Diterbitkan pada 25 September 2024, 10:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Unit Perpustakaan, Bahagian Pengurusan Maklumat dengan kerjasama PUSPANITA Cawangan Kecil Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan program Hari Saintis Cilik Nuklear 2024 bagi membudayakan minat membaca dan menanamkan keseronokan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kalangan anak-anak warga Nuklear Malaysia, sekali gus meningkatkan kesedaran tentang sumbangan teknologi nuklear kepada negara.

Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Agensi Nuklear Malaysia. YBrs. Dr. Zaliah Takrim ketika merasmikan program tersebut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran program ini, terutamanya Unit Perpustakaan, Bahagian Pengurusan Maklumat dan PUSPANITA Cawangan Kecil Agensi Nuklear Malaysia yang sentiasa berusaha untuk menggalakkan generasi muda minat terhadap bidang sains.

Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Zaliah Takrim ketika merasmikan program Hari Saintis Cilik Nuklear 2024.

Ujar beliau,

Program ini bukan sekadar program tetapi menjadi platform untuk memupuk kecintaan terhadap sains dan teknologi dalam kalangan kanak-kanak dan diharapkan dapat melahirkan lebih banyak saintis muda yang berinovasi dan kreatif serta memberikan sumbangan yang besar kepada negara pada masa akan datang.

Beliau juga mengambil kesempatan untuk memberikan galakan kepada semua peserta yang menyertai program ini agar memberanikan diri untuk bertanya, berinovasi dan berusaha menjadikan impian sebagai seorang saintis satu kenyataan.

Katanya,

Ingatlah bahawa setiap suatu penemuan itu bermula dengan satu idea dan keberanian untuk mencuba.

Beliau juga menyeru agar semua pihak berganding bahu dalam memajukan ilmu pengetahuan dan sains di negara ini dengan memastikan program yang dilaksanakan berjaya mencapai matlamat dan mampu memberikan inspirasi kepada kesemua peserta yang terlibat.

Program yang menyasarkan penyertaan anak-anak warga Nuklear Malaysia yang berumur antara lima tahun hingga 12 tahun itu berjaya menarik perhatian 109 orang peserta dari pelbagai peringkat umur.

Sepanjang program tersebut berlangsung, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan berserta hadiah, misalnya pertandingan mewarna, teka kata sains, kuiz sains, objek tersembunyi sains, permainan maze dan aktiviti mencantumkan Robot 3D.

Para peserta yang menyertai aktiviti kuiz sains.

Semua aktiviti berkenaan direka untuk memperkenalkan konsep STEM secara interaktif dan menyeronokkan kepada para peserta, sekali gus membantu mereka untuk berfikiran lebih kreatif dan inovatif.

Pemenang pertandingan mewarna dalam program Hari Saintis Cilik Nuklear 2024 bagi kesemua kategori bergambar bersama-sama sebagai tanda kenang-kenangan.

Dengan adanya inisiatif seperti ini, Nuklear Malaysia telah membuktikan komitmennya dalam melahirkan generasi muda yang berpengetahuan dan berminat dalam bidang sains serta teknologi demi masa hadapan negara yang lebih cerah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi