13 Ogos 2024, 17:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ketidaksuburan merupakan isu kesihatan global yang dihadapi oleh hampir 15 peratus pasangan yang berada dalam usia reproduktif di seluruh dunia. Di Malaysia, ketidaksuburan turut dikenal pasti sebagai satu daripada isu kesihatan awam yang penting. Statistik oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa kadar kesuburan negara telah menurun daripada 4.0 orang anak bagi setiap wanita pada tahun 1980 kepada 2.1 pada tahun 2010. Kadar ini terus menurun kepada 1.7 pada tahun 2021.

 

Definisi dan Punca Ketidaksuburan

WHO mentakrifkan ketidaksuburan sebagai ketidakmampuan untuk hamil selepas satu tahun hubungan seksual yang teratur dan tanpa menggunakan sebarang kaedah kontrasepsi. Terdapat beberapa punca berlakunya ketidaksuburan dalam kalangan wanita dan lelaki seperti:

  • masalah berkaitan penghasilan telur (ovulasi) yang mungkin disebabkan oleh sindrom ovari polisistik (PCOS), ketidakseimbangan hormon atau pembedahan pada ovari;
  • tiub Fallopio yang tersumbat akibat penyakit kelamin atau masalah endometriosis;
  • pembentukan sista atau fibroid di dalam kaviti uterus;
  • sperma yang abnormal atau tidak berkualiti akibat keabnormalan kongenital, masalah hormon, jangkitan pada testis, testis tidak berada di dalam kantung skrotum atau masalah varikosele (masalah salur darah pada skrotum);
  • berat badan yang berlebihan;
  • tabiat merokok; dan
  • terdedah secara kerap kepada sumber radiasi atau bahan kimia.

Terdapat juga masalah ketidaksuburan yang berpunca daripada faktor yang tidak dapat dikenal pasti dan diklasifikasikan unexplained infertility.

 

Ubat-ubatan dalam Rawatan Ketidaksuburan

Penggunaan ubat-ubatan merupakan satu daripada kaedah rawatan bagi wanita yang mengalami ketidaksuburan akibat masalah ovulasi. Ubat kesuburan secara amnya bertindak seakan-akan hormon semula jadi badan seperti hormon perangsang folikel (FSH) dan hormon peluteinan (LH) untuk mengatur atau merangsang proses ovulasi. Ubat-ubatan ini membantu untuk menghasilkan telur yang lebih baik atau lebih banyak. Antara ubat yang digunakan untuk rawatan ketidaksuburan termasuklah:

Clomiphene

Clomiphene berfungsi merangsang kelenjar pituitari untuk merembeskan hormon FSH dan LH, seterusnya menggalakkan pertumbuhan dan kematangan folikel ovari.  Folikel ovari yang telah matang akan melepaskan telur (ovum) yang boleh disenyawakan. Ubat ini biasanya diambil secara oral.

Kesan sampingan clomiphene termasuklah peningkatan suhu badan dan sakit kepala. Clomiphene juga berisiko menyebabkan penglihatan menjadi kabur. Oleh hal yang demikian, pesakit dinasihatkan untuk lebih berhati-hati ketika memandu atau melakukan aktiviti yang memerlukan penumpuan atau penglihatan yang jelas.

Antara risiko rawatan ketidaksuburan menggunakan clomiphene termasuklah peningkatan kebarangkalian untuk kehamilan kembar. Pesakit disarankan untuk berbincang dengan doktor tentang risiko ini.

Gonadotropin

Suntikan gonadotropin berfungsi untuk mematangkan telur dan merangsang pengeluaran telur dalam tempoh ovulasi. Kesan sampingan yang biasa berlaku ialah kerengsaan pada tempat suntikan, sakit kepala, loya dan kembung. Sama seperti clomiphene, pengambilan ubat ini juga meningkatkan kemungkinan untuk kehamilan kembar.

