Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kunjungan hormat daripada YBrs. Profesor Ian Cameron dan YBrs. Profesor Susan Kurrle dari University of Sydney, Australia kepada Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), FSK, UKM telah membuka peluang kerjasama dua hala.
Kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk berkongsikan pandangan tentang fungsi kognitif dan penuaan serta membincangkan kolaborasi antara FSK, H-CARE dengan Fakulti Perubatan dan Kesihatan, University of Sydney.

Dalam sesi pertemuan itu, Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Suzana Shahar menerangkan serba sedikit tentang FSK, UKM diikuti dengan sesi memperkenalkan 23 orang penyelidik di H-CARE dan bidang kepakaran masing-masing oleh Ketua H-CARE, YBrs. Profesor Madya Dr. Arimi Fitri Mat Ludin.
Pada masa yang sama, beliau turut berkongsikan beberapa produk inovasi H-CARE seperti MindLumina, Jus TIPPI 3-in-1 dan snek tempe yang memfokuskan peningkatan daya ingatan dan fungsi kognitif kepada pihak University of Sydney.
Sementara itu, YBrs. Profesor Susan Kurrle telah berkongsikan hal berkaitan dengan sindrom keuzuran yang dapat dikembalikan kepada keadaan asal dengan memberikan intervensi fisiologi, pemakanan yang sihat dan polifarmasi.
Menurut beliau, pihaknya juga membuat saringan di setiap klinik dan Jabatan Kecemasan Hospital di Australia untuk mengesan sindrom keuzuran dengan lebih awal dan memberikan intervensi yang sesuai.
YBrs. Profesor Ian Cameron juga mengambil peluang tersebut untuk berkongsikan tentang RACHP Silver Book yang diberikan kepada semua doktor termasuklah di klinik untuk dijadikan sebagai garis panduan bagi penjagaan warga emas dalam kediaman dan komuniti di Australia.
Dalam sesi kunjungan itu juga, YBrs. Profesor Suzana Shahar menyampaikan hasrat untuk bekerjasama dalam bidang penyelidikan bersama-sama YBrs. Profesor Ian Cameron dan YBrs. Profesor Susan Kurrle serta mencadangkan untuk mengadakan pertukaran pelajar antara UKM dengan University of Sydney.
Kedua-dua pihak telah menunjukkan respons yang positif untuk berganding bahu dalam kajian berkaitan dengan kelemahan demensia dan hal yang berkaitan dengan penyelidikan antara generasi.
Pertemuan tersebut telah membuka peluang kerjasama dua hala, khususnya dalam pertukaran ilmu dan pengalaman dalam kalangan ahli penyelidik dan pelajar UKM dengan pihak University of Sydney.