Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangParasetamol diklasifikasikan sebagai ubat analgesik ataupun lebih dikenali sebagai ubat tahan sakit. Parasetamol boleh ditemukan dalam bentuk tablet, pil, kapsul, tablet berbuak, sirap cecair, supositori dan ubat cucuk.
Parasetamol berbentuk tablet juga mempunyai formulasi unik untuk mengekalkan formulasi ubat dan melindunginya daripada terlerai oleh jus gastrik. Antara formulasi yang sudah berada dalam pasaran ialah lepas segera, pelepasan terlanjut, lepas perlahan. Contoh parasetamol yang berada dalam pasaran adalah seperti Panadol, Uphamol, Calpol, Tylenol dan Alvedon.
Parasetamol berfungsi dengan menghalang satu reseptor khusus yang dikenali sebagai enzim siklooksigenase dari menghasilkan bahan kimia yang akan menyebabkan keradangan kepada pesakit. Oleh sebab itu, apabila enzim ini dihalang, kesakitan yang dialami juga turut pulih.
Penggunaan Parasetamol ketika Mengandung
Bagi ibu mengandung, sudah semestinya berasa risau dan ragu-ragu untuk mengambil sesuatu ubat kerana bimbang akan kesannya terhadap kandungan. Namun demikian, parasetamol yang diambil secara oral ketika mengandung adalah selamat.
Kajian oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) menunjukkan bahawa ubat ini tidak menunjukkan sebarang implikasi terhadap fetus haiwan yang dikaji. Namun begitu, ibu mengandung dan yang sedang menyusukan anak dinasihatkan untuk merujuk pakar terlebih dahulu.
Kadar Dos yang Selamat
Memandangkan parasetamol ialah ubat yang senang diperoleh, namun bpengguna atau pesakit perlu peka akan dos parasetamol yang boleh diambil pada satu-satu masa.
Bagi pesakit kanak-kanak di bawah 12 tahun, pengambilan parasetamol melalui oral yang dibenarkan adalah 10 miligram (mg) hingga 15 mg per kilogram (kg) bagi setiap empat jam hingga enam jam dan tidak melebihi empat kali dalam sehari. Jika parasetamol tersebut adalah dalam bentuk pil yang dimasukkan melalui dubur, dos yang disyorkan ialah 10 mg/kg hingga 20 mg/kg untuk setiap empat jam hingga enam jam
Bagi pesakit dewasa dan kanak-kanak yang berumur 12 tahun dan ke atas pula, dos bagi kedua-dua parasetamol yang diambil melalui mulut atau dubur adalah dihadkan untuk tidak melebihi 1000 mg bagi setiap empat hingga enam jam dan maksimum empat gram dalam tempoh sehari. Pengguna juga amat digalakkan untuk memperoleh kesihatan nasihat daripada ahli kesihatan atau merujuk label arahan pada produk parasetamol kerana dos yang berlebihan boleh memberikan risiko kepada buah pinggang.
Doktor dan pakar kimia dari Swiss yang juga perintis dalam penggunaan mineral dan bahan kimia dalam ubat-ubatan, Paracelsus pernah menyatakan bahawa “All drugs are poisons; the benefit depends on the dosage”. Dalam erti kata lain, ubat ialah penawar, namun sekiranya diambil secara berlebihan, ubat tersebut akan menjadi racun dan toksik kepada badan. Oleh sebab itu, pengambilan pada kadar dos yang betul perlu dititikberatkan.
Interaksi antara Parasetamol dengan Makanan dan Ubat
Parasetamol boleh diambil dengan makanan mahupun dalam keadaan perut kosong. Maksudnya, parasetamol boleh diambil sebelum makan atau selepas makan.
Secara amnya, parasetamol tidak menunjukkan reaksi mahupun memberikan tindak balas yang negatif apabila diambil bersama-sama makanan. Namun demikian, parasetamol tidak boleh diambil denga bersama-sama jumlah kaffein yang tinggi, alkohol ataupun arak kerana akan meningkatkan risiko kerosakan hati.
Selain itu, parasetamol juga akan berinteraksi dengan beberapa jenis ubat . Oleh sebab itu, orang ramai perlu bertanya kepada ahli farmasi sebelum mengambil sebarang ubat bagi mengelakkan kesan yang tidak diingini dan berbahaya.
Jadual 1 Senarai ubat-ubatan yang akan bertindak balas dengan parasetamol.
Tanda dan Kesan Keracunan Parasetamol
Secara klinikal, keracunan parasetamol terbahagi kepada empat fasa dan bergantung pada tahap hepatotoksisiti.
