Diterbitkan pada 3 September 2024, 15:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bengkel Prapersidangan i-SIHAT 2024 anjuran Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diadakan untuk meningkatkan pemahaman dan penggunaan entomologi perubatan.

Selain itu, bengkel yang diadakan di Bilik Seminar Blok H dan Makmal Pelbagai Guna 3C, UKM Kampus Kuala Lumpur itu memberikan pendedahan langsung dan pengalaman praktikal tentang entomologi perubatan, sekali gus memupuk minat dan meningkatkan kemahiran para peserta dalam bidang yang merupakan satu daripada aspek penting dalam kajian penyakit bawaan vektor.

Bengkel tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada wakil  agensi kesihatan seperti Pejabat Kesihatan Negeri Sabah, Pejabat Kesihatan Negeri Kedah serta tenaga pengajar dan pelajar sarjana dari pelbagai institusi pendidikan dan universiti, sekali gus menunjukkan komitmen dan minat yang tinggi terhadap pengembangan ilmu dalam bidang entomologi perubatan dan parasitologi.

Ketua Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan, YBrs. Profesor Dr. Hidayatulfathi Othman ketika merasmikan penganjuran bengkel berkenaan menekankan kepentingan minat dan semangat para peserta untuk berjaya dalam bidang entomologi.

YBrs. Profesor Dr. Hidayatulfathi Othman ketika merasmikan Bengkel Prapersidangan i-SIHAT 2024.

Selepas majlis perasmian, beliau menyampaikan ceramah ringkas yang bertajuk “Emerging Challenges in Mosquito Borne Disease Management: An Entomologist Perspective” kepada para peserta.

Seterusnya, bengkel berkenaan dikendalikan oleh dua orang pensyarah kanan dalam bidang parasitologi dan entomologi perubatan, iaitu YBrs. Dr. Nantha Kumar Jeyaprakasam dan YBrs. Dr. Shierly Tang Gee Hoon dari CORE, FSK, UKM.

YBrs. Dr. Nantha Kumar Jeyaprakasam telah berkongsikan maklumat terkini berkaitan dengan malaria zoonotik dan menyampaikan ceramah ringkas tentang kaedah persampelan nyamuk serta pemantauan entomologi menerusi teknik pembedahan nyamuk.

Menurut beliau, teknik lapangan yang berkesan seperti penangkapan dan pembedahan nyamuk adalah kritikal untuk mengenal pasti kehadiran parasit Plasmodium di dalam nyamuk.

Seterusnya, bengkel diteruskan dengan sesi perkongsian yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Shirley Tang Gee Hoon tentang kepentingan aktiviti larvisid dalam kawalan vektor nyamuk.

Ujar beliau,

Penggunaan bahan larvisid yang berkesan dapat membantu mengawal penyebaran vektor dan mengurangkan risiko penyakit bawaan nyamuk dalam komuniti.

Bengkel ini mengandungi dua komponen praktikal yang utama, iaitu pembedahan nyamuk dan ujian larvisid. Untuk praktikal pembedahan nyamuk, peserta diberikan peluang untuk melakukan pembedahan nyamuk secara langsung yang membolehkan mereka mempelajari struktur anatomi nyamuk dengan lebih mendalam, terutamanya bahagian perut, ovari dan kelenjar air liur, memahami cara struktur ini dan kaitannya dalam penularan penyakit serta memberikan pengalaman praktikal yang penting untuk kajian dan penyelidikan entomologi.

YBrs. Dr. Nantha Kumar Jeyaprakasam sedang menerangkan morfologi kelenjar air liur nyamuk kepada seorang daripada peserta Bengkel Prapersidangan i-SIHAT 2024.
Kelenjar air liur nyamuk Anopheles yang dapat diperhatikan menerusi mikroskop.

Bagi ujian larvisid pula, aktiviti ini melibatkan pengujian keberkesanan bahan larvisid terhadap larva nyamuk. Peserta dapat mempelajari teknik dan metodologi dalam menilai keberkesanan bahan larvisid yang merupakan langkah penting dalam kawalan vektor penyakit, sekali gus memberikan peluang kepada para peserta untuk memahami cara menggunakan larvisid secara berkesan dalam konteks pengurusan dan kawalan penyakit.

YBrs. Dr. Shirley Tang Gee Hoon menerangkan kaedah menjalankan ujian larvisid kepada sekumpulan peserta bengkel.
Peserta bengkel sedang mencuba untuk menangkap larva L3 nyamuk aedes untuk digunakan dalam ujian larvisid.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi