Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTaman Eko Rimba Mossy Forest (TERMF) yang terletak di Cameron Highlands merupakan satu daripada destinasi popular tanah tinggi di Semenanjung Malaysia. Lokasinya berada di banjaran gunung yang merangkumi sempadan negeri Pahang dan Perak.
Taman ini juga merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Batu Gangan Tambahan. Kawasan utama TERMF ialah Gunung Brinchang termasuklah laluan denai ke puncak Gunung Irau, Pahang.
Disebabkan oleh kedudukannya pada altitud tinggi, iaitu melebihi 1900 meter dari aras laut, suasana iklimnya sentiasa bersuhu rendah dan mudah berkabus tebal. Pada asasnya, jenis hutan yang mempunyai ketinggian ini terdiri daripada jenis hutan gunung.
Hutan gunung turut dikenali sebagai hutan awan atau cloud forest. Hutan ini merupakan hutan tropika lembap yang meliputi kawasan pergunungan dan sering diselubungi awan yang biasanya pada paras kanopi pokok. Pokok dan tanah jenis hutan ini juga sering dilitupi dengan lumut yang banyak kerana persekitarannya yang sentiasa lembap, sekali gus nama alternatif kawasan hutan tersebut ialah hutan lumut.
Atas faktor kepentingan semasa kawasan hutan berlumut kepada semua pihak, terutamanya masyarakat awam, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), pihak berkuasa tempatan dan negeri berusaha untuk meningkatkan taraf kawasan hutan berlumut. Kini, hutan tersebut menjadi kawasan tarikan pelancong.
Apabila mengunjungi TERMF, pengunjung bukan sahaja berpeluang melihat hamparan tumbuhan jenis lumut di lantai hutan atau lumut yang menyaluti pokok berkayu di sekitarnya, malah pengunjung berpeluang melihat kepelbagaian spesies tumbuhan berbunga dan berbuah yang menghuni habitat tersebut.
Tumbuhan berbunga dan berbuah yang boleh dilihat di kawasan TERMF terdiri daripada pelbagai jenis tumbuhan vaskular, sama ada jenis pokok berkayu, tumbuhan rendah, tumbuhan jenis pemanjat atau penumpang. Jika pengunjung melalui denai di kawasan TERMF, antara tumbuhan berbunga yang dapat dilihat termasuklah daripada genus Aeschynanthus dan Codonoboea (Gesneriaceae); Argostemma (Rubiaceae); Medinilla dan Sonerila (Melastomataceae); Agapetes, Rhododendron dan Vaccinium (Ericaceae); Ardisia (Primulaceae); Labisia (Myrsinaceae); Geostachys (Zingiberaceae); Rubus (Rosaceae) serta famili Orchidaceae dan Araceae. Selain itu, terdapat juga tumbuhan unik seperti tumbuhan karnivor daripada genus Drosera daripada famili Droseraceae.
TERMF mempunyai pelbagai jenis tumbuhan dan beberapa spesies yang mempunyai keunikannya yang tersendiri serta menjadi spesies endemik kepada kawasan tanah tinggi amnya dan hanya terdapat di Semenanjung Malaysia khususnya.
Antara tumbuhan berbunga yang boleh didapati di sekitar kawasan TERMF adalah seperti yang berikut:
Bagi memperoleh maklumat kepelbagaian biodiversiti di TERMF, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh banyak pihak, terutamanya JPNP dan pemegang taruh yang terlibat melalui penganjuran ekspedisi saintifik bagi mendokumentasikan kepelbagaian biologi yang terdapat di TERMF. Pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan para penyelidik dari institusi awam turut menjalankan pendokumentasian dan pelbagai jenis penyelidikan di kawasan tersebut.
Laluan utama di TERMF mempunyai kemudahan laluan berkayu yang dibina dengan tinggi dari dasar tanah untuk mengelakkan kerosakan pada habitat lumut di kawasan tersebut. Laluan berkayu juga dapat memberikan pengalaman kepada para pengunjung untuk menikmati dan merasai suasana berada di denai kawasan puncak gunung.
Kelebihan ini menjadi antara tarikan utama TERMF. Hal ini dikatakan demikian kerana kawasan puncak gunung tidak mudah untuk dikunjungi secara santai atau pada masa yang singkat kerana biasanya pengunjung perlu mendaki dari aras gunung yang lebih rendah kepada aras gunung yang lebih tinggi.
Sebagai kesimpulannya, tidak dapat dinafikan bahawa TERMF merupakan lokasi tumpuan untuk ekopelancongan alam semula jadi tanah tinggi. Oleh sebab itu, pihak yang berkaitan haruslah memastikan lebih banyak aktiviti berkaitan dengan penyelidikan di kawasan TERMF dijalankan bagi manambah nilai maklumat dan pengetahuan berharga mengenai TERMF. TERMF merupakan aset semula jadi yang penting untuk dipelihara. Kepelbagaian biologi dan tumbuhannya juga perlu sentiasa dilindungi agar dapat memastikan kelestariannya secara mampan.
TERMF juga sesuai untuk dijadikan sebagai lokasi pembelajaran lapangan untuk habitat dan vegetasi hutan lumut untuk pelbagai peringkat kelompok dalam sektor pendidikan. Hal ini sekali gus menjadikan TERMF sebagai taman rimba pembelajaran kepada orang awam.
Secara umumnya, habitat hutan lumut di negara ini masih berada dalam keaadaan yang baik dan menyokong ekosistemnya yang tersendiri. Oleh hal yang demikian, pihak pengurusan yang terlibat hendaklah terus memantau dan menyelia TERMF dengan lebih sistematik bagi mengelakkan pendedahan atau penggunaan berlebihan oleh para pengunjung. Melalui pengurusan yang baik dan berkualiti terhadap habitat dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di TERMF, kawasan ini akan terus menjadi hutan berharga yang mampu memberikan nilai tambah kepada biodiversiti, pendidikan dan ekopelancongan.
Siti Munirah Mat Yunoh, Syahida Emiza Suhaimi dan Suhaida Mustafa, Pegawai Penyelidik, Program Biodiversiti Flora (Flora), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.