Jadual 2 Tanda dan kesan keracunan parasetamol.
Faktor yang Menyebabkan Keracunan Parasetamol
Selain pengambilan dos yang melebihi kadar atau tidak bersesuaian, beberapa punca lain yang berpotensi menyebabkan keracunan parasetamol juga perlu diambil kira. Antaranya termasuklah pengambilan parasetamol untuk tempoh masa yang panjang.
Keadaan tersebut berpotensi menyebabkan pengumpulan ubat dalam sistem badan. Selain itu, pengambilan ubat bersama-sama minuman beralkohol akan menyebabkan risiko kegagalan fungsi hati.
Oleh itu, pesakit akan dinasihatkan untuk mengambil ubat jenis analgesik yang lain seperti ibuprofen. Begitu juga dengan mereka yang mempunyai masalah hati seperti hepatitis, pengambilan parasetamol juga mungkin mendedahkan mereka kepada keracunan oleh sebab fungsi hati yang telah terkompromi.
Akhir sekali, interaksi atau pengambilan parasetamol bersama-sama ubat tertentu bukan sahaja boleh menjejaskan keberkesanan ubat tersebut, malah boleh meningkatkan risiko keracunan atau toksik kerana proses metabolisme parasetamol yang telah terjejas.
Metabolisme Parasetamol
Dalam situasi normal, parasetamol akan diproses melalui glucuronidation dan sulfation yang menghasilkan metabolit yang tidak toksik. Namun begitu, dalam situasi dos yang berlebihan, proses metabolisme melibatkan melalui enzim sitokrom P450 2E1 (CYP2E1) yang menghasilkan kompaun N-acetyl-p-benzoquinone imine (NAPQI) yang sangat reaktif dan membentuk toksik.
Pada kebiasaannya, NAPQI akan melalui proses konjugasi oleh antioksida yang dipanggil sebagai glutation dan akan membentuk kompoun yang tidak bertoksik seperti sistein dan asid merkapturik. Namun begitu, penghasilan NAPQI yang terlalu banyak akibat lebihan dos tidak dapat dineutralkan sepenuhnya oleh bilangan glutation yang berkurangan di dalam hati.
Oleh itu, apabila kompaun toksik NAPQI bergabung dengan protein yang terdapat di hati dan buah pinggang, maka keadaan tersebut akan menyebabkan nekrosis kepada organ dan seterusnya berpotensi menyebabkan kegagalan fungsi organ.
Antidot
Terdapat dua antidot yang tersedia bagi keracunan parasetamol, iaitu arang teraktif dan N-Acetylcysteine (NAC). Arang teraktif akan diberikan dalam lingkungan masa satu jam dari tempoh pengambilan parasetamol untuk mengurangkan penyerapan parasetamol dan mengurangkan amaun molekul toksik yang diserap ke dalam aliran darah. Arang teraktif ini tersedia dalam bentuk pil, tablet, kapsul mahupun sirap cecair.
Antidot kedua ialah N-Acetylcysteine (NAC) yang berfungsi dengan menggantikan glutation, meningkatkan sintesis glutation dan meningkatkan konjugasi sulfat pada parasetamol. Tindakan ini dapat mengurangkan pembentukan molekul toksik NAPQI, sekali gus mengurangkan kadar kerosakan organ dalaman seperti hati dan buah pinggang. NAC akan diberikan kepada pesakit melalui infusi intravena.
Cara Mengelakkan Keracunan Parasetamol (Kendiri)
Selari dengan slogan “mencegah lebih baik daripada mengubati” yang sering kali ditayangkan di kaca televisyen dan iklan di pusat kesihatan, keracunan parasetamol yang boleh mengakibatkan pelbagai implikasi negatif kepada badan boleh dielakkan.
Antara cara bagi mencegah keracunan parasetamol termasuklah dengan membaca label ubat dan mengambil maklum dos yang ditetapkan. Selain mematuhi kadar dos harian, pesakit juga perlu mengikuti arahan pengambilan ubat yang ditetapkan bagi produk tersebut.
Selain itu, pengguna amat disarankan untuk merujuk dan mengikuti nasihat pakar kesihatan, terutamanya bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik sebelum mengambil mana-mana produk parasetamol. Akhir sekali, jika anda mengesyaki kes keracunan parasetamol atau pengambilan dos berlebihan telah berlaku, maka segeralah mendapatkan rawatan perubatan kerana rawatan awal mempunyai keberkesanan yang lebih tinggi untuk mengelakkan kerosakan hati yang serius.