16 Ogos 2024, 16:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

OpenAI telah memperkenalkan aplikasi ChatGPT untuk MacOS baru-baru ini, sekali gus membolehkan para pengguna komputer Apple boleh mengakses sokongan ChatGPT dengan mudah terus pada komputer meja pada bila-bila masa. Namun demikian, mengikut semakan pembangun, OpenAI didapati menyimpan pelbagai data perbualan dan pertanyaan dalam teks biasa tanpa sebarang penyulitan. Hal ini membolehkan sesiapa yang mempunyai capaian kepada komputer berkenaan boleh melihat data perbualan ini secara langsung.

Aplikasi ChatGPT untuk macOS juga dilihat tidak menggunakan piawaian biasa bagi sistem operasi Apple berkenaan. Walau bagaimanapun, selepas perkara ini diketengahkan dan dibincangkan, pihak OpenAI telah mengeluarkan kemas kini terbaharu bagi aplikasi ChatGPT untuk MacOS yang menyelesaikan masalah ini. Bagi pengguna yang menggunakan aplikasi ChatGPT untuk MacOS, mereka boleh memuat turun dan mengemas kini data dan maklumat terbaharu.

Dalam era digital yang serba canggih pada masa ini, penggunaan teknologi semakin meluas dalam pelbagai bidang, termasuklah dalam pendidikan. Kecerdasan buatan (AI) telah menjadi alat yang sangat berguna, terutamanya bagi pelajar pascasiswazah yang membantu dalam penulisan akademik.

AI mampu membantu dalam pelbagai aspek penulisan, bermula daripada penyuntingan sehinggalah kepada penyusunan idea. Menurut laporan oleh World Economic Forum pada tahun 2023, AI semakin memainkan peranan penting dalam sektor pendidikan melalui pengenalan alat yang mampu meningkatkan kualiti dan keberkesanan proses pembelajaran dan penulisan.

Satu daripada manfaat utama penggunaan AI dalam penulisan ialah potensi janaan pendapatan dalam kalangan pelajar pascasiswazah. Pelajar menawarkan perkhidmatan penulisan artikel yang ditulis dengan bantuan AI kepada pihak ketiga. Menurut kajian oleh Statista (2023), permintaan terhadap kandungan berkualiti tinggi semakin meningkat dan hal ini membuka peluang yang besar bagi pelajar untuk menjana pendapatan tambahan.

Melalui bantuan AI, pelajar dapat menghasilkan artikel yang lebih berkualiti dan dalam masa yang lebih singkat. Kelebihan ini membolehkan mereka untuk mengambil lebih banyak projek penulisan atau penerbitan. Penggunaan platform seperti Grammarly dan Quillbot juga dilihat amat membantu dalam meningkatkan kualiti penulisan dengan cepat dan efisien.

Penyepaduan AI ke dalam bidang pendidikan mengundang kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan warga pendidik tentang isu pelajar yang menggunakan AI untuk menulis esei dan isu plagiarisme. Dilaporkan juga berlakunya peningkatan trend pelajar yang menggunakan alatan yang dikuasakan oleh AI untuk membantu dalam penulisan esei dan kertas akademik.

Walaupun AI memberikan pelbagai faedah seperti kecekapan menulis yang lebih baik dan kemahiran bahasa yang dipertingkatkan, namun penggunaannya menimbulkan kebimbangan tentang etika dan potensi ketidakjujuran dalam bidang akademik. Oleh hal yang demikian, pendidik dan institusi perlu membangunkan strategi yang berkesan untuk mengurus penggunaan AI dalam kalangan pelajar serta memastikan pelaksanaannya yang bertanggungjawab sambil memupuk pertumbuhan pelajar itu sendiri.

Penggunaan AI dalam penulisan juga menimbulkan isu plagiat. Plagiat berlaku apabila seseorang itu menyalin karya orang lain tanpa memberikan kredit yang sepatutnya. Kesalahan ini dianggap serius dalam dunia akademik. Oleh itu, pelajar perlu berhati-hati dan memastikan mereka memahami etika penulisan dan cara untuk mengelakkan plagiat.

Antara perisian yang boleh digunakan bagi menentukan sekiranya bahan penulisan mengandungi unsur plagiat adalah seperti menggunakan perisian Turnitin yang berupaya menentukan keaslian dan dan memberikan rujukan yang betul. Pelajar perlu memahami bahawa AI berperanan sebagai alat bantu dan bukan sebagai sumber utama. Pemahaman ini penting untuk memelihara integriti dan moral penulisan akademik.

Keperluan penulisan bagi pelajar penyelidikan pascasiswazah sangat ditekankan agar membolehkan kelulusan syarat graduat dan kepuasan pelajar dapat dikenal pasti. Di sebalik peningkatan bilangan pelajar pascasiswazah di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia, lebih banyak kajian penyelidikan lebih tertumpu kepada institusi awam kerana institusi swasta lebih tertumpu terhadap pengajaran dan bukannya penyelidikan.

Penghasilan penulisan berimpak tinggi amat diperlukan bagi menunjukkan kepada masyarakat umum tentang hasil kajian yang telah dilakukan di makmal, terutamanya yang bermanfaat kepada masyarakat dan industri berdasarkan inovasi dan penyelidikan yang dipantau oleh pengajar dan pakar bidang yang bertauliah. Penulisan berimpak tinggi seharusnya memberikan kesan kepada pembacanya, membentuk pemikiran, tingkah laku atau tindakan mereka melalui bahasa yang jelas, padat serta mudah difahami.

Pelajar pascasiswazah, terutamanya mereka yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah kedoktoran menghadapi cabaran besar dalam mencapai standard tinggi penulisan akademik yang diperlukan, terutamanya ketika menulis tesis. Hal ini dikatakan demikian kerana tesis memerlukan pemikiran kritis dan ekspresi bertulis yang tinggi.

Pelajar pascasiswazah sering terbawa-bawa dengan amalan menulis daripada pendidikan prasiswazah yang mungkin tidak memenuhi piawaian komuniti siswazah. Pelajar yang mempunyai ralat penulisan umum mungkin bergelut untuk menghasilkan tulisan berkualiti tinggi dan dianggap “berisiko”.

Menulis ulasan literatur dan penemuan kualitatif juga mencabar bagi pelajar pascasiswazah. Kebanyakan pelajar dikatakan tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menulis tinjauan literatur yang baik.

Isu Penggunaan ChatGPT dalam Pendidikan

Sejak ChatGPT wujud, pendidik telah mengambil berat tentang isu penipuan. Apabila teknologi ini digunakan dengan sewajarnya, AI dapat membantu pelajar menjadi lebih cekap dalam menyelesaikan tugasan. AI juga menawarkan idea dan perspektif yang mungkin tidak difikirkan dan memberikan lebih peluang untuk berfikir secara kritis. Walau bagaimanapun, sekiranya pelajar terlalu bergantung pada AI untuk melakukan kebanyakan kerja, tindakan tersebut akan menjejaskan integriti sistem pendidikan dan meninggikan risiko berlakunya plagiarisme dan salah laku akademik.

AI juga boleh disalahgunakan untuk menipu semasa peperiksaan. Walaupun sebelum ini isu penipuan telah menjadi kebimbangan penting bagi pendidik, namun kewujudan AI sahaja menjadikannya lebih teruk. Lebih merumitkan isu ini apabila pengesan AI sedia ada tidak selalunya berfungsi dengan sempurna untuk membezakan kandungan yang disediakan oleh manusia daripada kandungan yang dihasilkan oleh AI.

Walaupun chatbot yang menggunakan AI seperti Bing dan Google Bard mempunyai capaian kepada Internet dan dapat memberikan maklumat terkini kepada pengguna, pada penghujung hari, AI masih bukan menjadi sumber yang disahkan. Hal ini dikatakan demikian kerana AI dilatih dengan menggunakan sejumlah besar data daripada Internet dan terdapat kemungkinan bahawa beberapa data ini tidak berasal daripada sumber yang disahkan dan boleh dipercayai. Keadaan ini menjadi kebimbangan bagi pendidik kerana pemberian maklumat yang salah akan menyebabkan pelajar memperoleh pengetahuan dan fakta yang tidak tepat.

Aktiviti pembelajaran memerlukan penyemakan fakta untuk menghalang pelajar daripada menyalin kandungan janaan AI secara langsung. Bagi pelajar, mengesahkan maklumat tanpa bimbingan yang betul boleh menjadi cabaran. Oleh sebab itu, pendidik perlu bertanggungjawab untuk mengajar pelajar cara untuk meneliti ketepatan dan kesahihan pengetahuan yang pelajar temukan di laman web.

Penyemakan fakta diperlukan untuk mengesahkan sama ada maklumat yang telah dilaporkan dalam artikel ilmiah atau laporan diterbitkan oleh penerbit yang bereputasi. Sekiranya pelajar tidak dapat menemukan artikel akademik yang berkaitan, pengajar boleh mengesyorkan sumber alternatif seperti penerbit dalam talian atau akhbar yang bereputasi untuk mengesahkan maklumat tersebut. Jika maklumat tersebut muncul secara konsisten merentas pelbagai sumber dan di akhbar dalam talian yang dipercayai, terdapat kemungkinan yang lebih tinggi bahawa maklumat tersebut telah melalui pengesahan yang ketat.

Kerajaan, institusi pendidikan dan pihak industri boleh memainkan peranan yang proaktif dalam menyediakan sokongan yang mencukupi bagi memastikan golongan pelajar pascasiswazah cakna tentang kepentingan dan cabaran dalam penulisan akademik. Antara usaha yang boleh dilaksanakan termasuklah memperkenalkan dasar dan program latihan bagi kumpulan yang terkesan dengan automasi dan teknologi AI.

Pada masa ini, kecerdasan buatan bergerak semakin maju dengan pantas, termasuklah memberikan kesan dalam bidang pendidikan. Walaupun AI menawarkan pelbagai manfaat seperti meningkatkan kualiti penulisan, cabaran seperti isu plagiat dan keperluan untuk pemahaman yang mendalam tentang penulisan akademik perlu ditangani dengan serius. Namun begitu, melalui bantuan AI dan sokongan yang betul, pelajar dapat menghasilkan penulisan berkualiti tinggi yang bukan sahaja memenuhi syarat graduasi, malah memberikan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat dan industri.

Dr. Siti Hasanah Osman,
Pensyarah Kanan dan Felow Penyelidik,
Institut Selfuel,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.