Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBukit Jelutong – Kumpulan UTARA yang mewakili Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara telah dinobatkan sebagai johan bagi Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor.
Kumpulan UTARA mempertandingkan projek yang diberi nama Fire Guard yang dapat mengesan kebakaran yang berlaku di kediaman dan menghantar terus maklumat kepada pasukan penyelamat dan pemilik premis.
Menurut Ketua Balai BBP Klang Utara, Tuan Shaharil, Fire Guard juga efektif untuk mengesan insiden selain kebakaran seperti kebocoran gas, binatang buas serta serangga berbisa.
Selain pasukan UTARA, konvensyen ini turut disertai oleh BBP Pelabuhan Utara (naib johan), BBP Puchong (tempat ketiga), BBP Kapar (tempat keempat) dan BBP Andalas (tempat kelima).
Program yang diadakan di Dewan Cemerlang, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor itu telah disertai oleh 20 pasukan yang mewakili pejabat zon dan balai bomba yang terdapat di negeri Selangor.
Konvensyen ini turut menganugerahkan Anugerah Persembahan Terbaik kepada BBP Bandar Baru Selangor, Anugerah Dokumentasi Terbaik (Zon 4 Hulu Langat) dan Anugerah Pameran Terbaik (BPP Kapar)
Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Pengarah JBPM Negeri Selangor, Yang Setia Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Wan Md Razali Wan Ismail,.
Pasukan yang menang akan mengalami proses saringan oleh Bahagian Latihan JBPM Negeri Selangor untuk menyertai Konvensyen KIK Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mewakili JBPM Negeri Selangor.