Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Sebanyak 51 orang pelajar dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Islah, Pendang, Kedah telah mengadakan lawatan ke Unit Ladang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis bagi mendapatkan ilmu berkaitan dengan pengurusan ladang dan agroteknologi.
Selain itu, lawatan berkenaan juga memberikan pendedahan kepada para pelajar akan suasana pembelajaran di universiti dan mendapatkan maklumat terkini berkaitan dengan program pradiploma dan diploma yang ditawarkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia.
Kedatangan delegasi SMA Islah disambut oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi dan Koordinator Unit Komunikasi Korporat, UiTM Cawangan Perlis, Puan Eliy Nazira Mat Nazir serta barisan pegawai pejabat rektor di pekarangan Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis.

YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi dalam ucapannya berkata, UiTM Cawangan Perlis berbesar hati menerima kedatangan warga SMA Islah dalam usaha menyemai minat dan semangat untuk para pelajar menyambung pelajaran ke menara gading.
Ujar beliau,
Menerusi lawatan ke Unit Ladang, UiTM Cawangan Perlis ini, para pelajar pasti akan mempelajari banyak ilmu berkaitan dengan pengurusan ladang dan agroteknologi yang signifikan dalam meningkatkan pendapatan golongan petani, penternak dan peladang kerana pengurusan agromakanan yang efektif memberikan jaminan kepada sekuriti makanan negara kekal mampan.
Tambah beliau,
Unit Ladang, UiTM Cawangan Perlis kini mempelopori pertanian mangga harum manis yang menjadi ikon negeri Perlis.
Sepanjang sesi lawatan tersebut, para pelajar didedahkan dengan pelbagai ilmu berkaitan dengan pertanian moden yang disampaikan oleh Pegawai Pertanian, Encik Mohd Syahir Ramli; Penolong Pegawai Pertanian, Encik Mohd Akram Mohd Sobri dan Pensyarah Kanan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Cawangan Perlis, Encik Mohammad Azizi Abdullah.



Setelah selesai melawat Unit Ladang, UiTM Cawangan Perlis, para pelajar kembali ke Dewan Kuliah 6 untuk mengikuti slot bersama-sama Misi Akademik UiTM Cawangan Perlis yang telah disampaikan oleh Pengerusi Misi Akademik UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Sr. Dr. Norsharizan Mohd Hashim dan Pensyarah kanan Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Perlis, Encik Mohamad Azril Che Aziz.
YBrs Sr. Dr. Norsharizan Mohd Hashim dalam ucapannya memohon agar para pelajar menilai manfaat apabila menjejakkan kaki ke universiti dalam usaha menjamin negara tidak ketandusan tenaga kerja yang bermutu tinggi.
Kata beliau,
Menuntut ilmu merupakan tuntutan terhadap setiap insan dan memilih untuk belajar pada peringkat tertinggi boleh menambahkan peluang dan pilihan untuk menceburi bidang kerjaya yang berpendapatan lumayan.

Sementara itu, dalam sesi perkongsian oleh Penolong Pendaftar, UiTM Cawangan Perlis, Encik Ahmad Muaz Mahzair, beliau menyeru agar para pelajar menjaga etika, sahsiah dan tingkah laku agar tidak mencemari nama baik universiti.
Katanya,
UiTM mempunyai banyak dasar dan pekeliling berkaitan dengan Pembangunan Modal Insan Mahasiswa dalam usaha melahirkan graduan kelas pertama.
