2 Oktober 2024, 14:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan akan menubuhkan satu pasukan khas bebas yang dinamakan Pasukan Khas Bagi Menyiasat Kes Kematian Pakar Perubatan Patologi di  Hospital Lahad Datu.

Menteri Kesihatan Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dalam kenyataannya pada hari ini berkata, pasukan petugas khas ini akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Tan Sri Borhan Dollah dan dibantu lima anggota lain bukan dalam kalangan anggota KKM.

Mereka ini katanya, berpengetahuan dan mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan, psikiatri, patologi serta kesihatan mental dan perlakuan buli.

Beliau menambah, pasukan petugas khas tersebut akan  berkuatkuasa mulai 10 Oktober 2024 dan diberikan tugas untuk menyiasat dan menganalisis input daripada kematian pakar patologi kimia serta budaya kerja di hospital berkenaan.

Menurut Dr. Dzulkefly, mereka juga dikehendaki mengenal pasti dan mengesahkan sama ada wujud perlakuan buli di Hospital Lahad Datu secara umum dan di jabatan patologi secara khusus.

“Mereka akan mengenal pasti jenis perlakuan buli yang cenderung berlaku di KKM serta faktor dalaman dan luaran yang menyumbang kepada perlakuan tersebut,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu juga berkata, pasukan berkenaan turut diberikan tugas menyediakan laporan cadangan penambahbaikan bagi mencegah dan menangani perlakuan buli di fasiliti kesihatan dalam masa tiga bulan dari tarikh penubuhan.

Menurut beliau,  lima anggota pasukan petugas khas tersebut terdiri daripada YBhg. Profesor Dr Siti Hamisah Tapsir yang merupakan mantan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; YBhg. Dato’ Dr. Haji Azman Abu Bakar (bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) dan berpengalaman 35 tahun bersama KKM);  YBhg. Dato’ Mohamad Fazin Mahmud (bekas Pegawai Kehakiman dan Penasihat Undang-undang pelbagai kementerian termasuk KKM); YBhg. Datuk Profesor Ulung Dr. Looi Lai Meng (Profesor Ulung pertama di Malaysia dalam bidang patologi dan kini menjadi perunding kanan Pusat Perubatan Universiti Malaya; dan YBhg. Profesor Dr. Chan Lai Fong (Pakar Perunding Kanan Psikiatri di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia).

Tambahnya,

“KKM komited untuk memperbaik persekitaran kerja supaya lebih harmoni dan kondusif. Kami yakin usaha ini akan membuahkan hasil dan mendapat kerjasama daripada semua warga KKM selaras dengan visi untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk Malaysia Madani.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.