12 September 2024, 12:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pakar Biologi Marin dan Penyelidik Rumpai Laut di Institut Pengajian Termaju, Universiti Malaya, Dr. Adibi Rahiman Md Nor menerangkan bahawa rumpai laut merupakan sejenis alga besar yang mempunyai pelbagai kegunaan komersial.

“Sejarah industri rumpai laut di Malaysia bermula pada awal tahun 1970-an apabila sebuah syarikat dari Amerika Syarikat mula menggunakan bahan ini sebagai penstabil dan pemekat dalam industri makanan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kawasan perairan Semporna di Sabah dikenal pasti sebagai kawasan yang kaya dengan nutrien dan menjadikannya sesuai serta kondusif untuk pertumbuhan rumpai laut.

Pakar Biologi Marin dan Penyelidik Rumpai Laut di Institut Pengajian Termaju (IAS), Universiti Malaya, Dr. Adibi Rahiman Md Nor dalam slot Selamat Pagi Malaysia.

“Berikutan itu, industri ini berkembang pesat dan memberikan sumber pendapatan tambahan kepada nelayan tempatan di kawasan tersebut selain peranan kerajaan yang turut memainkan peranan melalui penyediaan sokongan teknologi untuk pengkulturan rumpai laut,” jelas beliau lagi.

Selain industri makanan, rumpai laut semakin mendapat perhatian dalam pelbagai industri lain seperti perubatan, kosmetik dan pembuatan mikroplastik.

Menurut Dr. Adibi Rahiman Md Nor, Malaysia juga menjalinkan kerjasama erat dengan penyelidik serta industri dari India untuk menghasilkan ekstrak rumpai laut bagi tujuan komersial.

Usaha ini bukan sahaja meningkatkan hasil pengeluaran, malah menyumbang kepada penghasilan rumpai laut yang lebih tahan terhadap perubahan iklim global.

Rumpai laut juga merupakan sebahagian daripada makanan tradisional yang telah lama menjadi sebahagian daripada budaya pemakanan tempatan di beberapa negeri di Malaysia, khususnya di Kelantan dan Sarawak.

Rumpai laut mempunyai kandungan serat, mineral dan vitamin yang sangat tinggi serta kaya dengan antioksidan yang menjadikannya baik untuk kesihatan manusia.

“Oleh sebab itu, bekalan rumpai laut perlu sentiasa mencukupi bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam pelbagai sektor industri”, hurai Dr. Adibi Rahiman Md Nor.

Proses penghasilan rumpai laut yang dikongsikan oleh Dr. Adibi Rahiman Md Nor.

Menyentuh perihal kelestarian alam sekitar, Dr. Adibi Rahiman Md Nor menerangkan bahawa rumpai laut memainkan peranan penting dalam ekosistem marin kerana kebolehannya menyerap karbon dioksida serta lebihan nutrien dalam air yang secara tidak langsung membantu membersihkan perairan laut.

“Oleh hal yang demikian, dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan ketidakstabilan ekosistem marin, usaha berterusan dalam penyelidikan dan inovasi terhadap pengkulturan rumpai laut amat penting serta memerlukan komitmen daripada penyelidik, industri, dan kerajaan,” ulasnya lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.