Bromocriptine

Bromocriptine pula membantu untuk memperbetul ketidakseimbangan hormon prolaktin yang terhasil secara berlebihan. Paras prolaktin yang tinggi di dalam badan boleh mengakibatkan proses ovulasi terganggu dan seterusnya menyebabkan ketidaksuburan. Antara kesan sampingan yang mungkin dialami dengan pengambilan bromocriptine termasuklah pening, sakit kepala, muntah dan sembelit.

Walaupun terdapat beberapa pilihan ubat untuk membantu masalah ketidaksuburan, pesakit tidak boleh mengambil ubat tersebut tanpa arahan daripada doktor. Pengambilan ubat tanpa pemantauan ahli profesional kesihatan boleh memudaratkan pesakit.

Faktor yang Mempengaruhi Keberkesanan Ubat-ubatan dalam Rawatan Ketidaksuburan

Keberkesanan ubat-ubatan untuk rawatan ketidaksuburan bergantung pada beberapa faktor seperti punca ketidaksuburan dan keadaan kesihatan semasa wanita yang mengambilnya. Berdasarkan kajian saintifik, keberkesanan ubat yang digunakan untuk merangsang ovulasi seperti clomiphene dan gonadotropin dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti:

  • Punca ketidaksuburan: Ubat-ubatan biasanya lebih berkesan untuk wanita yang mempunyai masalah ovulasi seperti PCOS. Jika punca ketidaksuburan tidak diketahui atau melibatkan faktor lain seperti masalah sperma atau tiub Fallopio, keberkesanan ubat yang diambil mungkin lebih rendah.
  • Umur: Wanita yang lebih muda lazimnya mempunyai peluang yang lebih cerah untuk hamil dengan bantuan ubat-ubatan berbanding dengan wanita yang lebih berusia.

(c)  Amalan pengambilan ubat yang betul: Pematuhan pesakit terhadap rawatan dan pengambilan ubat-ubatan seperti yang diarahkan turut mempengaruhi keberkesanan ubat-ubatan. Selain itu, pemantauan yang berterusan oleh doktor dapat membantu mengoptimumkan rawatan.

Nasihat kepada Pesakit

Ikhtiar untuk mendapatkan zuriat merupakan perjalanan yang mencabar dan memerlukan kesabaran bagi sesetengah pasangan. Oleh hal yang demikian, pasangan yang berhasrat untuk menjalani rawatan kesuburan haruslah mendapatkan maklumat dan panduan yang sewajarnya daripada ahli profesional kesihatan yang berkelayakan. Nasihat daripada doktor dapat membantu dalam mengenal pasti rawatan yang bersesuaian berdasarkan sejarah perubatan serta keadaan kesihatan seseorang individu dan seterusnya meningkatkan peluang untuk hamil.

Selain itu, mereka turut disaran untuk melakukan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh untuk memastikan tahap kesihatan adalah optimum sebelum memulakan rawatan kesuburan. Semasa dalam tempoh rawatan kesuburan, pemeriksaan kesihatan secara berkala adalah penting untuk memastikan kelancaran proses rawatan.

Bukan itu sahaja, pesakit yang telah diberikan ubat-ubatan untuk rawatan ketidaksuburan hendaklah mengambilnya mengikut arahan dan nasihat yang diberikan oleh doktor atau ahli farmasi. Pengambilan ubat pada dos dan masa yang ditetapkan dapat membantu meningkatkan keberkesanan rawatan. Kepatuhan pada tarikh janji temu susulan juga adalah penting bagi memastikan pemantauan rawatan dapat dilakukan secara berterusan.

Pesakit juga disaran untuk mengamalkan gaya hidup sihat, iaitu dengan mengambil diet yang seimbang, melakukan senaman secara berkala dan mendapatkan rehat yang mencukupi. Pesakit juga harus menjauhkan diri daripada tabiat yang boleh menjejaskan kesuburan seperti merokok dan mengambil alkohol dalam kuantiti yang berlebihan. Sokongan psikologi daripada pasangan, keluarga atau rakan serta sesi kaunseling dapat membantu pesakit mengatasi tekanan yang mungkin berlaku.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

Puan Sofhatun Nur Subhi,
Pegawai Farmasi,
Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi,
Program Perkhidmatan Farmasi,
Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.