan Oktober dimeriahkan dengan pelbagai program bersempena dengan sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara. Justeru itu, kempen kesedaran yang lebih berkesan perlu dilaksanakan agar dapat meningkatkan lagi tahap kesedaran masyarakat, khususnya wanita di Malaysia tentang kanser payudara, khususnya kepentingan menjalani pemeriksaan awal kanser ini.
Program yang ditawarkan hendaklah bersifat lebih objektif serta tertumpu pada kumpulan sasar yang telah dikenal pasti melalui sesi ceramah dan bengkel, khususnya sesi pendidikan tentang cara melakukan PSP dan memahami proses pemeriksaan mamogram serta pemeriksaan payudara lain agar dapat meningkatkan keyakinan mereka untuk hadir menjalani pemeriksaan awal. Program pemeriksaan bergerak (mobile screening) yang membawa perkhidmatan saringan ke kawasan luar bandar atau terpencil juga boleh ditawarkan kepada masyarakat apabila akses kepada perkhidmatan kesihatan mungkin terhad.
Inisiatif alternatif melibatkan kaum lelaki dalam kempen kesedaran tentang kanser payudara juga berpotensi membantu mengubah persepsi dan sikap kaum wanita terhadap pemeriksaan awal kanser payudara. Kaum lelaki boleh berperanan sebagai penyokong emosi yang penting kepada pasangan atau ahli keluarga mereka. Mereka boleh memberikan dorongan dan sokongan moral, sekali gus membantu wanita untuk berasa lebih selesa dan berani untuk menjalani pemeriksaan.
Di samping meneruskan pendekatan kempen sedia ada, penggunaan media sosial dan pelbagai platform digital juga dilihat berupaya membantu dalam menyebarkan maklumat berkaitan dengan kanser payudara dengan lebih meluas. Inisiatif dalam membangunkan aplikasi mudah alih yang memberikan maklumat tentang kanser payudara, pengingat untuk pemeriksaan berkala dan pemberitahuan lokasi pusat saringan yang berdekatan dapat memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat.
Selain itu, kumpulan sokongan yang terdiri daripada individu, organisasi dan komuniti juga berfungsi sebagai sumber maklumat mengenai kanser payudara melalui penganjuran aktiviti sosial untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat tentang kanser payudara, di samping memberikan sokongan kepada pesakit kanser payudara dan keluarga mereka. Usaha ini termasuklah perkongsian maklumat mengenai pilihan rawatan, pengurusan kesan sampingan dan cara menjalani kehidupan seharian selepas didiagnosis dengan kanser payudara melalui perkongsian pengalaman peribadi.
Pendekatan holistik yang melibatkan pendidikan, akses kepada pemeriksaan, sokongan emosi, penglibatan komuniti, teknologi serta penilaian berterusan juga akan membantu meningkatkan kadar pengesanan awal. Hal ini seterusnya akan mengurangkan beban penyakit kanser payudara dalam masyarakat.
Profesor Dr. Norhayati Mohd Zain,
Pensyarah Kanan,
Fakulti Sains Kesihatan,
KPJ Healthcare University.