Oleh Noorilham Ismail
27 September 2024, 10:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dalam sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Washington D. C. pada 11 Julai 2024 yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg telah menyatakan kesungguhan untuk memberikan sokongan kepada Ukraine dalam konflik dengan Rusia. Sebanyak $43 bilion akan disalurkan berserta pembekalan jet pejuang F-16 oleh NATO untuk keperluan Ukraine bagi menghadapi krisis yang tidak kunjung reda.

Dua premis awal ini memperlihatkan bahawa NATO merupakan pertubuhan kerjasama ketenteraan yang memiliki keupayaan tersendiri atas nama keselamatan serta keseimbangan geostrategik. Segalanya bertitik tolak daripada fungsi pakatan tersebut yang ditubuhkan sejak tahun 1949 bagi menghadapi Kesatuan Soviet (kini dinamakan Rusia) semasa Perang Dingin semakin kritikal di pentas global.

Namun demikian, rencana yang bakal menyusul ini ingin mengalih pandangan untuk seketika tentang keupayaan NATO dari segi teknologi ketenteraan. Fokus yang akan diberikan adalah tentang keupayaan pakatan transatlantik itu dalam menyediakan jaringan perisikan dan penyaluran propaganda yang berteraskan keupayaan teknologi untuk kegunaan manfaat negara anggota. Orientasi penulisan berikutnya bakal menelusuri catatan yang pernah berlaku dalam sejarah sepanjang 75 tahun pakatan itu bertapak di muka bumi.

NATO hanya dianggotai oleh 12 buah negara sewaktu awal penubuhannya yang terdiri daripada Amerika Syarikat, Belanda, Belgium, Britain, Denmark, Iceland, Itali, Kanada, Luxembourg, Norway, Perancis dan Portugal. Keanggotaan NATO kemudiannya bertambah dengan kemasukan Greece dan Turki pada tahun 1950-an sebelum berkembang dari semasa ke semasa lalu membentuk pakatan sebanyak 32 buah negara kini selepas kemasukan Sweden pada 7 Mac 2024.

Sejarah keberadaan NATO di benua Eropah memberikan gambaran betapa pentingnya untuk benua tersebut memiliki satu kerjasama kolektif ketenteraan yang menjangkaui kawasan Eropah Barat, Eropah Tengah, Eropah Timur di samping wilayah Scandinavia. Kewujudan pakatan ketenteraan ini turut mencambahkan pengaliran maklumat berkaitan ketenteraan sehingga khazanah maklumat berkaitan dengannya disimpan di dalam sebuah arkib khas yang didirikan pada tahun 1999 di Brussel, Belgium.

Apakah yang tersimpan di sebalik lipatan sejarah NATO ini? Satu daripadanya ialah pertumbuhan sains dan teknologi yang diadunkan sebagai pengisian kepada strategi pertahanan dalam kalangan negara anggota, terutamanya dalam aspek perisikan serta penyebaran propaganda.

Melalui kerjasama yang terjalin, sistem perisikan dalam kalangan anggota NATO telah dibentuk dengan sungguh sistematik menerusi teknologi pemberitahuan perisikan signal intelligence (SIGINT). Dengan wujudnya rangkaian perisikan ini, setiap negara anggota boleh bertukar-tukar maklumat perisikan melalui dua pangkalan utama yang menyalurkan maklumat di Washington D. C. dan London. Jangkauan liputan risikan ini juga berupaya memintas maklumat daripada negara musuh sewaktu Perang Dingin, iaitu Kesatuan Soviet dalam bentuk propaganda daripada pihak Moscow serta pergerakan rancangan ketenteraan dalam kalangan anggota Pakatan Warsaw.

Pakatan Warsaw, misalnya terdiri daripada beberapa negara di Eropah Timur yang menyokong Kesatuan Soviet dan bersetuju untuk membentuk satu pakatan bagi mengimbangi tekanan oleh pihak NATO seperti Albania, Bulgaria, Czechoslovakia, Hungary, Jerman Timur, Poland dan Romania (kini telah menganggotai NATO).

Urus tadbir SIGINT melibatkan proses penyerapan data, mesej bertulis, maklumat daripada siaran radio, bahkan melibatkan kegiatan penterjemahan input yang berbeza-beza bahasa. Britain, dalam kes ini telah memainkan peranan penting sebagai anggota NATO dalam usaha pengendalian SIGINT menerusi pintasan maklumat, terutamanya melalui Government Communications Headquarters di Cheltenham, England.

Di samping itu, sistem perisikan dalam NATO turut merangkumi tiga komponen lain, iaitu perisikan komunikasi (COMINT), perisikan elektronik (ELINT) dan perisikan isyarat instrumen asing (FISINT). Kesemua komponen ini memerlukan pengendalian oleh pusat kawalan dengan membabitkan angkatan udara laut dan darat dalam satu-satu operasi risikan.

Jaringan komunikasi ini turut meliputi kawasan benua Amerika Latin serta New Zealand sebagai persiapan kepada sebarang kemungkinan konflik di samping pencegahan terhadap kebarangkalian operasi ketenteraan Kesatuan Soviet. Amerika Syarikat yang memiliki kecanggihan teknologi aeroangkasa turut menyumbang kepakaran satelit, khususnya satelit LANDSAT bagi menyerap imej pergerakan objek di bumi.

