Kangar – Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis terkenal dengan komitmennya dalam menghasilkan produk inovasi yang memberikan impak positif kepada masyarakat dan industri.
Dalam usaha ini, UiTM Cawangan Perlis melibatkan diri dalam pelbagai disiplin ilmu dan teknologi termasuklah teknologi dan teknologi maklumat; pertanian dan agroteknologi; reka bentuk dan kejuruteraan; pendidikan dan latihan; dan sains sosial dan kemanusiaan yang berpotensi dalam penghasilan produk inovasi.
Terbaharu, Research Group Interest: CommUniCare yang diketuai oleh Dr. Mimi Diana Ghazali bersama-sama Puan Eliy Nazira Mat Nazir, Puan Nur Firdaus Abdul Rashid, Dr. Noraini Ismail dan Encik Abdul Hapes Mohammed telah dilantik oleh Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Kangar untuk menjadi pakar rujuk dan penceramah bagi Kelab Inovasi dan Reka Cipta bagi Program Pembangunan Kemahiran (PPKP).
CommUniCare memberikan khidmat kepakaran dan sokongan kepada pelajar dan guru sekolah untuk meneroka idea baharu dan membangunkan produk inovasi yang bakal menjadi sumber penjanaan pendapatan bagi pihak sekolah.
Penghasilan produk inovasi ini juga dilihat menjadi peluang bagi pihak sekolah untuk mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan inovasi dalam dan luar negara dan pada masa yang sama, memperkaya pengalaman pembelajaran dalam kalangan pelajar dan guru.
Melalui pendekatan ini juga, UiTM Cawangan Perlis dapat membantu komuniti, bukan sahaja dalam menghasilkan produk inovasi, malah membentuk budaya inovasi yang boleh memberikan manfaat jangka panjang kepada pendidikan dan komuniti secara keseluruhan.