Diterbitkan pada 27 September 2024, 15:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Bahagian Teknologi Pemprosesan Sinaran, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan kursus “Artificial Intelligence for Research Tools in Advanced Materials” di Bilik Kuliah, Aras 2, Blok 11, Nuklear Malaysia dan dihadiri oleh lebih kurang 50 orang pegawai penyelidik dari pelbagai bahagian agensi berkenaan.

Kursus tersebut diadakan bagi membolehkan para penyelidik mempelajari potensi kecerdasan buatan (AI) dalam menghasilkan penulisan penyelidikan yang berkualiti secara efektif; memahami aspek penulisan dan penerbitan artikel penyelidikan; mempelajari teknik penulisan proposal dan literatur dengan efisien serta mengaplikasikan AI dalam analisis data.

“Kursus ini ialah satu daripada langkah penting dalam mempersiapkan para penyelidik untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan kerana dengan mengintegrasikan AI dalam penyelidikan, para penyelidik dapat meningkatkan kecekapan dan ketepatan dalam pencarian penyelesaian baharu untuk bahan maju,” kata Pengarah Bahagian Teknologi Pemprosesan Sinaran, Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Hasni Hasan ketika merasmikan kursus tersebut.

Sementara itu, Puan Anita Adnan memulakan kursus berkenaan dengan sesi perkongsian mengenai pengenalan AI dan aplikasinya dalam penyelidikan, membincangkan penggunaan AI untuk meningkatkan produktiviti penyelidikan serta etika dan cabaran yang berkaitan dengan teknologi ini.

Puan Anita Adnan menyampaikan sesi perkongsiannya mengenai pengenalan AI dan aplikasinya dalam penyelidikan.

Sepanjang kursus itu berlangsung, YBrs. Asst. Profesor Dr. Othman Talib juga berkesempatan menyampaikan ceramahnya mengenai penerbitan jurnal berwibawa dengan menggunakan AI, termasuklah aplikasi penulisan artikel jurnal dan alat AI generik.

YBrs. Asst. Profesor Dr. Othman Talib ketika menyampaikan ceramahnya mengenai penerbitan jurnal berwibawa dengan menggunakan AI.

Para peserta juga berpeluang berkongsikan idea dan pengalaman melalui sesi perbincangan kumpulan, sekali gus menjadikan kursus ini bukan hanya sebagai platform pembelajaran, malah menjadi ruang untuk menjalin jaringan dan kolaborasi antara penyelidik.

Pada masa yang sama, para peserta turut memperoleh peluang dalam menyuarakan pandangan atau idea masing masing dalam aktiviti pembentangan pada akhir kursus berkenaan.

Nuklear Malaysia akan terus menyokong inisiatif inovatif seumpama ini bagi memajukan bidang penyelidikan dan teknologi di Malaysia dengan harapan bahawa para peserta dapat menerapkan pengetahuan yang diperoleh dalam projek mereka.

Kursus ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Nuklear Malaysia untuk mempromosikan inovasi dan penggunaan teknologi canggih dalam penyelidikan serta memperkukuh kerjasama antara institusi penyelidikan dengan industri.

Dengan adanya inisiatif ini, Nuklear Malaysia terus menunjukkan komitmennya terhadap perkembangan teknologi dan penyelidikan dalam bidang bahan maju, bertepatan dengan visi negara untuk menjadi peneraju dalam inovasi dan teknologi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi