Oleh Mahanem Mat Noor
4 September 2024, 21:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rencana ini disiarkan bersempena Hari Kesihatan Seksual Sedunia yang disambut pada 4 September 2024.

***

Hari Kesihatan Seksual Sedunia dianjurkan oleh Persatuan Kesihatan Seksual Sedunia (World Association for Sexual Health) pada 4 September pada setiap tahun sejak tahun 2010 dengan pelbagai tema yang tersendiri. Pada tahun ini, tema yang diangkat bagi sambutan ini ialah “Positive Relationships”.

Di Malaysia, Hari Kesihatan Seksual Sedunia disambut di pelbagai lokasi. Antaranya termasuklah di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui penganjuran seminar, forum, pameran dan sesi ceramah yang memfokuskan kesihatan seksual dan reproduktif. Kesemua program ini diusahakan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan seksual dan reproduktif.

Hospital dan klinik kesihatan, sama ada kerajaan serta swasta turut menganjurkan kempen kesedaran kesihatan seksual dengan mengadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma dan sesi kaunseling. Badan bukan kerajaan dan organisasi kesihatan seperti Malaysian AIDS Council, Federation Of Reproductive Health Associations Malaysia (FRHAM) dan Women’s Aid Organisation (WAO) juga sering mengadakan acara kesedaran kesihatan seksual di pusat komuniti dan secara dalam talian.

Terdapat beberapa hari yang didedikasikan untuk aspek kesihatan reproduktif bagi membantu meningkatkan kesedaran mengenai isu tersebut. Antaranya termasuklah Hari Pencegahan Hami Sedunia (26 September) yang memfokuskan kepada peningkatan kesedaran mengenai pencegahan hami, perancangan keluarga dan kesihatan reproduktif untuk mengurangkan kehamilan yang tidak dirancang dan mempromosikan pilihan kaedah pencegahan hamil.

Pada 28 September pula, Hari Pengguguran Selamat Antarabangsa diraikan meningkatkan kesedaran tentang perkhidmatan pengguguran yang selamat, sah dan yang boleh dicapai sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatan reproduktif yang komprehensif. Secara umumnya, September dipilih sebagai bulan kesihatan reproduktif yang bertujuan meningkatkan kesedaran, menyokong perubahan dasar dan mempromosikan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan reproduktif.

Kesihatan seksual dan kesihatan reproduktif ialah dua aspek kesihatan yang saling berkait rapat dalam konteks kesihatan individu dan masyarakat. Kedua-dua aspek kesihatan ini merangkumi pelbagai aspek kesihatan fizikal, mental dan emosi yang berkaitan dengan sistem reproduktif dan fungsi seksual.

Dalam kesihatan reproduktif, aspek kesuburan merupakan kemuncak kepada kesihatan reproduktif. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), esuburan didefinisikan sebagai keupayaan seorang individu atau pasangan untuk menghasilkan zuriat melalui proses reproduktif yang normal.

Kesuburan melibatkan kemampuan sistem reproduktif lelaki dan wanita untuk menjalankan fungsi normal yang membawa kepada konsepsi (persenyawaan) dan kehamilan. Namun demikian, sama ada disedari atau tidak, tahap kesuburan manusia kian merosot secara global, khususnya dalam kalangan lelaki.

Di negara barat, lebih daripada 50 peratus pasangan telah mengalami masalah untuk mendapatkan zuriat. Di Malaysia pula, laporan kesihatan reproduktif menunjukkan sebanyak 60 peratus sperma yang dihasilkan adalah tidak normal.

Pada tahun 1992, WHO menetapkan kriteria kesuburan sperma dari segi bilangan sperma melebihi atau sama 20×106 per milimeter. Namun demikian, pada tahun 2010, kriteria tersebut diturunkan kepada 15x 106 per milimeter, begitu juga dengan parameter lain seperti motiliti dan morfologi sperma normal, masing-masing diturunkan daripada 50 peratus kepada 40 peratus dan daripada 30 peratus kepada empat peratus. Terdapat pelbagai faktor yang menjejaskan reproduktif manusia seperti masalah gejala metabolik, gaya hidup, diet, tekanan (stres) dan faktor genetik.

Kajian di Universiti Kebangsaan Malaysia menggunakan tikus jantan sebagai haiwan model bagi memahami masalah metabolik yang mendatangkan kesan ketidaksuburan. Antara masalah metabolik yang dimaksudkan termasuklah diabetes dan obesiti.

Haiwan jantan yang diabetes dan obes masing-masing ternyata mengalami penurunan semua parameter kesuburan sperma seperti pengurangan kepekatan, motiliti dan bilangan sperma dengan morfologi normal. Faktor utama yang menyumbang kepada kemerosotan kesuburan akibat diabetes dan obesiti adalah berlakunya peningkatan reaktif oksigen spesies (ROS) yang seterusnya mendatangkan tekanan oksidatif.

Tekanan oksidatif bukan sahaja merosakkan membran plasma pada kepala sperma, bahkan juga menyebabkan berlakunya fragmentasi DNA dalam kepala sperma. Jika sebelum ini parameter fizikal kualiti sperma sudah memadai sebagai penanda kesuburan, kini indeks SDF (fragmentasi DNA sperma) telah mula dititikberatkan berikutan peningkatan isu kecacatan bayi dan keguguran yang berkait rapat dengan masalah SDF. Perbincangan bersama-sama pihak Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Kuala Lumpur turut menyokong kepentingan penentuan SDF dalam pengukuran tahap kesuburan dan boleh dijadikan sebagai panduan dalam aplikasi teknologi pembiakan berbantu atau assisted reproductive technology (ART).

Penentuan indeks SDF telah menjadi semakin penting dalam amalan makmal kesuburan. Integriti DNA dan kualiti maklumat genetik sperma adalah penting untuk perkembangan anak kerana gamet lelaki memainkan peranan yang signifikan dalam proses persenyawaan, kualiti embrio dan perkembangan embrio, terutamanya semasa peringkat awal kehamilan. Sperma membawa hampir 3000 jenis mRNA yang berbeza yang mengekod protein yang terlibat dalam proses implantasi dan perkembangan awal embrio.

Tidak dinafikan bahawa ART merupakan salah satu teknologi atau kaedah dalam mengatasi masalah ketidaksuburan, namun bukan semua masyarakat mampu kerana kosnya yang tinggi. Oleh sebab itu, herba wajar dijadikan rawatan alternatif bagi mengatasi masalah kemerosotan kesuburan.

Herba dan tumbuh-tumbuhan ubatan telah lama digunakan dalam perubatan tradisional untuk meningkatkan kesihatan reproduktif lelaki. Dalam perubatan alternatif, beberapa herba terkenal untuk meningkatkan keupayaan seksual dan kesuburan telah dikenal pasti.

Antara herba yang bermanfaat untuk kesihatan reproduktif lelaki termasuklah tongkat ali (Eurycoma longifolia) yang juga dikenali sebagai “Malaysian Ginseng”. Herba ini terkenal kerana mampu meningkatkan libido dan tenaga seksual lelaki.

Kajian saintifik membuktikan ekstrak tongkat ali berjaya meningkatkan testosteron, memperbaik libido serta meningkatkan penghasilan sperma. Panax ginseng (Ginseng Korea) turut digunakan secara meluas untuk melancarkan peredaran darah, membantu dalam masalah disfungsi ereksi dan memperbaik tahap tenaga serta stamina seksual.

Maca (Lepidium meyenii) merupakan herba berasal dari Peru yang terkenal kerana keupayaannya meningkatkan libido dan kesuburan. Ekstrak daripada akar Maca berupaya memperbaik kualiti sperma dan meningkatkan keseimbangan hormon reproduktif.

Dalam perubatan Cina dan Ayurveda pula, Tribulus terrestris sering digunakan dalam meningkatkan libido, kualiti dan jumlah sperma serta meningkatkan tahap testosteron. Walaupun herba dan tumbuhan ubatan banyak manfaatnya, penggunaannya harus dilakukan dengan berhati-hati dan mengikut dos yang disarankan.

Hasil kajian makmal di UKM berjaya membuktikan kepentingan dos herba yang diambil untuk manfaat kesihatan. Sebagai contohnya, herba Lunasia amara didapati mempunyai dos optimum bagi memberikan kesan antidiabetes, sekali gus mengembalikan kesuburan akibat komplikasi diabetes. Dos yang melebihi tahap optimum telah menyebabkan kemerosotan kualiti sperma walaupun paras glukosa darah berjaya diturunkan.

Lunasia amara berpotensi mengatasi masalah kesuburan lelaki.

Pemilihan herba untuk kesihatan reproduktif juga wajar diambil kira. Hal ini berdasarkan hasil kajian yang membuktikan bahawa terdapat herba seperti pegaga dan hempedu bumi yang efektif dalam menurunkan paras glukosa darah haiwan aruhan diabetes, namun memberikan kesan spermatoxic dan menyebabkan berlakunya pengurangan saiz testis dan libido.

Pegaga mengatasi gejala metabolik seperti diabetes, namun mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan reproduktif lelaki. 

Sebelum memulakan sebarang suplemen herba untuk kesihatan, seseorang itu harus mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan atau doktor untuk memastikan bahan tersebut selamat dan sesuai dengan keadaan individu. Hal ini penting kerana sesetengah herba mungkin mempunyai kesan sampingan atau berinteraksi dengan ubat-ubatan tertentu.

Tidak dinafikan bahawa herba dan tumbuh-tumbuhan ubatan menawarkan pelbagai manfaat untuk kesihatan reproduktif lelaki – daripada meningkatkan libido dan kualiti sperma hinggalah menyokong kesihatan keseluruhan badan. Walau bagaimanapun, penggunaannya harus dilakukan dengan penuh tanggungjawab dengan memahami kesan utama serta sampingannya di samping berunding dengan profesional kesihatan. Oleh sebab itu, melalui pendekatan yang tepat, herba boleh menjadi sebahagian daripada strategi keseluruhan untuk meningkatkan kesihatan reproduktif lelaki.

 

Profesor Madya Dr. Mahanem Mat Noor,
Pakar Biologi Reproduktif,
Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.