Keadaan ini menjadi nilai tambah buat NATO yang perlu menghadapi Kesatuan Soviet yang mempunyai kecanggihan teknologi perisikan serta satelit. Perkara teknikal ini ternyata telah mewarnai dan menjadi pengisian penting dalam percaturan geopolitik oleh anggota NATO dalam separuh kedua kurun ke-20 sebelum berakhirnya Perang Dingin.

Bak peribahasa, sediakan payung sebelum hujan, NATO turut membentuk sistem perkhidmatan informasi yang disebut NATO Information Service (NATIS). Sistem ini membolehkan penyebaran maklumat dibuat secara terancang dalam bentuk propaganda antikomunis yang semakin dipergiat sejak tahun 1950 dengan peranan utama daripada Amerika Syarikat dan Britain.

Sebagai persiapan, dua pangkalan utama telah dibangunkan, iaitu Atlantic Institute di Paris dan Atlantic Information Centre for Teachers di London. Biarpun peruntukannya menelan perbelanjaan ratusan juta dolar, tetapi NATIS tetap dilaksanakan bagi menghadapi ancaman dari Kesatuan Soviet dan negara sekutunya pada waktu itu. Mungkin agak sukar untuk generasi hari ini menanggapi siratan isu perisikan seumpama ini, tetapi setidak-tidaknya hal ini memberikan kita kefahaman betapa beberapa negara di dunia pada waktu itu saling bersaing antara satu sama lain untuk tujuan keselamatan masing-masing.

Menerusi NATIS, alat propaganda akan disebarkan menerusi siaran radio, kandungan berita di kaca televisyen serta tayangan filem. Kesemua kandungannya telah diperluas untuk membentuk kefahaman masyarakat bahawa Kesatuan Soviet merupakan ancaman dari segi ideologi dan pengaruh ekonomi.

Bahan yang diperkenalkan ini ialah instrumen perang saraf untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat dan pada masa yang sama, negara anggota NATO telah membentuk imej negatif terhadap Kesatuan Soviet dari pemerintahan Joseph Stalin, Nikita Khrushchev, Leonid Brezhnev dan Mikhail Gorbachev. Matlamatnya hanya satu, iaitu untuk mengalahkan Kesatuan Soviet yang kini dinamakan sebagai Rusia dalam apa-apa cara sekalipun. Tidak menghairankan apabila strategi propaganda ini masih berterusan sehingga kini selain penggunaan teknologi perisikan siber, khususnya dalam usaha anggota NATO membantu Ukraine kini.

Kepelbagaian teknologi maklumat yang mengiringi kewujudan NATO seterusnya telah membawa pertumbuhan baharu, khususnya dalam lapangan kajian sejarah perisikan ketenteraan. Muncul beberapa nama sarjana seperti Richard Aldrich, Andrew Defty dan Giles Scott-Smith yang telah meneroka perkara ini sebagai wacana pada peringkat antarabangsa. Lebih menarik apabila perkara ini turut mendapat perhatian daripada sarjana wanita seperti Linda Risso yang turut menghasilkan kajian mengenai NATIS hasil daripada perkembangan teknologi ketenteraan.

Untuk masyarakat awam pula, arkib NATO telahpun menyediakan satu pangkalan carian maklumat mengenai aktiviti, sejarah dan maklumat NATO secara dalam talian supaya orang ramai dapat mengakses bahan terpilih berbentuk dokumen serta audio. Di Malaysia sendiri, sudah ada ahli sejarah yang menelusuri sejarah penubuhan dan kepentingan NATO seperti Zulkanain Abdul Rahman dari Universiti Malaya serta Norasmahani Hussain dari Universiti Sains Malaysia. Hal ini memberikan isyarat betapa kemajuan teknologi dan inovasi mutakhir ini telah menjadikan isu berkaitan NATO sebagai sesuatu yang boleh diakses bagi tujuan pertambahan ilmu pengetahuan.

Sebagai kesimpulan, apa-apa perkara yang berkaitan dengan NATO merupakan rentetan sejarah dalam garis masa yang cukup lama – sepanjang 75 tahun. Kebarangkalian untuk pakatan ini terus bertahan adalah tinggi kerana sehingga kini, tidak ada apa-apa tanda untuk pembubaran ditambah dengan wujudnya konflik seperti krisis antara Rusia dengan Ukraine. Segalanya menjadi lebih menarik di mata para pengkaji dan penganalisis geopolitik apabila keahlian NATO terus anjal dengan kemungkinan penyertaan negara anggota baharu.

Biarpun Malaysia tidak terlibat sama sekali dengan hal ehwal ketenteraan transatlantik ini, tetapi setidak-tidaknya coretan ini dapat memberikan gambaran bahawa pentingnya sains dan teknologi dalam satu-satu isu keselamatan. Tanpa sebarang pendekatan yang kolektif dan proaktif, sudah pasti keupayaan pakatan tentera yang agam seperti NATO tidak dapat bertahan. Paling tidak, Malaysia sebagai sebuah negara yang bergerak maju seharusnya mempersiapkan diri dengan kemajuan teknologi seperti yang dibincangkan dalam rencana ini untuk keutuhan keselamatan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.