Diterbitkan pada 20 September 2024, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Singapura – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat Micron melalui Micron Malaysia dan Penyelidikan Kolaboratif dalam Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) bagi program Ijazah Sarjana Industri Pemecut Bakar Semikonduktor di bawah Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik yang akan bermula dengan pengambilan pelajar pada awal tahun 2025.

Taklimat mengenai hal ini dipersembahkan kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail oleh Naib Presiden Korporat dan Pengurus Negara, Micron Singapura merangkap Naib Presiden, Timbalan Presiden, Strategi Manusia, Teknologi dan Pengambilan Bakat Asia, Sim Cher Whee bersempena dengan keberangkatan baginda ke Micron Semiconductor Asia Operation Pte Ltd di 1 Woodlands Industrial Park D Street 1, Singapura.

DYTM Raja Muda Perlis ketika dipersembahkan taklimat mengenai syarikat Micron dan kerjasama yang ditawarkan oleh Sim Cher Whee.

Syarikat mega ini merupakan satu-satunya syarikat yang menghasilkan teknologi memori dan penyimpanan utama melalui teknologi DRAM, NAND dan NOR serta berhasrat untuk menaik taraf kolaborasi daripada “Talent Partner University” kepada “Strategic Partner University”.

Hubungan baik antara UniMAP dengan Micron Malaysia telah terjalin sejak tahun 2022 dan menjadi rakan kongsi bagi program dan aktiviti seperti pameran kerjaya, bengkel kejurulatihan kerjaya dan temu duga dalam kampus.

DYTM Raja Muda Perlis (tengah) ketika berkenan mengadakan lawatan kerja ke Micron Semiconductor Asia Operation Pte Ltd di 1 Woodlands Industrial Park D Street 1, Singapura.

Pada masa yang sama, DYTM Raja Muda Perlis merangkap Canselor UniMAP turut berkenan mengadakan lawatan ke sekitar fasiliti canggih pembuatan kilang tersebut.

Turut mengiringi baginda dalam rangka lawatan kerja ke Singapura bagi mengetuai delegasi UniMAP International Leadership Mobility 2024 ialah Naib Canselor, UniMAP, YBhg. Profesor Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Tuan Yang Terutama Dato’ Dr. Azfar Mohamad Mustafar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi