19 September 2024, 15:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sebilangan daripada masyarakat Malaysia kini memilih untuk berlari sebagai satu daripada amalan hidup sihat. Terdapat mereka yang berlari di taman awam dan di kawasan kejiranan pada awal pagi atau waktu malam untuk mengelak daripada cuaca panas.

Tanpa disedari, pelari sebenarnya berisiko untuk bertembung dengan haiwan liar yang berkeliaran, misalnya anjing terbiar yang mungkin boleh bertindak agresif dan menggigit. Gigitan haiwan liar ini berpotensi menyebabkan penyakit rabies atau dikenali juga sebagai penyakit anjing gila.

Statistik daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan bahawa rabies telah menyebabkan lebih 59 ribu kematian manusia pada setiap tahun di seluruh dunia. Daripada jumlah tersebut, 90 peratus hingga 95 peratus kematian direkodkan berlaku di Asia dan Afrika. Walaupun rabies diketahui boleh menyebabkan maut, namun penyakit ini dapat dicegah sekiranya individu yang terkesan diberikan rawatan seawal mungkin.

Apakah itu rabies?

Rabies ialah sejenis penyakit yang disebabkan oleh haiwan liar yang dijangkiti oleh virus rabies, iaitu sejenis rhabdovirus daripada genus Lyssavirus. Virus ini boleh menjangkiti kebanyakan haiwan berdarah panas, terutamanya mamalia. Beberapa spesies haiwan diketahui lebih berisiko menyebarkan penyakit ini kepada haiwan lain dan manusia.

Menurut Centers for Disease Control and Prevention, kira-kira 90 peratus kes rabies dalam kalangan manusia di seluruh dunia disebabkan oleh anjing. Begitu juga di Malaysia, anjing merupakan pembawa utama virus rabies dan gigitan haiwan tersebut menjadi punca kepada kebanyakan kematian. Kucing boleh menjadi hos alternatif sekiranya terdapat jangkitan yang menular daripada kawanan anjing.

Rabies disebarkan melalui air liur yang mengandungi virus yang dapat menjangkiti sistem saraf mangsa. Haiwan yang dijangkiti mungkin menunjukkan pelbagai gejala seperti mengeluarkan air liur berlebihan atau menjadi agresif. Manusia boleh dijangkiti rabies melalui gigitan atau melalui sentuhan secara langsung dengan luka yang terbuka atau membran mukosa kepada air liur dan cecair badan haiwan yang dijangkiti.

Selepas terdedah kepada virus rabies, seseorang yang dijangkiti akan mengalami gejala seperti sakit kepala, demam, sakit otot dan rasa berdenyut di kawasan luka. Gejala lain seperti berasa gelisah, kesukaran menelan (disfagia), insomnia dan ketakutan terhadap air (hidrofobia) juga boleh berlaku. Jika rawatan dilengahkan, virus rabies akan merebak ke dalam sistem saraf pusat (otak dan saraf tunjang) dan menyebabkan gejala yang lebih serius sehingga boleh menyebabkan kematian.

Pengurusan Gigitan Haiwan yang Disyaki Dijangkiti Rabies

Pengurusan yang berkesan sejurus selepas terdedah kepada virus rabies adalah penting untuk mencegah kematian. Kaedah pengurusan gigitan haiwan tersebut termasuklah rawatan luka, pemberian vaksin rabies dan pemberian imunoglobulin rabies, sekiranya perlu.

Seseorang yang digigit oleh haiwan yang disyaki dijangkiti rabies harus mendapatkan rawatan dengan kadar segera. Pemeriksaan menyeluruh oleh doktor diperlukan untuk menilai tahap risiko selepas gigitan dan menentukan tindakan susulan yang bersesuaian.

Langkah segera yang perlu diambil adalah dengan merawat luka, calar atau bahagian mukosa yang terdedah akibat gigitan. Kaedah yang boleh dilakukan adalah dengan mencuci kawasan luka dengan sabun dan air sekurang-kurangnya 15 minit atau dengan menggunakan cecair povidon–iodin bagi menghapuskan virus rabies di kawasan gigitan.

Tindakan segera ini adalah penting untuk mengelak berlakunya gejala rabies. Selain itu, ubat-ubatan lain seperti antibiotik dan vaksin antitetanus turut diberikan, jika perlu.

Individu yang digigit harus menerima vaksin rabies sebagai langkah pencegahan. Jumlah dos yang diperlukan bergantung pada status imunisasi individu tersebut.

Sebagai contohnya, individu yang belum pernah menerima suntikan vaksin rabies perlu menerima empat dos vaksin pada sela masa yang ditetapkan. Sebaliknya, individu yang mempunyai daya tahan badan yang rendah seperti mereka yang menghidap leukemia, virus imunodefisiensi manusia (HIV) atau yang mengambil sesetengah jenis ubat, golongan ini perlu menerima satu dos tambahan. Bilangan dos ini juga berbeza dan bergantung pada kaedah vaksin disuntik.

Bukan itu sahaja, pemberian imunoglobulin rabies (IGR) harus dilakukan untuk individu yang mengalami luka gigitan yang serius dan dikenal pasti berisiko tinggi untuk mengalami gejala yang lebih memudaratkan. IGR memberikan antibodi segera untuk melawan virus rabies sehingga badan boleh bertindak balas terhadap vaksin secara aktif dengan menghasilkan antibodinya sendiri. IGR ini disuntik secara langsung pada bahagian yang luka dan tisu sekitarnya.

Langkah Pencegahan

Suntikan vaksin rabies kepada kumpulan berisiko tinggi sebagai langkah pencegahan sebelum terdedah kepada virus rabies boleh mengurangkan risiko jangkitan. Individu yang kerap terdedah atau terlibat dalam pengurusan haiwan yang berisiko dijangkiti rabies seperti doktor haiwan, pengendali haiwan, kakitangan pihak berkuasa tempatan dan kakitangan makmal disaran untuk mendapatkan vaksin rabies secara rutin. Selain itu, individu yang mengembara ke kawasan endemik dengan jangkitan rabies juga harus mempertimbangkan untuk mendapatkan suntikan vaksin tersebut.

Individu yang menerima vaksin rabies harus dipantau untuk sebarang kesan sampingan seperti rasa sakit atau bengkak di tempat suntikan, ruam, sakit kepala, loya, dan sakit otot. Di samping itu, terdapat juga kemungkinan untuk mereka mengalami reaksi alahan selepas pemberian vaksin.

Gejala alahan ini termasuklah pening, kegatalan, bengkak pada muka atau tekak dan kesukaran bernafas. Sekiranya gejala seperti ini berlaku, individu tersebut perlu mendapatkan rawatan dengan segera.

Nasihat untuk Orang Awam

Cara terbaik untuk mengelakkan jangkitan rabies adalah dengan menjauhkan diri dari kawasan yang mungkin terdapat haiwan yang disyaki membawa virus tersebut. Orang awam juga harus mengelak daripada menyentuh haiwan liar sekiranya tiada keperluan.

Selain itu, orang awam dinasihatkan agar mendapatkan suntikan vaksin bagi haiwan peliharaan mereka untuk mengurangkan risiko jangkitan rabies. Elakkan juga haiwan peliharaan tersebut daripada berinteraksi dengan haiwan liar.

Tindakan dan rawatan segera adalah penting selepas sebarang kejadian gigitan haiwan yang disyaki dijangkiti rabies. Sekiranya beberapa dos vaksin rabies diperlukan, individu tersebut perlu bersedia untuk menghadiri setiap janji temu di kemudahan kesihatan seperti yang dijadualkan. Jika dos vaksin tidak dilengkapkan, keberkesanan langkah pencegahan rabies berisiko untuk berkurangan.

Sebagai kesimpulannya, rabies merupakan penyakit yang dapat disebarkan daripada haiwan kepada manusia, terutamanya melalui gigitan haiwan yang dijangkiti. Oleh hal yang demikian, langkah pengurusan yang efektif selepas gigitan, suntikan vaksin serta langkah pencegahan yang lain adalah penting untuk mengelakkan gejala yang memudaratkan dan mengurangkan risiko berlakunya kematian.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

 

Mhd Dziehan Mustapa,
Pegawai Farmasi,
Klinik Kesihatan Dengkil,
Pejabat Kesihatan Daerah Sepang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.