Diterbitkan pada 21 Ogos 2024, 12:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

New Clark City – Malaysia menghantar sebanyak empat orang peserta peserta akhir dalam International Nuclear Science Olympiad (INSO) 2024 anjuran Philipine Nuclear Research Institute (PNRI) yang berlangsung pada 31 Julai hingga 7 Ogos 2024.

Peserta akhir yang mewakili Malaysia ialah Lim Yee Jian dan Isaac Toh Thiam Tek dari Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Kedah, Saratt a/l Suthagar dari Program ASASIpintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Arell Yazid Fazrin Mohd Fauzi dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar yang dipimpin oleh Dr. Mark Dennis Usang dari Agensi Nuklear Malaysia dan Lim Teng Sheng dari Program Sains Nuklear, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pengerusi INSO di IAEA, Dr. Maya Al Azri menyatakan, “Kami di IAEA amat bersyukur kerana hasrat yang dibawa oleh negara ahli ini telah berjaya dilaksanakan dan berharap usaha ini dapat diteruskan bagi memberikan pendedahan yang luas dalam pendidikan sains, khususnya sains nuklear dan kegunaannya dalam pelbagai bidang”.

IAEA juga mengkhususkan sasaran penyebaran ilmu ini kepada pelajar pendidikan menengah dan tinggi bagi mencetus dan meningkatkan minat pelajar dalam bidang sains, khasnya sains nuklear.

“Saya mengaku amat mencabar untuk membahagikan masa antara sukatan pelajaran di sekolah dengan INSO, namun saya cuba yang terbaik sebagai wakil yang terpilih untuk Malaysia”, jelas Arell Yazid Fazrin Mohd Fauzi yang mengulas berkaitan dengan cabaran yang dihadapinya sebagai pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini.

Sesi melafazkan ikrar oleh peserta semasa upacara perasmian INSO 2024.

Pusat PERMATA@Pintar Negara telah menerima tanggungjawab untuk menjadi penganjur Malaysia Nuclear Sciences Olympiad (MyNSO) melalui sokongan daripada pakar pelbagai bidang yang berada di FST UKM, guru sekolah dan guru yang berpengalaman dalam proses pemilihan pelajar.

Pusat PERMATA@pintar Negara juga bekerjasama dengan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia serta tiga agensi di bawah Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI), iaitu Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Tenaga Atom dan Pusat Sains Negara yang berjaya menganjurkan pemilihan peserta akhir pada peringkat kebangsaan.

Perjalanan MyNSO telah bermula sejak Februari 2024 yang melibatkan pemilihan sebanyak 50 orang peserta yang terpilih untuk ke bengkel pertama selama seminggu bagi mempelajari asas dalam bidang sains nuklear.

Ujian saringan kedua dijalankan di Pusat PERMATA@Pintar Negara dan FST, UKM, yang mempunyai kemudahan yang bersesuaian dalam bidang sains nuklear dan melibatkan pemilihan empat peserta akhir yang akan melalui kursus intensif yang dijalankan secara hibrid dalam tempoh hampir dua bulan.

INSO 2024 turut disertai oleh 14 buah negara anggota dari Zon Asia Pasifik seperti Malaysia, Singapura, Thailand, Arab Saudi, Iran, Oman, Qatar, Jordan, Pakistan, Sri Lanka, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Mongolia serta negara penganjur, Filipina.

Pengenalan kepada delegasi Malaysia semasa upacara pembukaan.

Peserta akhir Malaysia telah berjaya merangkul dua pingat perak dan dua pingat gangsa dalam INSO 2024.

Sebanyak tiga anugerah terbaik juga dipertandingkan, iaitu markah tertinggi bagi peperiksaan praktikal dimenangi oleh Tran Doan Duy Phuc dari Singapura, markah tertinggi bagi peperiksaan teori dimenangi oleh Mohammad Nur G. Casib dari Filipina dan Duta Nuklear yang juga dirangkul oleh Casib.

Peserta akhir Malaysia yang beroleh pingat perak dan gangsa dalam INSO 2024.

Majlis perasmian INSO 2024 telah dihadiri wakil delegasi dari pelbagai negara termasuklah Encik Mohd Fareed Zakaria, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Malaysia di Filipina, manakala bagi majlis penutup INSO 2024 ini dihadiri oleh Kaunselor Kedutaan Malaysia di Filipina, Puan Nur Farahliza Putri Naaim Yazid.

Delegasi Malaysia menerima piala pusingan INSO daripada Pengarah PNRI.

Turut hadir dalam upacara penutup ialah delegasi Malaysia yang terdiri dari ahli Jawatankuasa Pemandu, Profesor Madya Dr. Rorlinda Yusof dan Timbalan Pengarah Pusat PERMATA@Pintar Negara, UKM, Encik Mohd Hakimie Zainal Abidin yang telah menerima piala pusingan INSO sebagai tanda Malaysia akan menjadi tuan rumah INSO 2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi