Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pengarah Urusan Gading Kencana, Dato’ Dr. Ir. Muhammad Guntor Mansor Tobeng menyuarakan harapan agar institusi pengajian tinggi dapat terus melahirkan graduan kejuruteraan yang memenuhi kehendak industri solar.
“Pihak berkuasa harus memberikan akreditasi kepada universiti yang melahirkan graduan yang berkaitan agar industri dapat diisi dengan tenaga kerja yang berkualiti dan berwibawa,” ujarnya dalam program Selamat Pagi Malaysia yang membincangkan topik yang bertajuk “Mengangkat Pendidikan Tinggi dalam Teknologi Solar”.
Beliau yang juga penggiat solar di negara ini menyatakan bahawa pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air untuk menyokong perkembangan teknologi solar di negara ini.
Inisiatif ini melibatkan pelbagai pihak, termasuklah sektor awam dan industri dengan kerjasama institusi pengajian tinggi (IPT) yang memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi.
Dalam slot perbincangan tersebut, beliau menyatakan sokongan terhadap dasar kerajaan yang memperkenalkan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
“Saya percaya bahawa melalui TVET, anak-anak Malaysia dijamin peluang pekerjaan mereka dalam industri solar yang kian pesat membangun selain berpotensi untuk meningkatkan kedudukan kerjaya tersebut dengan lebih kompeten dan berdaya saing dalam industri ini,” ujarnya lagi.